Categories
AGENDA NASIONAL

RM1 bilion bendung gelombang ketiga Covid-19

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan memperuntuk RM1 bilion bagi membendung gelombang ketiga Covid-19, kata menteri kewangan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata jumlah itu membabitkan keperluan kesihatan serta kemudahan pasukan barisan hadapan.

Peruntukan merangkumi:

  • RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen,kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan KKM
  • RM318 juta bagi penyediaan peralatan set perlindungan kesihatan (PPE), cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan KKM
  • RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19
  • RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti
  • Menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi tatacara operasi piawaian (SOP) norma baharu.
Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Sabah mohon PKPB seluruh negeri dilanjutkan

KOTA KINABALU, 23 OKT: Kerajaan negeri Sabah telah memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu yang dijadualkan tamat Isnin ini, dilanjutkan.

Bercakap pada sidang media di sini malam ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata kerajaan negeri berpandangan pelanjutan itu penting memandangkan kes Covid-19 di Sabah masih tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata Sabah kekal mencatat kes tertinggi Covid-19 iaitu 528 kes daripada keseluruhan 710 kes di seluruh negara.

Pada 12 Oktober lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan seluruh Sabah dikenakan PKPB bermula 13 hingga 26 Oktober.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata setakat ini terdapat 12,720 ujian Covid-19 yang keputusannya masih belum diterima.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah RM26.7 juta untuk pemberian bantuan bakul makanan kepada penduduk yang berkenaan.

“Bantuan bakul makanan diberikan kepada penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan dikenakan perintah kuarantin kendiri. Hingga 2 petang tadi, sebanyak 72,823 bakul makanan telah diagihkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Kerjasama semua mampu lawan gelombang ketiga Covid-19

SHAH ALAM, 11 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mengingatkan orang ramai supaya bekerjasama bagi mendepani gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Menurut kementerian itu, kejayaan dicapai ketika negara menghadapi gelombang pertama dan kedua virus berkenaan hingga mendapat pengiktirafan dunia.

“Kejayaan kita itu hasil kerjasama semua pihak. Sekali lagi seluruh rakyat Malaysia diseru untuk bekerjasama dalam menghadapi gelombang ketiga ini,” tulisnya di Facebook.

Melalui grafik disertakan, gelombang pertama virus itu membabitkan kes import bermula dari 24 Januari hingga pertengahan Februari.

Gelombang kedua diharungi bermula penghujung Februari hingga Jun melibatkan kluster Perhimpunan Seri Petaling, kluster UDA (UDA Holdings Berhad) dan kluster Depot Tahanan Imigresen.

Bermula 20 September, gelombang ketiga berlaku dengan kebanyakkan kes direkodkan di Sabah dan Kedah.