Categories
NASIONAL

GMP bantah sebarang usaha kembalikan PPSMI

AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) membantah keras sebarang usaha mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ‘mengikut pintu belakang’ yang bertentangan dengan dasar bahasa di dalam sistem pendidikan negara.

Pengerusinya, Prof Emer. Shaharir Mohamad Zain, berkata pemerintah dan ahli politik terutama yang menggubal dasar di Parlimen sepatutnya memahami falsafah Penyata Razak (1956) sebagai Dasar Pendidikan Negara (DPN).

PPSMI“Kami mengusulkan supaya semua wakil rakyat dan senator parti memerintah diberi taklimat atau mendidik diri sendiri tentang DPN supaya mereka beroleh kefahaman, kesedaran dan keinsafan untuk mempertahankannya.

“Naib Canselor di peringkat pengajian tinggi juga perlu meminta kerajaan melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan tidak menentang atau melucutkan DPN yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini, hari ini.

Shaharir berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) juga tidak sepatutnya ‘memporak-perandakan’ dasar yang dilaksanakan sekarang ke arah melemahkannya.

Katanya, GMP mengakui kepentingan Bahasa Inggeris namun ia tidak perlu disamakan dalam konteks pembelajaran sains dan matematik atas alasan keperluan bahasa itu dalam sektor ekonomi, perdagangan serta hubungan diplomatik.

“Lebih relevan adalah mencari jalan supaya pengajaran sains dan matematik dapat dilakukan dengan sempurna mengikut kurikulum yang mengambil kira sejarah dan kebudayaan kita.

“Sebarang usaha mengajar dalam bahasa yang tidak difahami guru dan murid terbanyak adalah satu langkah tidak bijak,” ujarnya.

Antara cadangan diketengahkan PEMANDU adalah melaksanakan Program Dwi-Bahasa (DLP) bagi membolehkan beberapa mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah tertentu.

Menurut laporan tersebut matapelajaran Sains, Matematik, dan Reka Bentuk dan Teknologi/ Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah matapelajaran yang wajib untuk diajar menggunakan Bahasa Inggeris.

Program DLP tersebut bakal dilaksanakan ke atas pelajar Tahun 1 dan 4 untuk Sekolah Kebangsaan serta Tingkatan 1 untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) melibatkan 300 sekolah rintis bermula 2016.

-nR-