Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selangor cadang wujudkan ‘Master Class’ bimbing pengkarya baharu

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri dalam rancangan mewujudkan Kelas Induk (Master Class) bagi melahirkan lebih ramai pengkarya sastera baharu dari Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, kelas yang dirancang pada 2020 itu bakal dibimbing sasterawan negara sendiri bagi membolehkan penulis baharu memperkayakan lagi koleksi tulisan mereka sama ada daripada segi konteks serius selain seni dan budaya.

“Mungkin ia (Kelas Induk) dilihat sebagai usaha kecil, tetapi saya yakin ia mampu mengisi Malaysia Baharu supaya tidak lompong.

“Kini dengan tanggungjawab dan kefahaman, Kerajaan Negeri mahu meneruskan peranan bagi melatih karyawan, sekali gus mewujudkan lebih ramai pengkarya ternama serta kemudiannya menjadi aset bernilai pada negara juga negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hadiah Sastera Selangor 2019 di Black Box SACC Mall, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree yang juga penganjur utama program terbabit.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said, Datuk Dr Anuar Rethwan, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Baha Zain.

Pada majlis berkenaan, tiga pemenang utama serta 12 pemenang penghargaan bagi kategori esei, cerpen dan sajak turut diumumkan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Juri Hadiah Sastera Selangor 2019, Faisal Tehrani menyambut baik cadangan Dato’ Menteri Besar berhubung rancangan mewujudkan Kelas Induk terbabit.

Katanya, program sedemikian mampu menghasilkan kualiti kerja yang baik dalam kalangan karyawan.

“Kami (juri) ingin memberi kredit kepada SelangorKini, Kerajaan Negeri dan kumpulan editorial yang bertungkus lumus membantu menerbitkan karya sastera fiksi dan non-fiksi tanpa prejudis. Semoga usaha ini akan terus diberi perhatian dan sokongan,” katanya.

Categories
BUDAYA RENCANA

Di bawah sebatang tiang

Oleh Nur Ilyani Alias

Saksi 1: Cerita Tabib Yang Melewati Rumah Tuk Tua

Ya! Memang tak silap. Sah!

Kebiasaannya, kalau aku pergi ke kedai Mek Dah, memang dia sudah tercongok di atas pelenggar. Kalau tidak pun, dia akan makan sireh pinang sambil jahit kain jalur merah putih yang berbintang bulan kuning sampai elok. Jarang sungguh aku tak nampak dia kalau lintas rumah ni pagi-pagi. Tapi, kukira dia masih tidur atau paling kurang tidak sihat. Tidaklah aku panggil dia pula.

Aku memang tabib. Tetapi untuk menampung belanja rumah tangga, aku perlu ada kerja lebih. Kadang-kadang tiga kerja aku buat dalam satu masa. Aku bukannya ada kedai tabib. Dahulu pernah ada, tetapi tutup sebab mahal harga untuk cukai pelbagai benda. Tengah hari aku pulang dari menebas, masih tidak nampak kelibat Tuk Tua. Siapa kata dia tidak ramah? Eish! Simpang ujaran kau kalau tuduhnya begitu. Tuk Tua sangat ramah dan penyayang. Dia pemimpin tempat ini. Kalau ada masalah orang berkelahi, dialah  tempat dituju untuk mendapat nasihat. Di sekeliling rumahnya penuh pelbagai jenis kandang haiwan. Penyayang orangnya. Aku juga masih bingung, ke mana orang tua ini? Setiap hari dia akan tegur pakaianku yang lusuh serta kadang-kadang dipenuhi selut. Katanya, dah sampai masa kau kerja dengan aku. Jadi tukang kebun di rumahku ini. Aku masih ingat. Bahkan, terngiang-ngiang sehingga sekarang.

Aku buat tidak endah sehinggalah masuk waktu Maghrib, ketika aku hendak ke masjid. Rumahnya memang laluan orang kampung ke masjid. Rumahnya terang benderang tetapi kelibatnya tiada.

Akukan tabib. Aku kira…

Sahlah! Orang tua ini sudah hilang.

Saksi 2: Rasa Hati Marlina Akan Kehilangan Tuk Tua

Mengapa ini boleh berlaku? Aku salah seorang isterinya – yang paling muda, sembilan belas tahun. Rumahnya mempunyai empat belas bilik. Sudah 62 tahun rumah tersebut tersergam di tanah ini. Walaupun dia mempunyai 14 buah bilik tetapi dia lebih gemar meluangkan banyak masa di perpustakaan (bilik yang paling luas dan mempunyai koleksi buku mengalahkan bilangan buku di Perputakaan Utama Universiti Teknologi Petronas)

Pemarah? (Ketawa)

Jarang sekali dia marah. Tegas, ya.

Sekiranya ada antara maduku yang bergaduh, dia akan rundingkan sehingga damai. Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah kami yang bermadu. (Ketawa) Setiap malam dia akan pergi ke empat-empat bilik untuk menemani kami. Ya, memang empat bilik sahaja yang digunakan. Kerana, kami empat orang isteri. Oh, bilik yang sepuluh lagi milik bekas isterinya. Sekarang, bilik-bilik tersebut didiami oleh anak-anaknya yang seramai puluhan orang.

Kaya? (Mengangguk)

Pasti sekali. Lihat sahaja rumahnya yang gah tersergam indah dengan bayaran utiliti sebanyak lima ribu ringgit sebulan. Tetapi, dia langsung tidak pernah menunjuk-nunjuk. Sumpah, kami tidak tahu ke mana dia menghilang. Sejak pukul dua belas tengah malam tadi, kelibatnya langsung tidak nampak. Dia keluar dari bilikku yang paling akhir. Aku lihat dia terus menuju ke perpustakaan sambil menikmati segelas kopi kosong. Selepas itu, aku dengar bunyi enjin kereta. Tidak pula aku mengintai kerana sudah lewat malam.

Bantu kami carikan dia sehingga jumpa. Dia ialah ketua keluarga. Sukar kami hendak teruskan hidup tanpa pemimpin rumah; tambah-tambah aku sedang hamil anak kelima.

Saksi 3: Titipan Penjaga Pintu

Inilah pekerjaanku setelah keluar dari penjara sepuluh tahun dahulu. Sebelumnya, aku seorang pemilik syarikat pengeluar utama hasil bumi negara. Akibat korupsi, aku lingkup. Dia yang menaruh kepercayaan kepadaku dengan mengambilku sebagai Tukang Jaga Pintu dengan gaji lumayan. Aku belum berkahwin dan memang tiada sesiapa hendak mengahwiniku- barangkali kerana ada cop banduan di dahiku. Sehingga kalau aku ke masjid, masih kedengaran bisik-bisik nakal tentang kondisi diriku. Semalam, aku tolong dia tegakkan tiang di sebelah dapur. Tiang tersebut miring ke kanan. Sebab pesaknya sudah kena makan anai-anai.

Pagi-pagi lagi Tuk Tua sudah keluar. Pagi yang aku maksudkan ialah pukul satu pagi. Dia hendak ke suatu tempat. Tidak pula aku tanyakan kerana dia tidak suka aku masuk campur urusannya. Sepanjang aku bekerja di sini, inilah pertama kali dia keluar pada waktu   begitu.

Orang tua sepertinya yang ada penyakit kencing manis dan darah tinggi memang tidak enak keluar waktu begitu. Tambahan pula, tidurnya mesti cukup. Pasti dia punya hal penting untuk bergegas keluar waktu-waktu begitu. Dia hanya seorang diri bersama sebuah beg kecil berwarna hitam.

Pukul enam pagi, aku terjaga. Memang sengaja aku tidak tutup pagar rumah, manalah tahu kalau-kalau Tuk Tua pulang. Sampai pagi, keretanya masih tiada. Apatah lagi kelibat orang tua itu. Bukan tugasku untuk melaporkan hal ini kepada pihak polis. Tambahan pula, isterinya ada empat orang. Anak-anaknya juga melimpah ruah di dalam rumah. Pasti mereka lebih mengetahui apa yang berlaku.

Betul-lah Tuk Tua hilang?

Allahu Akbar!

Kebenaran: Surat dari Tuk Tua di bawah sebatang tiang.

Sengaja aku tinggalkan wasiatku di sini. Di bawah tiang seri rumah yang pasaknya langsung tidak berganjak sejak enam puluh dua tahun lalu.

Wahai isteri-isteriku,

Terima kasih atas segala keperitan yang kalian kaburkan demi aku. Aku tahu, di sebuah perairan berpuluh-puluh pantai yang muncul, tetap lautnya hanya satu. Maka, aku wasiatkan segala tanah-tanahku di seluruh negara serta yang tersembunyi gerannya di luar negara. Peliharalah segala harta ke jalan yang baik-baik, agar aku turut mendapat tempias cahayanya. Usah kalian berduka. Jagalah rumah pintu empat belas dengan penuh kasih sayang dan reda Tuhan.

Keputusan pemergianku ini bukanlah terburu-buru. Aku sudah renta. Nafsu serakahku mudah patah. Bahkan, kian umurku menghampiri garisnya, aku kian gusar tatkala memikirkan pemimpin rumahku nanti.

Maka, melalui ini, aku wasiatkan Tukang Jaga Pintu untuk meneladani isteri-isteriku seterusnya menjadi pengganti ketua rumah berpintu empat belas.

Benar, aku tahu status dirimu banduan. Itulah yang menjadi dorongan untukku memilihmu setelah meringkuk selama sepuluh tahun di dalam penjara. Kau lebih hebat mempelajari hal kehidupan melalui tembok batu dan jeriji besi. Kau lebih kenal yang mana intan, yang mana nisan.

Tiang seri ini menjadi saksi, bahawa aku takkan kembali.

Kerana aku renta.

Prolog.

Tiang seri yang tegak berpaksi sejak enam puluh dua tahun di cat semula dengan warna biru, kuning, serta jaluran putih dan merah. Di perdu tiang diserikan dengan bunga kelopak lima pelbagai warna; merah menyala, kuning istana dan putih suci.

Dan, Tukang Jaga Pintu sebagai ketua.

Categories
BUDAYA RENCANA

Mungkin zombi tak selapar yang engkau sangka

Oleh Lokman Hakim

Perkara pertama yang harus dilangsaikan sebaik tiba di rumah ialah menghidupkan televisyen. Ada petaka sedang melanda Kuala Lumpur. Kisah cinta yang mengiringi petaka ancaman zombi itu enak ditelusuri saban malam. Nah, usah ditanya adakah aku sudah makan malam. Semua itu sudah aku selesaikan di dalam kesesakan jalan raya tadi. Sudahkah engkau rakamkan kisah cinta dalam petaka zombi itu? Benar, ia bukan refleksi pada kehidupan nyata kita. Sebab itulah aku menyarankan agar engkau tonton sahaja cerita itu agar hidup kau yang kosong itu lebih bermakna.

Zombi sudah menguasai Kuala Lumpur. Hero kita, Ahadiyat, sedang menyorok di dalam sebuah bilik kebal bersama isterinya, Kamelia. Terdapat bekalan senjata api yang banyak. Tetapi aku lebih teruja melihat kapak yang tidak lekang dari tangan Ahadiyat. Cerita itu ganas tetapi dengarnya sambutan ke atas cerita itu amat menggalakkan. Oh, alangkah seronoknya punya tubuh sasa seperti Ahadiyat, lebih-lebih lagi mampu memerangi sebegitu banyak  zombi secara solo. Ah, usahlah memerli keadaan fizikal aku yang kurus ini. Sudah berapa bulan aku bergantung hidup dengan makan roti sahaja untuk makan malam. Lihat itu, rupa paras Kamelia, wah, memang sepatutnya dia menjadi peranan heroin. Dia ada karisma wanita perkasa, bukan macam perempuan di pejabatku yang perengus.

Hero kita sedang memegang kapak dengan elegan. Aku hairanlah kenapa tak ada kesan palitan darah pada bajunya? Bukankah sebentar tadi dia menetak sebegitu banyak zombi? Baiklah, kita lupakan perincian sebegitu. Ada mesej penting yang hendak disampaikan. Sebagai contoh, Ahadiyat tidak pernah cuba memikat wanita lain dalam cerita ini. Hanya Kamelia di hatinya. Bahkan, prioritinya setakat ini adalah menyelamatkan Kamelia. Usah dipertikaikan kenapa dia menetak beberapa orang awam yang mahu minta diselamatkan. Tidakkah mereka itu sudah digigit zombi? Kita tahu, Ahadiyat tiada pilihan. Oh, Ahadiyat, pasti sukar membuat keputusan bukan? Membunuh orang sebegitu bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.

Hei, jangan menyampuk bila aku tengok cerita sedap. Duduk di hujung sana. Apa? Belum makan? Bukankah sudah aku beri duit berkepuk untuk kautempah makanan atas talian? Sabarlah sekejap lagi. Babak romantik itu penting. Babak itu penting apabila seharian aku menghadap kerenah bos dan staf yang entah apa-apa, jadi nah, duit untuk kau. Pergilah makan di warung bawah rumah sana. Jangan lupa bungkuskan nasi bujang, ya.

Ahadiyat berjaya menyelamatkan si kecil Dira. Lincah benar gerakannya menyusup di bawah seliratan laser-laser yang rumit seperti jaring labah-labah. Gerakan akrobatik yang setaraf pelakon Hollywood. Sementara itu Kamelia pula telah berjaya menutup akses daripada dilalui segerombolan zombi-zombi yang tidak cerdik itu. Ada yang mati dihempap pintu besi. Teruja melihatnya.

Tapi hero kita dan Dira masih berada dalam keadaan bahaya. Ketua penyelidikan projek haram ini telah menyuntik dirinya sendiri dengan serum yang menukarnya menjadi sejenis raksasa. Tubuh gergasi itu, dibarisi dengan bonjolan-bonjolan persis tanduk yang barangkali terbentuk daripada tulang rusuknya yang bermutasi. Itu telahanku. Bukankah aku sudah kaji di internet mengenai cerita ini? Sangat terperinci. Aplikasi teknologinya boleh dipercayai.

Gila betul, cerita tak tamat-tamat lagi ini. Badan sudah berbau tengik. Aku patut mandi. Alahai, mana pula nasi bujang aku ini? Takkan makan tempat jauh? Mana pulalah kawan ini pergi. Persetankan. Babak pertarungan Ahadiyat dengan raksasa sudah bermula. Dira pula sudah selamat berada dalam jagaan Kamelia. Helikopter penyelamat pula sudah tiba di bumbung fasiliti. Sempurna. Tapi nampak gayanya Ahadiyat lebih selesa menggunakan kapaknya. Raksasa itu pula tidak perlukan senjata. Kuku-kukunya tajam dan besar macam dinasaur pemangsa. Oh, kedua-duanya meluru ke depan. Sebelum pertembungan berlaku, Ahadiyat pantas menyelinap di bawah kangkang raksasa lalu menetak pergelangan kaki kiri. Raksasa meraung dahsyat. Tumbang berdentuman.

Telefon genggam berbunyi. Tapi aku tak hiraukan. Babak penyudah harus diselesaikan. Ahadiyat melonjak tinggi, lalu membaling kapaknya persis membaling bumerang. Dering telefon genggam begitu konsisten pula. Menyampah. Wah, kapak membelah tubuh raksasa kepada dua. Kepalanya terbelah dua. Darah membuak-buak seketika. Ahadiyat mendarat dengan kemas dan penuh bergaya. Telefon genggam masih juga berbunyi.

Aku mengangkat telefon itu dan menjawab panggilan. Kedengaran bunyi siren dan juga suara seorang lelaki yang agak garau. Aku terpinga-pinga, lalu memperlahankan volume televisyen. Babak Dira dan Kamelia menyatu dengan Ahadiyat lalu bergerak ke helikopter pula menyusul. Panggilan telefon itu daripada pegawai polis, tetapi kenapa polis menghubungi aku?

Terbayang rakan serumah yang belum balik lagi. Bunyi siren itu juga begitu dekat. Helikopter sudah melayang pergi dengan dentuman bom nuklear menenggelamkan kota penuh zombi. Aku bergerak ke tingkap yang menghadap warung. Melihat sebegitu ramai orang berkerumun di tepi jalan dan juga polis. Mungkin semua orang itu sudah jadi zombi.

Ketika ini, aku harap yang terbaring di sana hanya Ahadiyat atau Kamelia. Jika boleh biarlah Dira sekali. Zombi-zombi akan membaham mereka. Aku dimaklumkan ada kematian dan nombor telefon aku merupakan nombor terakhir yang dihubungi mangsa. Siapa lagi yang ada menghubungi aku pada waktu terdekat? Tanpa berlengah, aku segera berlari menuruni anak tangga. Nampak nasi terhambur di muka aspal.

Categories
BUDAYA RENCANA

Wajah-wajah bidadari dan sekuntum kemboja

Di relung mahabbah yang ternukil ini
si gadis itu merenung tajam dengan penuh ketakjuban
melihat teratai yang beralun-alun di gigi sungai
melemparkan wajah-wajah bagaikan bidadari yang setia
menunggu di sebalik indahnya panorama
yang melakarkan ikatan penuh kedamaian
pada pepohon yang melambai-lambai
pabila ditiup sang angin sepoi-sepoi bahasa
yang mengalunkan irama yang syahdu
gemersik jiwa pabila mendengarnya.

Di bawah lembayung senja nan indah ini
sesayup ombak menghempas pantai
pada pagi yang mendamaikan sejahtera
di sebalik mekarnya sekuntum kemboja
yang memutik warna di kelopak jingga
atas rasa seharum mewangi di teratak pujangga
kerna wajah-wajah bidadari yang menjelma itu
bagaikan sekuntum kemboja yang mekar
terukir di persada nanti abadi murni
ternoktah di jalinan ukhuwah yang abadi
memaknakan serungkai kata yang azali
di jambangan suci semurni hati.

Wadiasofi Jaafar

Categories
BUDAYA RENCANA

Evolusi peribahasa, dari unsur alam ke teknologi

Oleh Jauhar Senapi

Empat unsur peribahasa Melayu adalah simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah dan bidalan. Semua unsur ini merangkul peribahasa menjadi elemen penting bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan komunikasi seharian. Menurut Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, peribahasa merupakan salah satu “kegeniusan bangsa Melayu”. Justeru, mari kita perhitungkan kembali dalam bicara kita hari ini, apakah terselit genius ini?

Kebanyakan peribahasa terbina dari unsur alam. Seperti prosa dan puisi tradisional, unsur alam yang dekat dengan sekeliling manusia menjadi sumber inspirasi untuk mengindah dan melengkapkan peribahasa. Selain itu, benda, tindakan, kejadian dan pelakuan seharian pada waktu itu turut menjadi unsur dalam penelitian sebelum dipindah ke dalam bentuk peribahasa. Semua ini ramuan yang menjadikan peribahasa sebagai wadah komunikasi berkesan. Sebagai contoh simpulan bahasa  “cakar ayam” yang membawa maksud tulisan yang buruk dan sukar dibaca. Mengapa perlu digunakan pelakuan haiwan sebagai sinonim tulisan buruk? Hal ini memberi ringkasan terhadap situasi itu lalu melayarkan imaginasi kepada manusia. Kita akan lantas terbayangkan bagaimana seekor ayam imencakar dan bagaimana bentuk dan hasil cakarannya. Begitu juga dengan “buah tangan”, “jalan tengah”, “lintah darat” dan “tali barut”.

Namun begitu, pada zaman moden begini berapa ramaikah antara kita yang masih merasa berselut di sawah? Berapa ramaikah yang memugar tanah di kaki hutan? Berapa ramaikah turun ke laut menangkap ikan? Dan berapa ramaikah menarik hidung lembu ke padang ragut? Ironinya, seperti peribahasa sendiri, hidup kita semakin dipermudah teknologi dan perkembangan ekonomi. Kita membeli ayam yang sudah siap disembelih dan dipotong dari pasar raya. Kita menghantar mesej WhatsApp atau Facebook yang dapat diterima kawan kita dengan pantas. Seperti peribahasa yang suatu ketika dahulu memudah dan memantaskan sesuatu deskripsi berkenaan situasi, tindakan atau pelakuan. Secara tidak langsung ini memberi gambaran bahawa kita sebenarnya sudah jauh daripada alam menghijau mahupun haiwan. Mungkin segelintir daripada kita masih tinggal di kampung dan merasai keindahan alam tetapi ia tidak sama seperti dahulu. Keindahan alam hanya tinggal pada foto-foto yang dimuat naik ke media sosial, pada kata-kata pembuka majlis dan tulisan dan yang terakhir sekali pada puisi tradisional kita. Jarak kita dengan alam yang jauh menyebabkan peribahasa terasa asing di bibir. Ia tanggal daripada lidah memori tanpa kita sedari.

Bahasa juga adalah cerminan penggunanya. Jika kasar dan kotor bahasanya maka si penggunanya kemungkinan besar bersikap sebegitu. Seperti kata pepatah “adakah dari telaga yang jernih akan mengalir air yang keruh?” Kehidupan moden yang serba pantas sedikit sebanyak terbias pada apa yang kita ucapkan. Percakapan sudah menjadi singkat dan kurang, baik di pejabat mahupun di rumah. Kerana wujudnya alatan moden seperti telefon pintar, ruang perbualan via teks terbuka luas. Ini bermaksud manusia semakin kurang bergantung kepada kiasan, perumpamaan dan simpulan bahasa kerana ia boleh berkomunikasi secara terus tanpa lapis.

Ibnu Khaldun menyebut bahasa dan sistem tulisan sebagai salah satu ciri tamadun dan ia bahasa juga berevolusi. Ia dinamik dan sering berubah atas sebab yang pelbagai seperti perkembangan teknologi, ekonomi dan persilangan budaya. Adakah peribahasa juga mendapat kesan daripada faktor-faktor ini? Kita lihat simpulan bahasa “cakar awan” yang memberi maksud bangunan-bangunan tinggi. Begitu juga dengan perumpamaan “bagai Belanda minta tanah” yang memberi maksud tidak cukup dengan sesuatu dan mahu lebih lagi. Jangan kita lupa kepada “dunia di hujung jari” dan “menara gading”. Kedua-dua peribahasa ini boleh dikira relatif baharu. Dengan peribahasa yang mengungkapkan maksud keterkinian, ia menjadi relevan dan mula hinggap di lidah dan bibir penutur. Sedikit sebanyak, penggunaannya oleh pemimpin-pemimpin utama negara dan “menggazetkannya” ke dalam buku teks akan membuatkan ia lebih banyak digunakan. Cuma, seperti pergerakan teknologi yang pantas, ia mudah dilupakan dengan kehadiran istilah-istilah baharu, yang bercampur bahasanya akibat faktor-faktor yang seperti disebutkan pada awal perenggan ini.

Istilah-istilah baharu muncul dan tersebar dengan pantas. Ia menjadi trend dan meniti di bibir pengguna sebelum hilang dan diganti istilah baharu. Istilah-istilah ini juga membentuk “peribahasa baharu”. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, peribahasa sebenarnya turut berevolusi seiring perkembangan teknologi. Objek-objek terdekat dijadikan simpulan bahasa. Kejadian dan tragedi menjadi perumpamaan yang baharu. Sikap dan perangai buruk atau baik sama ada oleh pemimpin atau rakyat menjadi bidalan dan pepatah yang catchy dan segar. Sebagai contoh, seorang pengguna Twitter menulis peribahasa baharu “umpama harga petrol” dan dia menyertakan maksudnya sekali iaitu sesuatu yang sentiasa naik atau meningkat dan jarang-jarang turun atau berkurang. Kemudian ada pengguna Facebook yang menulis “setelah habis bateri telefon bimbit baru membeli powerbank yang disertakan maksudnya sebagai tidak bersedia terhadap situasi yang dijangkakan. Ada juga yang menulis “bagaikan mencari jarum dalam jerami menggunakan magnet” (kita boleh fikirkan terus apa maksudnya).

Pada masa mendatang peribahasa baharu dijangka terus wujud. Selagi manusia berbahasa dan ruang teks ada, maka ia akan terus bercambah dan digunakan. Persoalannya, adakah ahli-ahli bahasa akan mengakui “peribahasa-peribahasa” tadi? Perlukah ia dimasukkan ke dalam kamus peribahasa bercetak yang diiktiraf agensi utama bahasa?: Perdebatan tentang ini tampaknya belum ada lagi. Hanya ada suara-suara yang antara entah dengar entah tidak saja yang membincangkannya secara santai.

Categories
BUDAYA RENCANA

Tuhan sembunyikan Nur

Oleh Nursyuhaidah A. Razak

JAM berdetik tiga kali. Aku bangun membuka tingkap. Dingin. Fikiranku menerawang. Kedinginan pagi mengingatkan aku kepadamu. Apa khabar diri, aku membaca tentangmu di portal-portal berita. Hidupmu kini jadi barang tilikan warga maya, aku juga terpalit. Aku dipandang bekas isteri yang jahat. Segala hal peribadi, hal-hal paling rahsia suami-isteri telah dirobek orang. Ah sedang engkau sendiri yang melanggar batas. Hidup mati berimankan Yang Tunggal. Tetapi engkau mati… mungkin benar telahan orang, aku yang mendorongmu. Akulah punca engkau menggantung diri.

Kehidupan seperti apa yang aku katakan kepadamu – menjerat kita di dalam makna-Nya. Sehingga kita lemas dalam pengamatan fikiran sendiri. Agama, tidak membebaskan manusia malah membodohkan. Kita terperangkap di dalam limitasi dan realiti. Diri perlu dibiar fana, manusia adalah abdi tiap waktu.

Ya – sehingga engkau membuang dunia dan isterimu.

Pernah aku bertanya kepadamu, apa sebenarnya fungsi masjid – selain menjadi tempat manusia insaf sendiri-sendiri. Kaum miskin sedang bergelandang di luar ketika engkau pertahankan tempat yang engkau katakan berkat. Sebanyak-banyak wang yang engkau laburkan dalam pembinaan masjid tidak membuat ramai orang beribadah kepada Tuhan. Engkau hanya melahirkan manusia simplistik yang memperdagangkan pahala dan dosa. Masjid tidak menyempurnakan kemanusiaan. Tetapi engkau… ya, selalu tidak peduli renung fikir isterimu.

Engkau menurut tradisi bodoh orang agama. Sehinggalah pada hari itu…

‘’Masjid bukan tempat berkat!’’

Aku menjerit. Engkau melemparku dengan ucapan pengampunan kepada Tuhan – semoga Tuhan memberi petunjuk buat isteriku! Kurniakan Nur di dalam jiwa batin isteriku oh Tuhan!

 Masjid membiak rasisme

Masjid melahirkan penindas

Masjid tidak peduli orang miskin

Sepanduk yang dibawa teman-temanku dirampas. Orang-orangmu rakus memukul. Masih aku ingat pekikan mereka. Orang kafir tidak boleh masuk ke masjid! Bertaubatlah perempuan fitnah! Engkau di mimbar menguncikan mulut. Hari itu engkau membiarkan keganasan berlaku di dalam masjid. Teman-temanku diterajang perut mereka terus-menerus. Di mana kebenaran pada kata-katamu – masjid mengharmonikan semua bangsa? Apa doa-doa membela kaum feudal selama ini akhirnya membutakan mata hatimu?

Ah tidak ada lagi jalan untuk menyedarkanmu, wahai suamiku. Berbicara denganmu setelah engkau sudah selalu aku biarkan menikmati setiap inci tubuh, juga gagal. Engkau telah terjerat di dalam makna-Nya. Nah! Hari itu menjadi derhaka adalah bukti pemaknaan keberadaan Diriku sebagai hamba.

Apa khabar dirimu di sana suamiku? Barangkali engkau sedang bersoal-jawab dengan pengiring Tuhan, tidaklah Tuhan akan terus menghukum hamba-hamba-Nya yang mati bunuh diri. Dia lebih tahu pergulatan jiwa yang engkau terpaksa tanggung. Maha Penyayang Tuhan, Maha Kasih dan Maha Cinta Tuhan. Tidak akan terus engkau dihukum suamiku. Engkau suami yang santun dengan isteri-isterimu. Belum aku lupa kata-katamu ketika engkau merebahkan kepala di atas ribaku buat pertama kali, cinta kita suami isteri adalah jalan sepi yang tidak akan sanggup dilalui orang lain, di hujungnya kita akan bertemu nikmat terbesar yang tidak dapat dilawan dengan segala isi dunia, dunia ini sendiri tempat terkutuk buat kita suami-isteri, ia seperti sebuah gudang kosong yang tidak memberi apa-apa pada orang-orang Islam, harus tetap kita suami isteri berpegangan, jangan sampai jatuh di dalam lubang dunia, haruslah ditumpukan seluruh kehidupan kita suami isteri akan nikmat terbesar di hujung jalan itu – engkau isteriku, Tuhan yang memilihmu sebagai isteriku, engkau pakaianku.

Lalu aku engkau cium, malam itu. Malam esoknya, hari-hari sampai waktu siang.

Satu hal yang engkau tidak tahu tentang diriku, wahai suamiku – seberangkatnya engkau ke masjid mahu pun ke tempat isteri pertama, aku berseorangan di dalam bilik dan aku sangat mencintai keadaan itu. Waktu yang cukup lama buat aku merenung. Selalu muncul keanehan di dalam perasaan jiwaku. Bergolak-golak seperti air panas di dalam periuk. Aku kadang jadi tidak yakin denganmu. Bukankah sanggama suami isteri adalah nikmat terbesar orang-orang Islam, lalu mengapa engkau katakan dunia seperti gudang kosong lagi terkutuk? Apa betul tiada jalan pintas untuk perempuan ke syurga selain wajib jadi isteri yang taat, ah aku cinta dan aku juga ragu-ragu denganmu. Cepat-cepat aku sangkal keraguanku dengan beristighfar kepada Tuhan. Aku isterimu yang dipilih Tuhan, tidak mungkin Tuhan berbuat kesilapan. Celakalah aku sebagai isteri yang mencurigai suami beriman.

Sampailah pada suatu hari, hari kemuncak segala kejadian, aku lupa bagaimana aku boleh tertidur dan bermimpikan seorang laki-laki. Dia namakan dirinya Iqbal. Dia membisik di telingaku, kendalikan diri di hadapan-Nya. Dan janganlah kau fana dalam lautan cahaya-Nya.

Aku terjaga, menggelupur ketakutan. Sebuah dosa besar untuk isteri membayang-bayangkan lelaki selain suami. Siapa Iqbal yang tiba-tiba muncul ini, aku menangis terjerit-jerit. Kepada Tuhan aku meminta kebenaran. Aku tertidur lagi pada hari yang lain, Iqbal menjerkahku – Hati-hatilah pada Hafiz, si peminum! Pada pialanya, racun kefanaan, pada kepalanya yang berserban! Aku bangun, sekali lagi menangis. Meraung sekuat hati! Aku tidak akan curang pada suamiku. Siapa Iqbal yang tiba-tiba muncul ini, jauhlah! Pergilah Iqbal! Kepada Tuhan aku meminta lagi satu-satunya kebenaran. Aku tertidur lagi, kali ini Iqbal datang dengan bayangan suamiku di sebelahnya – melodi serulingnya adalah penghambat fikiran. Jauhilah pialanya. Kerana bagi cendekia dan pembuat kebaikan, ia bagai candu yang menawan.

Jauhilah pialanya.

Aku terjaga dari mimpi buat ketiga kali itu. Kekuatan tiba-tiba datang merempuh pintu jiwaku. Jauhilah pialanya. Sepertinya kata-kata Iqbal memperkemaskan jalan perenunganku selama ini. Aku meyakini Tuhan sedang menunjukkan kebenaran. Suami yang aku cintai sedang mengalami pengalaman rohani bersatu dengan Tuhan. Dia akhirnya tenggelam, larut dalam hakikat Cinta. Duniawi ini tidak ada erti lagi buat suamiku. Berkhalwat dengan Tuhan sampai hidup miskin, tetapi lucu, suamiku takut kalau ditinggal isteri-isteri. Lebih lagi aku, isteri keduanya yang paling rupawan untuk dirangkul dan dicium. Hampir gila suamiku menanggung malu dan beban sebuah talak. Laki-laki yang gagal membawa isteri sampai ke syurga adalah laki-laki yang kehilangan fungsi. Itulah malam yang begitu sunyi, malam dia menjerut kepala dengan kain serbannya sendiri. Sudah terjeratlah dia dalam makna bertuhan sehingga melankolis yang keterlaluan.

Di hujung katil, aku mendengar Iqbal bersenandung – condongkan hatimu lagi kepada salma Arabi.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Tak ada batas di sini

Tak dan ada bertemu
bagai ti dan ada bertemu
sebelum ada ada tak: ada ada
ti tak ada erti sebelum ti ada ada.

tak bertemu ada seperti ti
bertemu ada menjadi tak ada
ti bertemu ada seperti tak
bertemu ada mengada tiada.

Md Fariq Khir

Categories
BUDAYA RENCANA

Merenung meta: Filem dibingkai filem

Oleh Adam Taufiq Suharto

NINA Wu ingin jadi bintang filem. Dia tinggalkan pekan kecil, tempat membesar lalu berhijrah ke Taipei. Semuanya demi mengabulkan mimpi, ingin jadi bintang filem. Mimpinya kemudian dikabulkan Tuhan. Dia mula ke set penggambaran sebagai aktres. Namun, dari satu babak ke satu babak, Nina kian keliru yang mana satu ruang lakonan dan yang mana bukan lakonan, yang mana filem, yang mana bukan filem. Bukan Nina sahaja, tetapi spektator juga dihambat kekeliruan dengan twist dan turn antara babak nyata dan tak nyata. Kadang yang dirasa nyata, hanya lakonan, dan yang dirasakan lakonan pula, kian seolah-olah nyata.

Terdapat beberapa babak, kita dibiarkan saja melihat track yang digunakan untuk syot tracking yang sedang kita tonton. Di situlah kita akan menerima, pada naskhah Nina Wu tidak ada yang realiti, semua yang terpancar pada layar cuma lakonan, bikinan. Semuanya artifisial, semuanya filem. Sutradaranya cuba membikin suatu bentuk filem yang dibingkai filem; filem yang menyeberangi bentuk filem.

Pengalaman menonton Nina Wu (2019) karya Midi Z sekaligus mengingatkan saya sesuatu yang kian saya lupakan yakni metasinema. Metasinema sebenarnya dipinjam daripada terma susastera yakni metafiksyen yang pertama kali diungkapkan William H. Gass dalam Fiction and Figure of Life pada 1970. Metasinema, sebuah bentuk filem yang melangkau atau mengaburkan batasan fiksyen dan realiti. Bentuk fiksyen ini memiliki beberapa kategori seperti poioumenon, mise-e- abyme dan mimesis. Esei ini akan berfokus kepada kategori poioumenon, seperti Nina Wu (2019), Moment of Innocence (1996), Adaptation (2002), 8 ½ (1963) dan The Player (1992). Terma poioumenon pertama kali ditimbulkan Alaistair Fowler, seorang kritikawan sastera dalam History of English Literature pada 1990 bagi merujuk kepada naratif yang bercerita tentang proses kreatif sesuatu karya. Maksudnya, kita (spektator) dipertonton bagaimana filem yang sedang ditontoni disiapkan; kurang lebih begitu.

Sebahagian berpendapat, metasinema dimulai dengan Dziga Vertov via filemnya berjudul Man with A Movie Camera (1926). Spektator dihidangkan ‘diari’ pembikin filem yang ‘dikarang’ dengan lensa kamera. Eksplorasi terhadap disiplin metasinema kemudiannya tersebar ke seluruh dunia biarpun Hollywood terlebih dahulu mendapat perhatian daripada para kritikawan dunia akan pengamalan bentuk ini. Namun kemudiannya, tidak boleh tidak, sinema dunia terus mencerap dan mengeksploitasi metasinema. Muncullah magnum opus seperti 8 ½ (1963) oleh Federico Fellini, Saalam Cinema (1995) dan Moment Of Innocence (1996) arahan Mohsen Makhmalbalf, dan Close-Up (1990) arahan Abbas Kiarostami juga banyak lagi.

Semuanya tidak lain tidak bukan mahu melakukan refleksi terhadap sinema baik mengkritik mahupun meromantiskannya. Misalnya, Salaam Cinema (1995), Mohsen cuba menangkap ragam rakyat Iran dalam sebuah uji bakat filem yang diadakan oleh Mohsen sendiri. Kita dipaparkan dengan pelbagai karakter, seorang buta yang menangis hiba mahu berlakon dalam filem, seorang wanita yang mahu berlakon filem semata-mata ingin mengembara ke Cannes dan bermacam-macam lagi kerenah dan keragaman. Mohsen cuba merefleksi kecintaan dan kecaknaan warga Iran terhadap sinema sempena seratus tahun usia sinema di Iran.

Sebelum tahun ini Midi Z memberikan kita Nina Wu (2019), yang cuba menonjolkan skeptiknya Midi Z terhadap sinema popular yang lebih mengkehendakkan menjual tubuh berbanding menjual bakat. Shinichirou Ueda pada tahun lalu menghadiahkan kita dengan One Cut Of The Dead (2018), sebuah komedi yang menyeronokkan tentang sebuah produksi yang ingin membikin filem tentang zombi tetapi tiba-tiba diserang zombi sebenar (yang juga bukan zombi sebenar!). Ueda juga ada membikin sebuah syot tangkapan sekali (one take) lebih empat puluh minit tanpa henti dan kemudian, pada satu bahagian kita dipaparkan bagaimana babak empat puluh minit tanpa henti dibikin. Terlampiaslah perasaan romantis pada sinema. Ini memang sifatnya metasinema yang mahu kita tahu proses filem disiapkan, bagaimana filem itu dibikin. Umpama ahli silap mata yang membongkarkan silap matanya.

Di Malaysia, terdapat beberapa filem yang terlihat cuba mengamalkan metasinema (sama ada secara sengaja atau tidak sengaja). Antara yang menghiburkan sudah tentu Anita: Dunia Ajaib (1982) yang membentuk metasinema dengan ‘jujur’. Titik temu meta-nya apabila Hail Amir yang memegang watak Amir ingin membikin filem berjudul “Anita: Dunia Ajaib” lalu meminjam wang dari Bank Bumiputera yang di luar filem memang Bank Bumiputera yang memberikan wang untuk bikin filem! Walaupun temanya masih mengumbar kebobrokan penerbitan filem di Malaysia (dalam kes filem itu, ia adalah Amir sendiri yang tak siap-siap membikin filem!) tetapi bentuk filemnya secara tak langsung mencapai metasinema. Kemudian, muncullah yang lainnya seperti Kembar Siam (1989), Layar Lara (1997), Terbaik Dari Langit (2014) dan terbaru You Mean The World To Me (2017).

Akhir sekali, metasinema tidak terbatas untuk dibaca dalam konteks filem semata-mata. Metasinema merupakan pendekatan yang berupaya untuk membongkar keplastikan (plasticity) medium filem. Ini merupakan respon kepada kegagalan spektator selama ini untuk mengasingkan kepercayaan dalam realiti dan dalam fiksyen (suspension of disbelief). Metasinema juga refleksi kepada dunia pasca kebenaran yang sedang melalui krisis pengaburan fiksyen dan fakta dek kebuasan setiap autoriti untuk memanipulasi fakta-fakta yang ada. Maka, ada benarnya kata Shakespeare, “Dunia adalah pentas, manusia pula adalah para pelakonnya.” Persoalannya, adakah kita akan terus keliru seperti Nina Wu, yang tidak sedar semuanya hanya… lakonan?

Categories
BUDAYA RENCANA

Citra wanita Minangkabau dalam Manikam Kalbu

Oleh Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Citra wanita tidak asing lagi dalam penelitian, perbahasan, kajian persuratan mahupun kritikan terhadap karya-karya sastera. Norhayati Ab. Rahman dalam tulisannya berjudul “Citra Wanita dalam Epik Asia Barat: Hikayat Amir Hamzah” menjelaskan citra atau imej wanita yang dimaksudkan ialah gambaran wanita sama ada dari perspektif fizikal, peranan atau sebagai tokoh yang menghidupkan dan menggerakkan sesebuah penceritaan.

Pengkaji lain yang meneroka citra wanita ialah Naffi Mat melalui tulisannya “Patriotisme dalam Novel Ratab Rabitah: Perjuangan Seorang Wanita”, Mohd Hanafi Ibrahim menulis “Ruang Wanita dalam Sebuah Syakirah”, Siti Aisah Murad pula menulis “Wanita Contoh, Autonomi, Bijaksana dalam Wajah Seorang Wanita”, dan banyak lagi. Penulisan ini juga memerihalkan citra wanita, namun lebih menjurus kepada citra wanita Minangkabau yang dijelmakan dalam novel remaja Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani.

Novel Manikam Kalbu merupakan novel yang diangkat sebagai pemenang tempat pertama dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain itu, novel yang dihasilkan dengan kajian yang mendalam ini turut diangkat sebagai pemenang kategori novel remaja dalam penganjuran Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2006/2007. Novel ini mengisahkan dua zaman berbeza dan penulis mengangkat ideologi pembuatan busana Melayu yang mewah dengan seni rekaannya, juga falsafahnya.

Secara tidak langsung, penulis turut menyentuh adat Minangkabau yang diamalkan oleh etnik Minangkabau di Sumatera Barat dalam novel ini. Melalui novel yang diteliti, watak Manikam Kalbu secara jelasnya dikisahkan telah ke Negeri Minangkabau untuk mempelajari ilmu busana Melayu daripada Siti Nurqomariah yang digambarkan sebagai seorang wanita yang berkedudukan tinggi di negeri Minangkabau. Hal ini diungkap penulis dalam petikan berikut;

Diberitakan orang bahawa di negeri Minangkabau itu ada seorang wanita berpengaruh, berharta dan berkedudukan tinggi. Wanita itu berumur sekitar tiga puluhan dan merupakan orang yang mahir dengan segala jenis kain. Juga segala yang berkaitan dengan busana Minang. (hlm. 200)

Penulis turut menggambarkan watak Siti Nurqomariah yang juga merupakan anak kepada pemimpin masyarakat yang disegani. Hal ini dihuraikan melalui petikan berikut;

Untuk tuan-tuan yang tidak tahu Siti Nurqomariyah tersebut ialah anak bongsu seorang bundo kanduang (bonda kandung), seorang pemimpin masyarakat yang bukan calang-calang. (hlm. 202)

Dalam masyarakat Minangkabau, bundo kanduang mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat. Hermayulis dalam makalahnya yang berjudul “Peranan dan Kedudukan Perempuan Melayu dalam Masyarakat Matrilineal Minangkabau di Sumatera Barat” menyatakan kedudukan seorang bundo kanduang sebagai istimewa kerana golongan ini berhak sebagai penentu zuriat keturunan, penguasa dalam rumah dan pemilik harta pusaka.

Melalui novel Manikam Kalbu, penulis menekankan keistimewaan wanita yang dimuliakan dalam adat Minangkabau. Tsuyoki Kato melalui bukunya berjudul Adat Minangkabau & Merantau menyatakan kedudukan kaum wanita begitu terjamin kerana mendapat perlindungan melalui adat Minangkabau.

Golongan wanita yang disifatkan sebagai golongan yang lemah dinafikan dalam adat Minangkabau, malah golongan wanita diberikan hak dan kedudukan yang begitu istimewa berbanding golongan lelaki. Penegasan terhadap kewibawaan golongan wanita diperjelaskan dalam petikan berikut;

Adapun tanah Minang itu memang tersangat kayalah dengan adat dan budaya. Orang perempuan di tanah Minang memang dimuliakan kerana menurut orang-orang beradat ini, ibu atau wanita itu lebih berhak membimbing kaum supaya berperibadi mulia dan punya darjat tinggi selain bertanggungjawab menjaga harta keluarga supaya tidak habis sia-sia diperhabis lelaki. (hlm. 2003)

Berdasarkan petikan di atas, dapatlah ditafsirkan golongan wanita diberikan hak dalam memastikan golongan wanita sentiasa terbela dan mempunyai martabat yang selayaknya. Golongan wanita juga diberikan tanggungjawab dalam menguruskan perihal harta keluarga. Hermayulis menjelaskan golongan wanita merupakan pemilik segala harta terutamanya tanah dan segala yang terdapat di atas tanah. Selain itu, golongan wanita berperanan sebagai orang yang menyimpan dan menjaga segala hasil ekonomi sesebuah keluarga.

Sememangnya adat Minangkabau memuliakan kaum wanita seperti agama Islam yang memuliakan wanita. Oleh yang demikian, kaum wanita perlu tertib menjaga keperibadian mereka dan secara tidak langsung menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang tidak baik. Penulis memerihalkan hal ini dalam petikan berikut;

Wanita juga dimuliakan, kerana sudah ajaran agama, syurga memang di bawah telapak kaki ibu bukan di bawah telapak kaki paduka menteri. Orang perempuan Minang juga menjaga segala istiadat dan menentukan acara jika ada keraian. Justeru tidak timbullah lagi wanita Minang itu berbuat macam-macam dan berperangai tidak senonoh kerana darjat dan martabat sudah terpelihara. Orang perempuan dimuliakan dan ditinggikan kedudukannya kerana menurut masyarakat minang, kalau elok orang perempuan, eloklah masyarakatnya. Demikianlah kalau rosak perempuan, maka rosaklah masyarakatnya. (hlm. 203-204)

Petikan di atas menghuraikan kedudukan wanita yang dimuliakan dalam adat Minangkabau adalah selari dengan ajaran agama Islam yang turut memuliakan kaum wanita. Sebagai individu atau masyarakat yang terdiri daripada golongan wanita, seharusnya golongan ini menonjolkan sifat-sfat yang terpuji agar imej golongan wanita dimuliakan dalam adat Minangkabau dan agama Islam tidak dicemari.

Kesimpulannya, walaupun novel Manikam Kalbu mengungkap tema mengenai busana Melayu, penulis turut menyisip citra wanita Minangkabau dalam novel ini. Imej wanita Minangkabau yang ditonjolkan memperlihatkan golongan wanita begitu dihormati dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Minangkabau. Penglibatan watak wanita Minangkabau dalam penulisan novel menyerlahkan lagi keistimewaan adat Minangkabau melalui naratif sastera. Secara tidak langsung, Faisal Tehrani memanfaatkan ruang lingkup penulisan novel sebagai wadah dalam menyampaikan pengetahuan tentang imej wanita Minangkabau kepada pembaca.

Categories
BUDAYA RENCANA

Keanehan yang membakar

Oleh Abang Median Abang Said

Kebakaran itu merupakan satu keanehan daripada benda yang juga aneh. Banyak perkara yang perlu dirungkaikan. Daripada dua puluh buah rumah yang terbakar, semua rumah itu mempunyai lukisan yang sama – lukisan tentang seorang gadis cantik yang sedang menangis. Matanya pula seperti memancarkan kehangatan yang tersembunyi dan misteri jika direnung secara mendalam. Biarpun menangis, mulut gadis itu seperti mengemam senyum persis mempersenda usaha memadam kebakaran tersebut. Apatah lagi, lukisan tersebut tidak dimakan api yang menjilat kayu dan konkrit tetapi meninggalkan helaian kanvas itu dalam keadaan yang sempurna.

Pegawai bertugas dipekup kekeliruan dan kebuntuan untuk membuat laporan tentang punca kebakaran tersebut. Tidak ada gas bocor, tidak ada litar pintas, minyak tumpah atau sebarang unsur khianat. Dia tidak sanggup membuat laporan yang kelakar: Kebakaran itu berpunca daripada lukisan yang aneh!

Kewibawaannya akan terbakar dengan laporan tersebut. Siapa yang mahu percaya? Laporan sedemikian pasti akan dipersenda. Tetapi dia tidak boleh menolak kebetulan tentang kehadiran lukisan itu di setiap rumah berkenaan. Lebih-lebih lagi, dua puluh lukisan yang sama dalam rumah yang berbeza tidak terbakar.

Namun, sebuah akhbar tempatan menongkah arus dengan menulis berita berkenaan secara spekulatif dan penuh sensasi. Wartawan itu dengan berani dan yakin mengatakan bahawa kebakaran itu berpunca daripada lukisan bertajuk Gadis Lara. Berita itu terus menjadi tular di media sosial. Ada yang cuba menokok tambah berita berkenaan. Youtuber yang bijak mengambil peluang telah mengupas lebih lanjut tentang lukisan tersebut hingga videonya menjadi trending.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan  menyarankan agar lukisan itu diklasifikasikan sebagai barangan berbahaya. Lukisan itu perlu diserahkan kepada pihak kerajaan untuk dimusnahkan. Pemilik lukisan yang tidak bekerjasama perlu dikenakan kompaun maksimum atau hukuman penjara mandatori.

Beberapa konflik timbul tentang kaedah yang digunakan untuk memusnahkan lukisan tersebut. Ada mencadangkan supaya lukisan itu dibakar. Tapi lukisan itu tidak terbakar dalam kebakaran yang baru sahaja berlaku. Lantas muncul pula idea untuk menanamnya. Bagaimanapun, kekhuatiran timbul jikalau lukisan itu menyebabkan tanah berkenaan terbakar terutama melibatkan tanah gambut. Masalah jerebu pasti akan menjadi isu nasional.

Wartawan yang menulis berita berkenaan telah digantung tugasan tanpa gaji kerana dikatakan menyebarkan berita palsu. Kesahihan bahawa lukisan berkenaan punca kebakaran itu berlaku masih belum dapat dipastikan. Wartawan yang kehilangan punca pendapatan itu mencari pelukis lukisan berkenaan. Pelukis itu bukan pelukis terkenal. Dia dikatakan berasal dari sebuah perkampungan kecil di Baram – sebuah pekan seluas negeri Pahang. Kampung itu hanya boleh dilalui dengan pengangkutan air hingga terpaksa meredah sungai yang deras dan melalui jeram yang ganas. Sesekali perahu itu perlu ditarik kerana air sungai yang cetek selain dikhuatiri perahu itu pecah terlanggar batu yang timbul di atas permukaan air.

Dia akhirnya berjumpa dengan lelaki yang melukis lukisan tersebut. Mata lelaki itu kuyu dengan jambang yang tumbuh secara tidak teratur. Penampilannya agak selekeh dengan baju yang tidak bercuci dan sedikit berbau. Lelaki itu tidak banyak bercakap seperti menanggung bebanan rasa yang sangat dalam. Sesekali hanya matanya yang berbicara dengan anggukan lemahnya dan bibir yang dikemam.

Pada mulanya, dia mengunci mulutnya untuk bercerita. Katanya, dia hanya bercerita melalui lukisan. Itulah gambaran yang terpancar melalui hasilan seninya. Namun wartawan itu bijak memujuk. Kata pelukis itu, semua lukisannya kurang berjaya kecuali lukisan bertajuk Gadis Lara yang turut mendapat tempahan hingga ke luar negara. Dia telah menghasilkan 50 lukisan yang sama untuk jualan.

“Lukisan itu berjaya kerana saya melukisnya dengan jiwa. Tangan dan jari digerakkan oleh perasaan. Apatah lagi minda. Semuanya bersatu di atas kanvas melalui permainan warna yang dipilih.”

Dia keluar dari kepompong kebisuannya tatkala bercerita tentang lukisan tersebut. Dia seperti baharu mendapat vitamin hingga wajahnya menjadi segar tatkala bercerita. Dia mengatakan bahawa gadis tersebut merupakan gadis berbangsa Kayan yang menjadi rebutan pemuda kampung. Wajah gadis tersebut seperti embun yang menyejukkan. Senyumannya boleh mencairkan hingga kebekuan mengalir seperti Sungai Baram. Kecantikan yang tidak mampu diungkap melalui kata-kata.

“Gadis itu daripada golongan Panyin iaitu golongan bawahan masyarakat Kayan. Lelaki itu pula daripada golongan Maren. Golongan Panyin dan Maren hidup dengan nafas yang berbeza kerana darjat.”

Ada getaran yang tertangkap di telinga tatkala pelukis itu mengungkapkan kata-kata. Namun wajahnya masih tidak meriakkan ekspresi.

“Lelaki itu dihantar oleh keluarganya belajar ke luar negara. Semuanya untuk menghalang hubungan tersebut. Sewaktu pemergiannya ke luar negara, gadis itu dituduh bersekedudukan dengan seorang pemuda kampung yang telah diupah oleh oleh keluarga lelaki berkenaan.”

Sambil bercerita, pemuda itu membuat lakaran wajah gadis itu di atas kanvas di tepi Sungai Baram. Ada keluhan yang tertahan. Ada menungan pada pandangan yang kosong.

“Gadis itu mati di dalam kebakaran. Ada mengatakan dia membakar dirinya di dalam rumah panjang. Ada juga mengatakan dia dibakar dalam rumah itu. Mayatnya dijumpai rentung dalam keadaan duduk bertinggung sambil memeluk lututnya.”

Wartawan itu tidak membuat sebarang catatan seperti selalu. Ada kesedihan berkelintar. Dia hanya melongo.

“Selepas peristiwa tersebut, kampung ini seperti menerima sumpahan. Hasil tanaman tidak menjadi. Hujan tidak pernah turun biarpun di kampung sebelah hujan mencurah setiap hari. Tanah pun kering sehingga pada satu ketika, banyak kebun penduduk kampung terbakar. Aku benar-benar merasai kesedihan gadis tersebut hingga aku terjemahkannya dalam bentuk lukisan.”

Lelaki itu berdiri, berjalan laju-laju tanpa pamit meninggalkan wartawan itu dalam keterpingaan. Keanehan masih bergantungan. Benarkah lukisan itu menyebabkan kebakaran? Persoalan itu masih tidak berjawab.

Keesokan paginya, wartawan itu melihat lelaki tersebut di sebuah tapak rumah yang terbakar. Lelaki itu tidak membawa kanvas dan peralatan lukisan seperti selalu.

“Setiap hari aku di sini. Aku seperti melihat kemanusiaan yang terbakar. Aku melihat cinta yang rentung… hati yang hancur. Pada mulanya aku tidak sedar. Setiap kali aku melukis wajah gadis tersebut, lukisan itu akan terbakar. Dia seperti tidak mahu aku menyimpan wajahnya. Sungguh, aku kesal lahir sebagai golongan Maren.”

Itulah kali terakhir lelaki itu dilihat di kampung tersebut. Rupa-rupanya dialah lelaki yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam Jurusan Seni Halus. Wartawan itu teruja untuk menerbitkan buku tentang kisah cinta tragis dan misteri di sebalik lukisan tersebut setelah mendapat maklumat tentangnya. Namun, sewaktu buku itu dicetak, diniharinya kilang percetakan itu didapati hangus dijilat api…

Categories
BUDAYA RENCANA

Antara takjub teknologi, rimba dan puisi

Oleh Johan Radzi

DALAM novel Kafka On the Shore, protagonis Kafka Temura mencari suaka di sebuah kabin milik sahabatnya di pinggir hutan di Takamatsu. Di sana, si remaja yang cuba lari daripada sumpahan Oedipal berasa gementar, juga kagum, kepada suasana rimba yang mendampingi:

Sekarang baru kufaham betapa bahayanya belantara. Moga aku tidak melupakan pelajaran ini. Bak kata Crow, dunia ini sarat dengan hal-ehwal yang tak kuketahui. Misalnya, tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok di hadapanku sekarang. Tak pernah kubayangkan pokok-pokok ini boleh kelihatan begitu aneh dan luar biasa. Maksudku, tumbuh-tumbuhan yang pernah kulihat atau kusentuh sebelum ini hanyalah jenis kota – dipangkas kemas dan dijaga cermat.

Tetapi yang berdiri di hadapanku ini memang betul-betul berbeza. Mereka punya kuasa terzahir, nafas mereka bisa meragut dan tatapan mereka menikam seperti haiwan-haiwan buas. Mereka tampak seperti kesaktian dari zaman bahari yang gelap. Seperti makhluk-makhluk purba yang berkeliaran di lantai samudera, pokok-pokok ini pula bermaharaja di rimba. Jika ia mahu, belantara ini boleh mengunyahku atau melontarku keluar. Memiliki rasa takut dan hormat yang seimbang adalah perkara paling afdal di dalam situasi ini.

Ketika saya mengikuti rombongan menyusur hutan belantara di Pahang pun, perasaan sama turut menyambar dada. Saya membayangkan pokok-pokok di keliling sebagai makhluk yang purba dan abadi. Daun-daun berdesiran. Akar teguh yang menyelirat. Gugus-gugus paku-pakis yang menabiri denai. Siul-siul unggas yang sesekali menerpa di sana sini. Saya difahamkan oleh brosur-brosur bahawa hutan hujan tropika di Malaysia antara yang tertua di dunia. Pada saat itu, saya juga cuba bayangkan, sebelum saya lahir pun pokok-pokok ini sudah ada. Bahkan ia juga wujud sebelum leluhur saya membina negara atau tidak keterlaluan juga, sebelum insan pertama belajar berjalan di atas muka bumi ini lagi…

Betapa abadinya alam. Barangkali sebab inilah Martin Heidegger sering memujanya dan memandangnya sebagai suatu entiti yang menyimpan kemisterian, hikmah, mukjizat, serta rahsia-rahsia yang tak terbongkarkan dengan minda kalkulatif. Atas rasa takjub, beliau mengisytiharkan perang ke atas teknologi moden; mula-mula berpangkal dari syarahan beliau berjudul “Pertanyaan-Pertanyaan Berkait Teknologi” di Munich pada November 1953, seterusnya kepada esei-esei dan buku. Pemikir dari Hutan Hitam Freiburg itu memandang curiga ke atas kemampuan teknologi tanpa batas, serta dampaknya yang cenderung melukakan alam. Teknologi moden baginya hanya memiliki satu tujuan: untuk mengekstrak sumber-sumber daripada alam justeru merizabkannya.

Untuk memahami ini, kita kembali kepada lunas Aristotle tentang kausa. Syahdan, menurut Aristotle, sesebuah piala yang hendak disiapkan si tukang besi terbahagi kepada empat kausa. Pertama, kausa materialis – bahan tembaga; kedua, kausa formalis– idea bentuknya; ketiga, kausa efficiens – si tukang besi yang membikin; dan keempat, yang paling mustahak, ialah kausa finalis, atau matlamat akhir sesebuah piala disiapkan. Tetapi penting untuk dinyatakan bahawa bukan tetiap kausa itu setara. Selain si tukang besi, ketiga-tiga kausa lain berhutang budi kepada kemahiran si tukang besi yang ‘menyelongkarkan’ kausa-kausa tersebut sehingga ia menjelma sebagai sebuah piala, seolah-olah seperti sekuntum bunga yang seri berkembang. Menurut Heidegger, ‘menyelongkar’ adalah makna intipati sesebuah kausa.

Bertitik dari sini, teknologi adalah satu wadah penyelongkaran. Teknologi berakar dari kalimat Yunani techne yang bererti ‘menyelongkar’, demi kausa akhir. Lantaran ini, alam menjadi tertunduk dan patuh kepada kehendak manusia. Di hadapan pengetahuan sains dan teknologi moden, samudera bukan lagi samudera dan gunung-ganang bukan lagi gunung-ganang. Alam pun dibentangkan: bumi diselongkar sebagai sumber uranium; langit sebagai sumber nitrogen; suria sebagai sumber tenaga solar; sungai sebagai sumber hidroeletrik; ladang kebun sebagai sumber makanan murah, kuil kuno di puncak bukit sebagai destinasi wisata.

Manusia tidak lagi mengataskan alam sebagai entiti yang saling memberi dan menerima, sebagai satu wujud puitis, satu kesepaduan dengan diri manusia, tetapi sebaliknya sebagai sumber-sumber yang ternanti untuk dijarah. Jika dahulu, manusia menghormati alam. Segala kemajuan teknologi dicipta supaya saling harmoni tanpa mengubah apa-apa bentuk asal (perhatikan kincir angin, misalnya, meskipun ia dijana kuasa angin, strukturnya tidak pernah mengubah apa-apa bentuk bumi atau memaksakan peredaran bayu untuk lalui kincir-kincir tersebut). Malah, sebahagian manusia menjunjung ia sebagai sakral.

Tetapi teknologi moden telah memetakan alam di atas meja, menghapuskan segala ketakjuban dan rasa dengan perkiraan-perkiraan yang membawa keuntungan. Inilah yang dinamakan pembingkaian, yakni Gestell. Akibatnya alam menjadi suatu ‘rizab tersimpan’. Makna puitisnya sebagai satu hamparan alam turut sirna. Misalan yang ampuh dipaparkan oleh Heidegger tentang Sungai Rhine, memerhatikan stesen janakuasa hidroeletrik:

 “…Rhine sendiri kelihatan seperti sesuatu yang menuruti perintah kita. Janakuasa hidroeletrik tersebut tak dibina bercantum dengan Sungai Rhine sebagaimana titi-titi kayu lama yang menyambung tebing buat ratusan tahun. Sungai tersebut dibuat empangan untuk janakuasa. Sungai itu kini, pembekal kuasa air, hadir dari intipati sesebuah janakuasa.”

Memasuki abad kedua puluh satu, pesan Heidegger kian berdengung. Malapetaka-malapetaka iklim pun memecah satu-persatu: pencairan bongkah ais di kutub utara, kenaikan paras laut, efek rumah hijau, kebakaran rimba, pencemaran plastic, etc etc. Saban hari kita mendengar tentang satu lagi hutan yang dipangkas atau satu lagi spesies haiwan yang kian pupus. Kemajuan teknologi yang tak terbendung telah memicu nasib umat manusia kita ke arah hari kiamat. Bahkan, Panel Antarapemerintah tentang Perubahan Iklim merumuskan bahawa umat manusia hanya punyai tempoh setakat 2030 untuk menghindar arus bencana.

Jadi apa yang harus dibuat? Kata Heidegger, dengan mewaspadai hubungan kita dengan teknologi moden, dan tidak membiarkan diri kita dikunyahi kausa-kausa akhir seperti yang dijelaskan. Teknologi hadir ke jagat manusia dengan kepantasan luar biasa; manusia tak punyai kesempatan yang cukup untuk meneliti sebab-akibatnya. Oleh itu, kita banyak menyambut aspek-aspeknya tanpa sebarang was-was. Meskipun teknologi moden telahpun menjajah segala inci angkasa, sungai, padang, dan gunung-ganang, jika kita dapat insafi bagaimana kita membingkai dunia di keliling, kita juga turut boleh elak kebinasaan daripada terus-menerus. Secara tidak langsung, kita memerdekakan diri daripada kebergantungan teknologi. Ini bermula dengan sering mempersoal teknologi, serta langkah yang paling mustahak: kembali kepada diri kepenyairan.

Heidegger seringkali menekankan bahawa kita harus mencermati dunia sepertimana para penyair dan sasterawan. Mereka mencerap alam dengan mata ketakjuban, serta keindahan-keindahan yang jarang tercermin pada mata-mata biasa. Teknologi menyelongkar kebenaran yakni Aletheia. Tetapi begitu juga dengan puisi. Manusia masih bisa takjub: “di dalam jagat seni, di dalam puisi dan segalanya yang puitis.” Dan seperti sabda Friedrich Hölderlin “dengan segala upaya, namun puitisnya, manusia bersemayam di muka bumi.” Dengan puisi manusia mengenal kedudukan hakikinya di atas dunia, di muka bumi.

Categories
BUDAYA RENCANA

Nyawa serapuh anak kecil

Oleh Zahid M. Naser

BUDAK itu belum kenal tuhan, dia tak pandai berdoa. Maka, tempat dia meminta tolong hanya si arwah Khairiah. Mak, tolong! Ayah jahat! Ratib hati si Muhsin bergema dalam sembunyi. Serupa meraung, dia tak lagi sanggup menanggung jerkah ngeri Salim Abdul yang dulu pernah sedikit mengasihinya.

Sejak kematian Khairiah, Muhsin keliru. Kasih sayang yang pernah dia rasakan turut mati tertanam dalam lahad Khairiah. Senyum jarang-jarang Salim pada anaknya kini langsung tiada. Anak sundal pula jadi nama baru si Muhsin.

Kematian Khairiah mengubah Salim menjadi perengus. Muhsin keliru kenapa bapanya masih mahu membelanya sedang kebanyakan masa lelaki itu akan menyengat perut kecilnya dengan penumbuk dewasa.

Jika tidak ditumbuk, Muhsin akan berlapar menunggu kepulangan lelaki itu. Mujur sahaja, kalau nasibnya baik, Kak Jiha sebelah rumah akan menghulurkan kuih karipap dari celah tingkap. Muhsin dikunci dari luar oleh bapanya sendiri.

Salim Abdul berasa dengan layanan sedemikian, anaknya akan duduk diam – tidak lagi terloncat-loncat.

1.1

Salim separuh telanjang membuka bungkus makanan. Matanya mencari Muhsin. “Sin!” Dia memanggil tiba-tiba. Tubuh anak yang masih basah berlumur buih di balik timbunan baju itu terjaga. Tidak menyahut, bahunya menggeletar membiarkan suara marah itu. “Sin!” suara itu mendekat. Nampak air mata jatuh di pipi Muhsin yang tak mengerti.

Keras jemari menggenggam rambut Muhsin. Anak itu terapung di udara ketika Salim menariknya keluar. Tubuh kecil itu dihenyak ke dinding. “Ayah… Sin minta maaf,” tanpa tahu silapnya, anak itu merayu.

“Aku panggil kenapa kau tak datang!!” Tapak kaki pula menghinggap perut kecil itu. Seraya anak itu tergeletik. Salim berlalu merakusi nasinya setelah mengerling tubuh si kecil. Hatinya puas.

2.

Khairiah adalah perempuan yang dinikahi Salim Abdul dengan terburu-buru. Menginjak empat tahun perkahwinan, pelamin mereka jadi belenggu kerana sering tidak cukup wang belanja. Muhsin pula tidak pandai duduk diam. Salim sayang Muhsin sebatas gelar bapa dan anak. Tidak lebih dari itu.

Bagi Salim, melihat Khairiah menjaga anak adalah kerehatan. Dia sebagai bapa hanya perlu memberi duit kepada warisnya. Namun, berapa banyak yang mampu dia beri dengan kerja tidak tetapnya.

Salim tidak sedar Khairiah sudah berubah, Khairiah yang menyerahkan hidup kepadanya sudah bosan. Bosan dengan Salim yang memandang tubuhnya hanya sebagai tempat melepas ketegangan, melihatnya seperti haiwan betina.

Salim yang sering keluar sampai lewat malam lupa bahawa perempuan adalah anak manja yang harus sentiasa dibelai. Mereka walaupun tumbuh, sentiasa mahu dipelihara. Salim sebagai suami fikir dia hanya perlu memberi sedikit dan menuntut sebanyak-banyaknya dari sang isteri.

3.

Dulu, sebelum semuanya, Khairiah, ghairah sekali orangnya. Mereka gembira walaupun hidup sederhana. Salim membawa lori, sibuk. Tetapi apabila lori majikan yang dijaga Salim dicuri. Lelaki itu berubah. Sentiasa terlihat buntu dengan kehidupan, dengan hutangnya. Kerana itu, dia mencari tenang di kedai kopi.

Khairiah merasakan perubahan lakinya. Lakinya tidak lagi mahu membelainya baik-baik ketika bercinta, tidak lagi mahu melayan kerenah manjanya. Hal itu membuat Khairiah mula memikirkan yang macam-macam. Alangkah baiknya kalau laki aku macam Jani Nor. Lembut membuai hati wanita. Siri drama lakonan Jani Nor betul-betul membuat jiwanya terbelai. Dalam mimpi siangnya setelah menidurkan Muhsin, dia akan bertemu aktor tampan itu. Aktor tampan yang ditontonnya hari-hari membuat dirinya berasa sempurna. Di atas katil dia akan memikirkan rangkulan bulat Jani Nor. Apabila memikirkan Jani Nor, Khairiah akan terbayang tubuh kekar lelaki selingkuhannya, Wasim Abbas.

3.1

Ketika Salim keluar bekerja. Khairiah akan melawa, fikirannya penuh dengan Wasim Abbas. Seorang warga Pakistan berwajah persis Jani Nor. “Kakak, ini keropok untuk anak you,” tegur Wasim sambil memegang Muhsin yang tak pandai duduk diam, melompat-lompat di dalam kedai itu. Muhsin yang berumur enam tahun girang bila Pakcik Wasim memberinya keropok.

Pertama kali dilayan Wasim di kedai runcit tempat mereka berkenalan, Khairiah tak menghiraukan si Wasim, namun setelah selalu dirayu dan sanggup pula lelaki itu berhabis duit. Khairiah mula menyerahkan hatinya. Kerana sayang, mereka mula berselingkuh.

Selingkuh mereka bagaimanapun seperti bangkai gajah tua, sukar disorok.

4.

Bangkai gajah yang dijaga pasangan selingkuh itu dihidu rakan lepak si Salim. Wasim, satu hari, dilihat masuk terburu-buru ke dalam rumah si Salim dengan muka teruja. Rakan si Salim mengintip si Khairiah berkucup dengan lelaki itu. Si rakan tadi segera melapor kepada Wasim.

4.1

Satu malam yang dirancang, Salim merempuh rumahnya sendiri. Dia tahu mancung hidung lelaki itu sedang berada di celah paha perempuannya. “Sundal!”.

“Mak, ayah dah balik!”

“Sin kau duduk tepi!” Ekor matanya melihat Khairiah kelam-kabut melarikan diri di balkoni dapur rumah pangsanya. Seperti ribut, Salim yang gempal mengejar Khairiah yang kelihatan pucat memaut sesuatu.

“Apa kau buat ni sundal!!”

Khairiah tak menjawab kerana sibuk memaut tangan kekasihnya dari tembok balkoni dapur tingkat 14 itu.

“Abang Salim tolong aku bangg!!” Separuh tubuh Khairiah kini tergantung juga. Sayup-sayup kedengaran jeritan Wasim yang hanya berseluar dalam merayu perempuan itu menariknya semula ke balkoni. Sementara Khairiah yang serabai rambutnya merayu dikasihani. Dia tidak kuat lagi menanggung lelaki selingkuhannya. “Abang tolong bang!”

“Perempuan sundalll!” Si Salim menerkam bininya.

Gaun perempuan itu melayang, tangan Salim merenggut. Namun, ia terkoyak jatuh.

Melayanglah tubuh itu terjunam ke bumi. Seperti wau terputus tali. Salim duduk genggam perca gaun Khairiah dilemparkan. Wajahnya kosong berpucat, mungkin memikirkan percik darah dua tubuh yang berkecai.

Di ruang tamu, Muhsin masih terloncat-loncat menonton kartun kegemarannya. Dia hanya terdiam bila orang mengerumuni rumah kecilnya malam itu.

4.2

Kak Jiha memeluk erat tubuhnya ketika dia meraung melihat ibunya diperosok dalam kubur. Hari itu bermula penderitaan Muhsin belajar hidup dengan bapanya yang jahat. Yang setiap hari menghamburkan seranah bahawa dia sudah jadi sial. Seperti malam Muhsin tergeletik dihinggap tapak kaki bapanya sendiri.

5.

Kematian Khairiah nampaknya bukan saja membuat dia lebih buntu, ia meninggalkan celaka kepada Salim. Memang ketika Khairiah hidup, wanita itu sahajalah yang melayan kerenah Muhsin.

Setelah merakusi makanannya, lelaki itu meneguk bir keenamnya. Dalam kufur dan separa sedar, Salim menyeranah nasib. “Engkau patut mampus sekali dengan mak kau.” Hilainya kemudian diiringi tangisan yang nadanya sukar dipastikan. Kemudian dia senyap, hujung bola matanya memandang lama anak itu.

Salim bangun menguis Muhsin yang nafasnya belum sedar. “Eloklah kau tidur, aman dunia,”

Lelaki itu kemudian bangun, selerak rumahnya tak dipedulikan kerana pundi kencing harus dikosongkan. Terhuyung-hayang dia membuka seluar.

Masuk ke dalam bilik air, malang menyambar kakinya. Sabun permainan Muhsin berhelah. Licin ia menyentap kaki lelaki itu. Sempat dia menjerit memanggil tuhan.

Kepalanya bocor terbelah menghentam batu tempat punggung berlabuh. Lantai berbanjir merah. Kala itu, azan kelima berkumandang.