Categories
NASIONAL

Kebakaran di Gunung Baling kembali marak

ALOR SETAR, 12 FEB: Kebakaran di Gunung Baling yang hampir dipadamkan sepenuhnya kembali marak, pada jam 1 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, kebakaran berulang di kawasan yang berjaya dipadamkan sebelum ini dan ia berkemungkinan akan merebak ke kawasan baharu.

“Kita mengesan api hidup semula sekitar jam 1 pagi tadi.

“Operasi pagi ini bermula pada jam 8 pagi dan kita sudah menghantar dua pasukan pemadam terdiri daripada 15 anggota bomba ke kawasan kebakaran,” katanya.

Katanya, keadaan muka bumi di kawasan yang terbakar adalah bercerun dan bomba mengambil masa satu jam setengah untuk mendaki kawasan terbabit.

“Ia sekali gua melambatkan tindakan untuk memadamkan kebakaran,” katanya kepada BERNAMA.

Punca kebakaran di Gunung Baling yang berlaku sejak 6 Februari lalu masih belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia ekoran aktiviti pendakian.

 

Categories
NASIONAL

Kebakaran di Gunung Baling hampir dipadam sepenuhnya

ALOR SETAR, 10 FEB: Kebakaran di Gunung Baling yang berlaku sejak Rabu lalu hampir dipadamkan sepenuhnya dengan hanya satu titik kebakaran dikesan masih aktif.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, titik kebakaran itu yang dikesan di kawasan tengah gunung telah dipadamkan sebelum ini namun aktif kembali susulan cuaca panas dan angin kuat.

“Kita akan cuba padam titik kebakaran itu pagi ini sementara angin tidak kuat manakala titik kebakaran yang lain telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Kerja pemadaman hari ini adalah melalui jalan darat dan penggunaan helikopter pula telah ditamatkan,” katanya hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, lebih 80 anggota bomba dan penguat kuasa lain serta malim gunung dalam operasi memadamkan kebakaran berkenaan.

Punca kebakaran itu dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian.

Categories
NASIONAL

Bomba padam hampir 85 peratus kebakaran Gunung Baling

ALOR SETAR, 9 FEB: Hampir 85 peratus kebakaran yang dikesan di Gunung Baling, Baling yang berlaku sejak empat hari lalu telah berjaya dipadamkan sehingga kini, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya keadaan cuaca hari ini panas dan angin kuat ada kemungkinan api yang telah dipadam marak semula.

“Sehingga kini, hampir 85 peratus kebakaran berjaya dipadamkan dengan menggunakan jalan darat dan udara serta operasi pagi ini yang bermula jam 7.30 pagi hanya mengesan beberapa titik kecil kebakaran yang jumlahnya semakin berkurangan.

“Kita juga mengesan satu titik kebakaran yang menghala ke arah kuari Gunung Baling tapi masih dalam keadaan terkawal,” katanya hari ini, lapor BERNAMA.

Mohd Jamil berkata, penggunaan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih diteruskan bagi memadam kebakaran menerusi pelepasan ‘water bombing’ dari udara.

Katanya, sehingga jam 9 pagi tadi sebanyak tujuh beg ‘water bombing’ telah dilepaskan ke lokasi kebakaran di gunung itu.

“Selain itu, anggota bomba menggunakan ‘fire beater’ dan ‘jet shooter’ untuk membantu memadamkan kebakaran kecil yang turut dibantu anggota daripada agensi penguatkuasa yang lain,” katanya.

Punca kebakaran itu yang bermula Rabu lalu belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian.

Categories
NASIONAL

Operasi padam kebakaran Gunung Baling diteruskan

ALOR SETAR, 8 FEB: Operasi memadamkan kebakaran di Gunung Baling, Baling yang terbakar sejak petang Rabu lepas diteruskan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, kaedah ‘water bombing’ menggunakan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memadamkan kebakaran itu.

Katanya, sehingga kini tujuh atau lapan beg ‘water bombing’ dilepaskan dari udara ke lokasi kebakaran di gunung itu.

“Operasi bermula 8 pagi tadi dan keadaan cuaca pagi ini agak baik. Tetapi menjelang tengah hari nanti kita bimbang cuaca akan kembali panas, jadi kita akan cuba untuk padamkan kawasan yang masih terbakar dan helikopter akan cuba memadam tiga lagi titik kebakaran besar yang dikesan.

“Setakat ini, pemadaman di puncak gunung telah selesai. Anggota kita yang menggunakan jalan darat turut membawa beg berisi air bagi melakukan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran yang kecil,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, seramai 20 anggota bomba terlibat dalam operasi hari ini yang turut dibantu lebih 50 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa lain selain turut mendapat bantuan malim gunung​​​​​.

Katanya, pihak operasi JBPM negeri Kedah juga telah mengorek dua punca air berdekatan lokasi kejadian semalam bagi memudahkan kerja-kerja pengambilan air dilakukan.

Semalam, bomba menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran yang melibatkan kawasan seluas lebih 2.8 hektar di Gunung Baling berikutan keadaan cuaca panas dan angin kencang.

Punca kebakaran itu belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian.

– BERNAMA