Categories
AGENDA NASIONAL

Maqis rampas 98,400kg makanan gluten jagung dari Korea

SHAH ALAM, 22 JUN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas 98,400 kilogram makanan gluten jagung dari Korea tanpa permit import sah di Pelabuhan Klang Utara kelmarin.

Pengarahnya berkata makanan tambahan untuk industri ternakan itu dianggarkan bernilai RM291,364 dirampas dalam pemeriksaan rutin yang dilakukan pada jam 12 tengah hari.

“Syarikat terbabit gagal mengemukakan permit import yang sah kepada pegawai penguat kuasa, berikutan itu semua barang dagangan dirampas untuk siasatan lanjut.

“Ini merupakan kesalahan kedua pada tahun ini bagi syarikat itu,” katanya Zamri Hashim dalam kenyataan.

Mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).