Categories
NASIONAL

GMP bantah sebarang usaha kembalikan PPSMI

AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) membantah keras sebarang usaha mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ‘mengikut pintu belakang’ yang bertentangan dengan dasar bahasa di dalam sistem pendidikan negara.

Pengerusinya, Prof Emer. Shaharir Mohamad Zain, berkata pemerintah dan ahli politik terutama yang menggubal dasar di Parlimen sepatutnya memahami falsafah Penyata Razak (1956) sebagai Dasar Pendidikan Negara (DPN).

PPSMI“Kami mengusulkan supaya semua wakil rakyat dan senator parti memerintah diberi taklimat atau mendidik diri sendiri tentang DPN supaya mereka beroleh kefahaman, kesedaran dan keinsafan untuk mempertahankannya.

“Naib Canselor di peringkat pengajian tinggi juga perlu meminta kerajaan melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan tidak menentang atau melucutkan DPN yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini, hari ini.

Shaharir berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) juga tidak sepatutnya ‘memporak-perandakan’ dasar yang dilaksanakan sekarang ke arah melemahkannya.

Katanya, GMP mengakui kepentingan Bahasa Inggeris namun ia tidak perlu disamakan dalam konteks pembelajaran sains dan matematik atas alasan keperluan bahasa itu dalam sektor ekonomi, perdagangan serta hubungan diplomatik.

“Lebih relevan adalah mencari jalan supaya pengajaran sains dan matematik dapat dilakukan dengan sempurna mengikut kurikulum yang mengambil kira sejarah dan kebudayaan kita.

“Sebarang usaha mengajar dalam bahasa yang tidak difahami guru dan murid terbanyak adalah satu langkah tidak bijak,” ujarnya.

Antara cadangan diketengahkan PEMANDU adalah melaksanakan Program Dwi-Bahasa (DLP) bagi membolehkan beberapa mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah tertentu.

Menurut laporan tersebut matapelajaran Sains, Matematik, dan Reka Bentuk dan Teknologi/ Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah matapelajaran yang wajib untuk diajar menggunakan Bahasa Inggeris.

Program DLP tersebut bakal dilaksanakan ke atas pelajar Tahun 1 dan 4 untuk Sekolah Kebangsaan serta Tingkatan 1 untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) melibatkan 300 sekolah rintis bermula 2016.

-nR-

Categories
NASIONAL

DAP terima permohonan maaf Utusan dengan amaran keras

utusan fitnah grafik

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: DAP hari ini  amaran kepada Utusan Malaysia supaya  tidak lagi menyiarkan kenyataan tidak bertanggungjawab sekalipun menerima permohonan maaf berkaitan isu Tanda Putera.

Pengerusinya, Karpal Singh turut meminta akhbar harian itu mematuhi etika kewartawanan melalui penulisan yang tepat dan menghentikan penyiaran berita palsu.

“Kami terima permohonan maaf tetapi Utusan tidak boleh terus berbohong. Kami beri mereka peluang untuk beralih kepada cara yang lebih baik dan melaporkan kebenaran,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Akhbar kawalan Umno itu sebelum ini menyiarkan laporan bertajuk “Cuba Sembunyi kebiadaban DAP” dengan mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng cuba menyekat tayangan filem itu.

Pengurus Kanan Utusan Malaysia Berhad, Shirad Anuar dalam kenyataan bertulis pada 13 September lalu bersetuju untuk memohon maaf kepada Kit Siang dan Guan Eng berhubung penyiaran artikel itu.

“Artikel yang disiarkan di muka surat 13 pada 7 September 2013 iaitu “Cuba sembunyi kebiadaban DAP” adalah salah serta tidak menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang,” katanya.

Sementara itu, pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang berkata, permohonan maaf itu mesti ikhlas dan bukan bertujuan meraih publisiti semata-mata.

“Kami tidak minta Utusan memihak kepada kami, tetapi tolong siarkan berita yang benar dan hentikan penipuan,” katanya.