Categories
NASIONAL

Lengkapkan dulu prasarana sebelum wajib lulus Bahasa Inggeris

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kementerian Pendidikan perlu melakukan kajian dan projek perintis terlebih dahulu jika ingin melaksanakan dasar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI, Prof Emer. Shaharir Mohamad Zain, berkata meskipun cadangan berkenaan ditangguhkan, kajian itu perlu dibuat bagi melihat keupayaan semasa pelajar.

Prof Emer Shaharir“(Kementerian) perlu buat projek perintis terlebih dahulu jika ingin mewajibkannya sekarang.

“Prasarana lengkap juga perlu dibuat terutama dalam melatih guru yang mengajar di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kemtenterian Pendidikan mengumumkan penangguhan pelaksanaan cadangan itu bagi memberi lebih ruang kepada penduduk di luar bandar membuat persiapan.

Kementerian berpandangan pelajar pedalaman masih belum mencapai tahap menguasai bahasa Inggeris berbanding pelajar di bandar.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara memainkan peranan memartabatkan bahasa Melayu di semua peringkat.

Perkara ini termasuk dalam soal iklan dan papan tanda supaya tidak bertentangan dengan dasar bahasa.

-nR-

Categories
NASIONAL

GMP bantah sebarang usaha kembalikan PPSMI

AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) membantah keras sebarang usaha mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ‘mengikut pintu belakang’ yang bertentangan dengan dasar bahasa di dalam sistem pendidikan negara.

Pengerusinya, Prof Emer. Shaharir Mohamad Zain, berkata pemerintah dan ahli politik terutama yang menggubal dasar di Parlimen sepatutnya memahami falsafah Penyata Razak (1956) sebagai Dasar Pendidikan Negara (DPN).

PPSMI“Kami mengusulkan supaya semua wakil rakyat dan senator parti memerintah diberi taklimat atau mendidik diri sendiri tentang DPN supaya mereka beroleh kefahaman, kesedaran dan keinsafan untuk mempertahankannya.

“Naib Canselor di peringkat pengajian tinggi juga perlu meminta kerajaan melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan tidak menentang atau melucutkan DPN yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini, hari ini.

Shaharir berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) juga tidak sepatutnya ‘memporak-perandakan’ dasar yang dilaksanakan sekarang ke arah melemahkannya.

Katanya, GMP mengakui kepentingan Bahasa Inggeris namun ia tidak perlu disamakan dalam konteks pembelajaran sains dan matematik atas alasan keperluan bahasa itu dalam sektor ekonomi, perdagangan serta hubungan diplomatik.

“Lebih relevan adalah mencari jalan supaya pengajaran sains dan matematik dapat dilakukan dengan sempurna mengikut kurikulum yang mengambil kira sejarah dan kebudayaan kita.

“Sebarang usaha mengajar dalam bahasa yang tidak difahami guru dan murid terbanyak adalah satu langkah tidak bijak,” ujarnya.

Antara cadangan diketengahkan PEMANDU adalah melaksanakan Program Dwi-Bahasa (DLP) bagi membolehkan beberapa mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah tertentu.

Menurut laporan tersebut matapelajaran Sains, Matematik, dan Reka Bentuk dan Teknologi/ Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah matapelajaran yang wajib untuk diajar menggunakan Bahasa Inggeris.

Program DLP tersebut bakal dilaksanakan ke atas pelajar Tahun 1 dan 4 untuk Sekolah Kebangsaan serta Tingkatan 1 untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) melibatkan 300 sekolah rintis bermula 2016.

-nR-