Categories
AGENDA NASIONAL

91 peratus kematian sebelum ke hospital tidak tahu dijangkiti Covid-19

SERDANG, 3 MAC: Kira-kira 91 peratus kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) membabitkan individu yang tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia hasil analisa Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan 113 kes BID dalam tempoh 5 Februari hingga 21 Februari lepas.

“Kita lihat peningkatan kes BID iaitu mereka yang meninggal sebelum mendapat rawatan di fasiliti kesihatan, dan ia membimbangkan.

“Kita sudah buat analisa dalam tempoh tersebut dan mendapati 91 peratus tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19…apabila KKM uji dan didapati positif,” katanya dalam sidang media perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khairy menasihatkan orang ramai terutama warga emas yang mempunyai gejala seperti demam dan batuk, untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Berdasarkan kajian yang KKM buat, lebih 50 peratus waris anggap sakit yang dialami mereka adalah sakit ringan dan tidak merujuk ke fasiliti kesihatan dengan cepat, dan apabila dikesan ia terlalu lambat,” katanya.

Mengenai pelaporan kematian akibat Covid-19, Khairy berkata bermula 1 Mac lepas, proses pelaporan kematian akibat Covid-19 diumumkan mengikut angka pelaporan yang diterima dari lapangan setiap hari.

“KKM telah menambahbaik proses pelaporan kematian. Sebelum ini, laporan kematian yang diterima hanya diumumkan setelah proses pendaftaran kes di peringkat negeri selesai dan ia mengambil masa yang agak panjang sebelum ia diumumkan.

“Oleh itu, terdapat sebilangan kes yang tertunda untuk diumumkan dan ini adalah satu daripada faktor yang menyumbang kepada tunggakan bagi pengumuman kes kematian Covid-19,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan ketepatan masa atau ‘timeliness’ pelaporan kematian Covid-19, kes kematian tidak lagi menunggu pendaftaran kes dan perlu dilaporkan dalam jangka masa 72 jam selepas kematian sebagaimana ditetapkan KKM.

Khairy dalam pada itu berkata penggunaan unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di paras terkawal dan KKM mempunyai 2,210 katil ICU yang boleh digunakan di seluruh negara.

“Kebanyakan kes ICU adalah mereka yang berisiko tinggi… setakat ini, terdapat 361 pesakit Covid-19 di ICU,” katanya.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi perubahan status sebagai kontak kasual di MySejahtera

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Tiada lagi perubahan status di aplikasi MySejahtera sekiranya orang ramai dikesan sebagai kontak kasual (kuning) kepada kes positif Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi ciapan di laman Twitter beliau berkata sebaliknya individu berkenaan hanya akan menerima notifikasi memaklumkan mereka adalah kontak kasual.

“Sebelum ini apabila MySJ trace/check-in mengesan anda sebagai kontak kasual kes positif, status di MySJ akan bertukar kepada kontak kasual (kuning).

“Kini tiada lagi perubahan status. Tetapi anda akan menerima notifikasi. Jika bergejala, asingkan diri dan lakukan ujian kendiri,” katanya.

Khairy turut memuat naik poster mengenai langkah meningkatkan penilaian kendiri Covid-19 Kementerian Kesihatan: Tingkatkan Penilaian Kendiri Covid-19 merangkumi lima peringkat iaitu 1: Test (Uji), 2: Report (Lapor), 3: Isolate (Asing), 4: Inform (Maklum) dan 5: Seek (Dapatkan rawatan).

Poster berkenaan antaranya menggesa orang ramai mendapatkan rawatan segera di pusat perubatan atau Pusat Penilaian Covid-19 sekiranya alami gejala berat seperti kesukaran bernafas dan suhu badan terlalu tinggi.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps beroperasi semula esok, sedia 100 katil

PUTRAJAYA, 24 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang akan diaktifkan semula bermula esok bagi merawat kes berisiko rendah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata buat permulaan, sebanyak 100 katil disediakan untuk pesakit di sekitar Lembah Klang dan akan ditambah mengikut keperluan.

“Maeps diaktifkan semula esok. Ini bukanlah kerana kita tidak cukup katil di hospital tetapi lebih kepada langkah awal dan beri ruang supaya hospital boleh terus beri rawatan kepada kes bukan Covid-19 tanpa gangguan berikutan kes yang disebabkan gelombang Omicron,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata pengoperasian semula PKRC itu adalah antara strategi yang diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan penularan Omicron yang menyaksikan peningkatan kes harian.

Khairy berkata KKM turut berdepan keadaan yang menyaksikan ada pesakit ke hospital untuk rawatan bagi penyakit lain namun ketika saringan dibuat, individu itu dikesan positif Covid-19.

“Walaupun mereka tidak dirawat disebabkan Covid-19, bila ada kes macam ni, kita kena gunakan katil di hospital ini dan terpaksa asingkan… Perkara ini akan merumitkan hospital berkenaan, berikutan itu kita buka kembali PKRC Maeps, kes positif kita hantar ke sana.

“Katil yang disediakan oleh PKRC itu adalah untuk pesakit berisiko rendah dan ia hanya akan digunakan dalam tempoh yang singkat berbanding ketika penularan varian Delta. Kita jangka PKRC ini akan digunakan sehingga Omicron reda,” katanya.

PKRC Bersepadu 2.0 Maeps ditutup secara rasmi pada 8 Februari lepas dan sepanjang 14 bulan beroperasi, sebanyak 166,072 pesakit Covid-19 sudah dirawat dan ia secara tidak langsung meringankan beban hospital di Semenanjung.

Maeps diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 yang hanya membabitkan pesakit bukan warganegara bagi kategori satu dan dua sebelum ditutup pada 15 Julai tahun sama.

Pada 9 Disember 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19 sebelum dinaik taraf sebagai PKRC Bersepadu Maeps 2.0 pada 24 Januari 2021 dengan menerima pesakit kategori tiga dan empat dalam skala sederhana.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 babit kanak-kanak meningkat 160 peratus

PUTRAJAYA, 17 FEB: Malaysia mencatat peningkatan kes Covid-19 sebanyak 160 peratus dalam kalangan kanak-kanak bagi minggu epid kelima hingga minggu epid keenam tahun ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia menunjukkan peningkatan dari 6,524 kes pada minggu epid kelima kepada 16,959 kes pada minggu epid keenam melibatkan kanak-kanak dengan usia baru lahir hingga 11 tahun.

“Dari segi pecahan angka, daripada 6,524 kes berkenaan, 2,282 kes adalah kanak-kanak berusia baru lahir hingga empat tahun manakala 4,242 kes ialah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Bagi 16,959 kes pula, beliau berkata ia melibatkan 6,163 kes dalam kalangan kanak-kanak berusia baru lahir hingga empat tahun dan 10,796 kes melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Merujuk kepada peningkatan kes agak membimbangkan itu, Khairy menyeru agar orang ramai membawa anak masing-masing menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) dan segera menerima vaksin Covid-19 seperti ditetapkan.

Beliau berkata pendaftaran PICKids juga agak rendah dalam negara dengan angka belum mencapai sejuta pendaftaran.

“Saya juga memohon kerjasama majikan untuk membenarkan pekerja mereka membawa anak untuk janji temu vaksinasi,” katanya.

Menjawab kebimbangan orang ramai mengenai peningkatan kemasukan kes Covid-19 ke hospital, Khairy berkata biarpun angka kes meningkat, vaksin Covid-19 menunjukkan keberkesananan yang baik dalam melindungi individu daripada jangkitan lebih teruk.

Memberi contoh kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam (16 Februari) iaitu sebanyak 1,269 kes, beliau berkata 428 kes atau 33.7 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 841 kes lagi atau 66.3 peratus adalah pesakit kategori satu dan dua.

Bagi kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima dilaporkan semalam juga, katanya antara 75 kes yang dilaporkan adalah sama ada tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan telah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak.

Beliau turut menjelaskan antara sebab pesakit Covid-19 kategori satu dan dua dimasukkan ke hospital adalah kerana isu medical emergency antaranya menghidap penyakit komorbid tidak terkawal, baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit tidak terkawal, kes obstetrik yang memerlukan pemantauan rapi dan keadaan rumah kurang sesuai.

Bagi kes melibatkan kanak-kanak pula, ia disebabkan kekurangan air dalam badan, demam berpanjangan dan kelesuan, mempunyai penyakit kronik dan juga disebabkan tiada penjaga.

Berikutan gelombang Omicron yang aktif, Khairy juga menyarankan majikan untuk mengelakkan urusan pekerjaan secara fizikal seperti mesyuarat dan perjumpaan, sebaliknya menggalakkan konsep bekerja dari rumah.

Mengenai perkembangan dos penggalak Covid-19, beliau turut menyarankan agar individu yang masih belum mendapat janji temu dos penggalak untuk terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan dan menerima vaksin mereka.

Berdasarkan data di laman web CovidNow setakat semalam, sebanyak 13,607,475 atau 57.8 peratus populasi dewasa dalam negara menerima dos penggalak Covid-19; sejumlah 22,940,521 individu atau 97.5 peratus telah lengkap vaksinasi, manakala 98.7 peratus atau 23,217,374 menerima sekurang-kurangnya satu dos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak rakyat bimbang, kes harian tidak lagi diumumkan berasingan mulai petang esok

SHAH ALAM, 17 FEB: Laporan statistik kes harian Covid-19 tidak lagi diumumkan berasingan mulai petang esok, sebaliknya dimaklumkan bersama data lain pada jam 10 pagi keesokannya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata langkah itu bagi memastikan keseluruhan data diperincikan dengan lebih menyeluruh seperti penggunaan katil dan bilangan pesakit di unit rawatan rapi.

“Bermula esok, bilangan kes harian Covid-19 tidak lagi akan diumumkan pada petang hari tersebut, ia akan diumumkan bersama data lain pada jam 10 keesokan harinya,” katanya dalam sidang media hari ini.

“Ini supaya kita boleh melihat data kes harian bersama data lain seperti kadar kemasukan ke hospital untuk mengurangkan faktor ketakutan mengenai bilangan kes harian.”

Dalam pada itu, Khairy berkata tatacara baharu bagi pengasingan kontak rapat akan diumumkan minggu depan berikutan ia kerap berlaku akibat peningkatan kes ketika ini.

Jelasnya, keputusan itu berdasarkan protokol yang diguna pakai dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam ketika ini iaitu kakitangan tidak perlu menjalani isolasi jika tiada gejala.

“Apabila ini berlaku (isolasi), ia menyebabkan gangguan kepada ekonomi dan pengurusan kerja yang sangat ketara,” katanya lagi.

*Nota editor: Tajuk dan beberapa perenggan telah dikemas kini

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dos penggalak bantu cegah gejala teruk, turunkan kes ICU 90 peratus

SHAH ALAM, 17 FEB: Pengambilan vaksin dan dos penggalak berkesan untuk melindungi individu daripada jangkitan Covid-19 yang lebih teruk, kata menteri kesihatan.

Ia terbukti apabila bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan kes kematian menurun antara 80 hingga 90 peratus berbanding Ogos tahun lalu, jelas Khairy Jamaluddin.

“Justeru, masyarakat diminta mengambil dos penggalak, bukan jaminan untuk tidak dijangkiti tetapi ia membantu mencegah gejala serius akibat jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata sebanyak 24 kes atau 24.7 peratus dalam kategori 3, 4 dan 5 (gejala serius) yang dilaporkan semalam tidak divaksinasi atau belum lengkap suntikan.

Manakala 51 kes atau 52.8 peratus lengkap dua dos tetapi belum menerima suntikan penggalak, namun berisiko kerana tahap imuniti terhadap Covid-19 menurun.

Khairy berkata kenaikan kes ketika ini turut dialami negara lain susulan penularan varian Omicron yang lebih pantas selain peningkatan pergerakan penduduk dalam kegiatan sosial dan ekonomi.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memberi jaminan bahawa kami membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang datang bersama gelombang Omicron ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri jangka kes Covid-19 naik, minta rakyat tidak panik

SHAH ALAM, 3 FEB: Kes harian Covid-19 dalam negara dijangka naik mendadak dalam tempoh singkat berikutan penularan varian Omicron, kata menteri kesihatan.

Situasi sama turut dialami negara lain susulan kebolehjangkitan tinggi varian itu dan akan terus dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jelas Khairy Jamaluddin.

“Tetapi kita jangan panik kerana sudah berada di tahap masyarakat terima hakikat Malaysia perlu hidup dengan Covid-19 dan liputan vaksin antara tertinggi di dunia,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata KKM sedang membuat perolehan bagi mendapatkan ubat antiviral Paxlovid untuk kegunaan golongan berisiko, rentan dan komorbiditi di negara ini.

Khairy menambah pengurusan wabak dan pesakit Covid-19 merekod perkembangan positif dalam tempoh singkat apabila kebanyakan penghidap virus itu ditempatkan di rumah bagi pengasingan.

“Ini suatu pencapaian memberangsangkan dan dengan Paxlovid, kita akan dapat terus kurangkan bebanan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam,” katanya.

Berdasarkan perangkaan KKM, kes harian Covid-19 sekitar 4,000 hingga 5,000, namun kebanyakan pesakit dalam kategori satu dan dua.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dapatkan dos penggalak tanpa janji temu di semua PPV mulai esok

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak Covid-19 secara jumpa terus kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, di semua pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara mulai esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagi PPV pengamal perubatan swasta (GP) pula, individu dimohon menghubungi klinik swasta terlibat bagi menentukan masa yang sesuai, untuk mendapatkan janji temu vaksinasi dos penggalak itu.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, kerana mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata individu yang ingin hadir secara jumpa terus, perlu mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tiada telefon pintar, maka dikehendaki membawa kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya sambil menambah jenis vaksin diberikan adalah terhad kepada bekalan yang ada di setiap PPV.

Beliau berkata senarai PPV GP serta ‘Offsite’ boleh disemak melalui laman sesawang ‘ProtectHealth’ iaitu www.protecthealth.com.my dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“KKM menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga akan berlaku, memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Sehubungan itu, KKM amat mengalakkan semua penduduk di Malaysia yang layak, untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” tambahnya.

Sehingga semalam, seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak: Empat pusat pemberian vaksin beroperasi di Lembah Klang

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak empat pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka bermula 15 Januari bagi meningkatkan kadar vaksin dos penggalak, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata PPV tersebut beroperasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, Axiata Arena Bukit Jalil, Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam dan Soka Gakkai Klang.

“Ini akan meningkatkan pemberian dos penggalak di Lembah Klang dan jika ada keperluan serupa di bandar-bandar besar lain, kita akan perluaskan.

“Pemberian dos penggalak dilakukan melalui janji temu yang diberikan menerusi aplikasi MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas,” katanya pada sidang media  hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Sijil khas buat individu tidak boleh divaksin

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Individu yang tidak boleh menerima vaksin atas faktor perubatan boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata mereka yang tidak boleh divaksin atas faktor perubatan seperti alahan kepada vaksin, perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berdaftar yang merawat mereka.

Beliau berkata individu terlibat perlu hadir ke PKD dan mengemukakan borang khas ‘Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin Covid-19 Bagi Pesakit Dengan Masalah Kesihatan Tertentu’ yang disahkan oleh pakar perubatan.

“Borang khas itu hendaklah disahkan oleh pakar perubatan di hospital swasta yang merawat individu berkenaan, pakar perubatan atau pegawai perubatan yang merawat (semasa ketiadaan pakar perubatan) di hospital kerajaan yang berpakar atau pakar perubatan keluarga di klinik kerajaan.

“Sijil digital melalui MySejahtera itu akan diperoleh dalam tempoh satu minggu jika permohonan lengkap dan mengikuti syarat yang ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Warisan-Kota Belud) mengenai alternatif untuk individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor kemudaratan kesihatan dan pewujudan dokumentasi yang dikhususkan bagi golongan itu untuk tujuan pergerakan fizikal.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pakar perubatan juga akan menasihatkan individu berkenaan bagi pengambilan vaksin dari jenis lain yang bersesuaian.

“Jika seseorang didapati menghidapi alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan, manakala jika disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin COVID-19 atas sebab perubatan, individu itu perlu mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) dengan lebih ketat secara kendiri,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah berhubung tindakan kerajaan terhadap individu antivaksin dan mereka yang bergantung kepada kad vaksinasi, Khairy berkata seperti yang ditetapkan kerajaan terdapat beberapa kelonggaran yang hanya diberikan kepada mereka yang lengkap vaksinasi.

Bagi penerima vaksin yang tidak mempunyai peranti digital pula, golongan itu boleh menggunakan kad vaksinasi yang diterima di pusat pemberian vaksin (PPV) sebagai bukti vaksinasi dan sekiranya kad itu hilang perlu dilaporkan di PKD terdekat, kata Khairy.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan kerajaan tidak menafikan hak setiap individu yang berada di negara ini untuk divaksin termasuk penduduk yang tidak mempunyai dokumentasi lengkap kewarganegaraan atau masalah status imigresen.

“Dasar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah semua diterima dan dilayan… yang penting bukan status imigresen tapi soal kesihatan awam, sebab itu kita utamakan vaksinasi kepada semua yang ada di Malaysia,” katanya menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai pemberian vaksin kepada individu tanpa dokumentasi lengkap kewarganegaraan dan pendatang tanpa izin.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy: Sarawak negeri pertama beri dos penggalak mula Oktober

KUCHING, 26 SEPT: Sarawak akan memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 pada bulan Oktober ini sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu, dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Menurutnya Sarawak akan menjadi negeri pertama memulakan program pemberian dos penggalak vaksin itu kerana ia merupakan negeri terawal menyelesaikan program vaksinasi.

“Antara yang akan kita sediakan dalam garis panduan klinikal itu nanti adalah berkenaan jenis vaksin yang akan diberikan. Kita masih menilai sama ada mahu beri jenis vaksin sama atau yang berbeza,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas Imunisasi dan pengurusan pandemik bersama wakil kerajaan negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu Khairy berkata di Sarawak, KKM berpendapat bahawa keputusan positif daripada kit ujian RTK Antigen, sama ada dibuat di makmal ataupun secara kendiri, adalah cukup untuk mereka yang dikesan positif diasingkan serta diberikan Perintah Pemantauan di Rumah.

“Ini sangat penting untuk kita maklum kepada rakyat terutamanya di Sarawak, apabila ada apa-apa gejala, secepat mungkin laksanakan ujian RTK Antigen dan jika positif, asingkan diri di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya.

Beliau berkata dalam aspek meningkatkan kapasiti kesihatan untuk tindak balas sekiranya berlaku peningkatan kes-kes yang serius, KKM akan menghantar sejumlah 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen ke Sarawak, yang dijangka tiba pada Selasa ini.

“KKM juga akan menambah modular Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan penambahan sebanyak 20 katil. Ketika ini 10 katil sedang disiapkan di Hospital Sibu dan kita serah kepada kerajaan negeri untuk tetapkan di mana mereka mahu menempatkan penambahan katil baharu itu,” katanya.

Khairy berkata pihaknya turut menerima permohonan daripada Kerajaan Sarawak untuk mendirikan Hospital Medan di Sibu dan secara prinsip pihaknya telah bersetuju serta akan berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia mengenainya.

Selain itu katanya 64 pegawai perubatan tambahan akan diatur gerak pada minggu depan untuk dihantar ke Sarawak bagi membantu pengurusan kes Covid-19.

Sementara itu Khairy berkata pihaknya juga akan mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman, sekali gus mengurangkan bebanan di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Pesakit kategori tiga ada rekod komobid dirawat di hospital

TAMPIN, 4 SEPT: Pesakit Covid-19 kategori tiga yang mempunyai rekod komobid akan dimasukkan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi mendapat rawatan serta pemantauan daripada doktor dan petugas kesihatan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata bagi kes tertentu seperti melibatkan wanita hamil, warga emas dan keadaan rumah pesakit Covid-19 yang tidak sesuai untuk menjalani kuarantin, golongan tersebut turut diberi keutamaan mendapatkan rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, bagi pesakit Covid-19 dalam kategori sama tiada komobiditi, KKM (Kementerian Kesihatan) masih menyarankan mereka menjalani kuarantin di rumah.

“Saya mahu ingatkan pesakit yang menjalani kuarantin di rumah perlu sentiasa menggunakan ‘home assessment tool’ dalam MySejahtera dalam usaha menurunkan kadar kematian di luar hospital (BID),” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Tampin, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya keadaan kesihatan merosot dan sukar bernafas, sakit dada atau ketepuan oksigen kurang daripada 95 peratus, pesakit perlu segera menelefon ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital atau PKRC.

Media sebelum ini melaporkan KKM disaran terus memasukkan pesakit Covid-19 kategori tiga ke hospital yang dilengkapi kemudahan ICU dan peralatan penting berbandig membiarkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau memuji usaha proaktif semua pihak serta petugas kesihatan di Negeri Sembilan yang berjaya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini dengan penurunan kes jangkitan Covid-19 serta proses vaksinasi yang berjalan lancar.

“Penggunaan unit rawatan rapi (ICU), alat pernafasan dan katil hospital Covid-19 berada di bawah paras 70 peratus di negeri ini. Dalam tempoh sebulan lepas, pesakit yang telah dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 telah menurun daripada 899 kepada 319 individu sahaja.

“Ia merupakan penurunan sebanyak 65 peratus dalam tempoh masa sebulan di samping kes jangkitan harian turut berkurang sekali gus menunjukkan kejayaan awal program imunisasi di Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata negeri ini akan menerima 12,000 dos vaksin CanSino secara berperingkat iaitu 2,000 pada 13 Sept dan selebihnya pada 27 September untuk penerima di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

Susulan kejayaan negeri itu menurunkan kes jangkitan Covid-19, beliau optimis perubahan yang sama akan berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh masa terdekat memandangkan proses vaksinasi di negeri tersebut tinggi namun dibezakan dengan kepadatan penduduk.

Khairy berkata pihaknya tidak mahu tergesa-gesa membuka lebih banyak sektor lain tanpa melaksanakan penilaian risiko yang ketat bagi memastikan pembukaan negara ini dijalankan dengan satu pendekatan lebih berhati-hati dan selamat kepada penduduk.

-BERNAMA