Categories
NASIONAL

29 mangsa dirawat akibat sesak nafas di Johor Baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 JUN: Seramai 29 mangsa terpaksa menerima rawatan selepas mengalami gejala sesak nafas di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah yang direkodkan sehingga 10 pagi tadi terdiri daripada 21 perempuan dan lapan lelaki.

Katanya, 16 daripada mereka adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu 14 pelajar dan dua dewasa, manakala 13 lagi dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang dengan empat daripadanya adalah pelajar.

“Daripada jumlah itu, seramai 14 mangsa dirawat sebagai pesakit luar, 15 mangsa diberi rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sementara enam daripadanya dimasukkan ke wad.

“Sehigga kini, keadaan kesemua pesakit adalah stabil, tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi serta tiada kematian dicatatkan,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata, Jabatan Kesihatan Johor masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian kerana punca kejadian masih belum dikenalpasti.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“Klinik Kesihatan Pasir Gudang turut dibuka pagi ini bagi menerima dan merawat lain-lain mangsa yang mungkin terkesan susulan kejadian itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, dilaporkan seramai 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang ini, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian berlaku kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim yang dicemari toksik, pada Mac lalu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.39 petang dan sebuah jentera dengan tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian sebagai tindak balas pertama.

Sungai Kim Kim yang dicemari toksik pada 7 Mac lalu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, dekat sini, diarahkan ditutup sementara.

Sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan juga terpaksa dikumpul sebelum dilupuskan kontraktor yang dilantik kerajaan.

Categories
NASIONAL

Pencemaran jejas sebuah lagi sekolah

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Kejadian pencemaran udara yang dilaporkan berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, petang semalam, turut menjejaskan sebuah lagi sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata kejadian bagaimanapun hanya mengakibatkan 13 murid dan dua kakitangan dari kedua-dua sekolah itu yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, setakat ini.

“Murid yang terlibat berusia antara tujuh hingga 12 tahun. Empat daripadanya dimasukkan ke Zon Merah (kritikal), tiga (Zon Kuning-separa kritikal) dan lapan yang lain termasuk dua kakitangan sekolah dimasukkan ke Zon Hijau (tidak kritikal). Tiada yang masuk wad,” katanya dalam sidang media selepas melawat sekolah terbabit di sini.

Mohd Khuzzan berkata punca kejadian masih disiasat dan keadaan juga sudah terkawal.

“Sementara waktu ini, kita tidak ada keperluan untuk membuka bilik gerakan, namun kita akan pantau situasi kerana pihak bomba memaklumkan keadaan bacaan kualiti udara sekarang adakah kosong, maksudnya baik.

“Jadi, kita akan terus pantau sehingga Jumaat, Sabtu, dan segala keputusan kita akan buat selepas itu,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak panik kerana pihak berkuatkuasa sedang melakukan yang terbaik untuk memantau situasi.

“Kalau mereka (penduduk) di kawasan sekitar ini ada masalah, terus dapatkan rawatan dan jangan tunggu lama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi memberitahu pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan memberi peruntukan sebanyak RM400 kepada murid yang dirawat di hospital dan RM200 kepada yang tidak dirawat.

“Bantauan akan mula diedarkan esok selepas mendapat maklumat daripada guru besar sekolah dan peruntukan akan diedar melalui pihak sekolah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Murid sesak nafas ketika program rumah terbuka sekolah

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Kejadian pencemaran udara terbaru yang menjejaskan 15 mangsa termasuk 13 murid dari dua sekolah di Pasir Gudang semalam, dilaporkan berlaku ketika berlangsung sesi pembelajaran dan program rumah terbuka Aidilfitri di sekolah terbabit.

Guru Besar Sekolah Agama Taman Mawar, Rahmah Yahaya berkata pembelajaran sesi petang di sekolahnya berlangsung kira-kira 2.30 petang.

Namun tidak lama selepas itu, terdapat seorang murid perempuan dilaporkan pengsan, sebelum kejadian turut berlaku ke atas murid lain, yang kebanyakannya di tingkat atas.

“Ada seorang pelajar pengsan, ada juga pelajar yang sakit perut, pening, muntah-muntah dan menangis kerana sesak nafas.

“Kami kemudian segera mengumpulkan mereka dan menghubungi pihak ambulans, bomba serta pihak berkuasa lain,” katanya ketika ditemui Bernama di sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 – Mohamad Addam Azfar Azlan, 8, berkata dia mengalami simptom muntah dan pening secara tiba-tiba semasa menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan pihak sekolahnya, kira-kira 3.30 petang.

“Selain saya, ada juga kawan-kawan yang lain muntah. Rasa susah bernafas sedikit dan pening-pening tetapi tiada bau busuk atau bau lain,” katanya.

Mengalami situasi sama seperti Mohamad Addam ialah Ahmad Dhamidi Imran, 8.

Katanya, dia turut mengalami mual-mual dan muntah namun tidak pasti disebabkan oleh apa.

Dalam pada itu, ibu Mohamad Addam – Nurul Aisyah Mohd Ramli, 33 berkata dia yang sedang bekerja ketika kejadian, bergegas ke sekolah anaknya sebaik mendapat maklumat.

“Saya terkejut dan segera ke sini, jururawat yang memberi rawatan membenarkan anak saya pulang namun perlu ke klinik atau hospital jika simptom dirasai lagi,” katanya.

Dakwa Nurul Aisyah, semenjak beberapa hari yang lepas, dia ada menerima mesej daripada kumpulan WhatsApp kilangnya yang mengadu mengenai bau yang kurang menyenangkan di kawasan sekitar dan mengarahkan penduduk untuk memakai penutup muka dan mulut.

“Ada kata bau macam rumput terbakar, ada bau najis dan sebagainya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Insiden di Pasir Gudang mungkin kerana gas beracun

PUTRAJAYA, 21 JUN: Insiden membabitkan 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, Johor, yang mengalami kesukaran bernafas dan muntah-muntah, kemungkinan disebabkan gas beracun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bercakap pada sidang media di kementeriannya di sini semalam, beliau berkata Kementerian Kesihatan menyedari kejadian itu dan akan memantau keadaan dengan teliti, sambil menambah ‘segala-galanya dalam kawalan’.

“Simptom itu kelihatan seperti kemungkinan gas beracun atau gas organik yang mudah meruap sama seperti insiden di Sungai Kim Kim,” katanya dan menambah kementerian itu sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Dr Selahudden Abd Aziz berhubung perkara itu.

Ditanya jika ada pengumuman berhubung penutupan sekolah, Dr Dzulkefly berkata adalah terlalu awal untuk membuat keputusan.

“Saya akan melihat maklumat, jenis ketoksikan, tahap pendedahan dan ketoksikan yang perlu dipertimbangkan.

“Apa yang penting Jabatan Kesihatan negeri Johor bekerja dengan sangat tekun. Mereka sudah dimaklumkan dan mereka kini berada di lapangan untuk menangani perkara ini,” katanya.

Pada Mac lalu, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim menyebabkan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan menyebabkan penutupan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang.

-BERNAMA