Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Hasan Ali Tak Belajar Akaun, Buat Tudahan Tanpa Fakta

MB Loji Semenyih 01
SHAH ALAM 3 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas dakwaan bahawa Kerajaan Negeri menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk baikpulih jalanraya bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Abdul Khalid berkata jika terdapat unsur salahguna atau penyelewengan seperti yang didakwa Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali, Hasan diminta laporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Lebih baik Hasan mengajukan perkara itu ke SPRM, buat apa hanya cakap-cakap sahaja, Kerajaan Negeri tidak menggunakan duit seperti yang didakwanya,” katanya.

Abdul Khalid ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pusat Dakwah Serantau (PDS) di Stadium Melawati malam tadi.

Hasan, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor membuat dakwaan itu dalam satu program debat bersama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Sijangkang, minggu lalu.

Hasan turut mendakwa wang rezab simpanan Kerajaan Negeri yang berjumlah RM2.5 bilion adalah wang peruntukan Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Ketika mengulas dakwaan itu Abdul Khalid berkata Hasan hanya bercakap kosong tanpa memberikan fakta.

“Saya fikir dia tidak belajar ‘accounting’ (bidang akaun), jangan malukan penjawat awam,” katanya lagi.

Dilaporkan sebelum ini bahawa sehingga Oktober 2012, wang rezab simpanan Kerajaan Negeri di sepanjang pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) telah meningkat sehingga RM 2.57 bilion.

Ini berbanding kurang RM 500 juta ketika pentadbiran Umno-BN pada 2007.

Ini berikutan strategi yang digunapakai Kerajaan Negeri yang berkesan dan kurang risiko dengan melabur dalam simpanan bank dan institiusi kewangan Malaysia.

Categories
SELANGOR

Penduduk, Pemimpin Setempat Diminta Pantau Projek MARRIS

KUALA LANGAT 16 OKT : Penduduk dan pemimpin setempat diminta menjadi pemantau Kerajaan Negeri dalam usaha menjayakan projek-projek di bawah Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (JPK-PBT), Haniza Talha berkata demikian ketika membuat tinjauan projek MARRIS yang dilaksanakan pada tahun 2011 di sekitar DUN Jenjarom di sini pagi tadi.

“Kita dapati pihak PBT adakalanya tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk melakukan pemantauan, jadi kita minta penduduk, Ahli Jawatankuasa, ketua kampung mainkan peranan mereka.

“Saya pasti mereka ini mengambil berat dan sedia untuk memberi kerjasama kepada pihak PBT dalam kerja memantau agar hasil sesuatu projek itu berbaloi dengan wang yang diperuntukkan,” ujarnya.

Beliau turut ditemani Ahli Jawatankuasa JPK-PBT, Jenice Lee, Adun Teluk Datuk, Philip Tan Choon Swee, Penolong Jurutera Kanan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Khairul Darini serta wakil penduduk setempat.

Rombongan pagi ini berkesempatan membuat tinjauan kerja-kerja menurap semula Jalan 7, Taman Ria pada Julai tahun lepas dengan kos RM10, 240.

Selain itu, rombongan turut meninjau kerja-kerja menambak dan memadat ‘Crusher Run’ di Jalan Felcra, Jalan Jambu Air dan Jalan Getah di Kampung Jenjarom yang dilaksanakan pada Ogos 2011 dengan peruntukan berjumlah RM 19, 700.

Hasil tinjauan mendapati tiada pemantauan dilakukan ketika kerja-kerja menambak berjalan di Kampung Jenjarom menyebabkan timbul persoalan samada pihak kontraktor benar-benar menepati syarat kontrak.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Jenjarom, Misnan Ahmad 60, yang turut menyertai tinjauan berkata beliau dan penduduk berpuas hati dengan usaha-usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri melalui MARRIS.

“Bagaimanapun, seperti disarankan, kami bersedia memberi kerjasama pada masa akan datang untuk melakukan pemantauan bagi memastikan segalanya lancar,” jelas beliau.