Categories
SELANGOR

Mahasiswa mampu ceburi industri halal dan bersih

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 16 APR: Seminar bertemakan ‘Kesedaran dan Prospek Kerjaya Industri Halal’ anjuran Universiti Selangor (UNISEL) menyerlahkan industri halal kini tidak lagi tertumpu pada aspek makanan dan minuman sahaja.

Sebaliknya ia turut merangkumi aspek lain seperti pemprosesan, pembungkusan, pengangkutan dan logistic malah ia diperkukuhkan menerusi kerjasama UNISEL dengan Halal International Selangor (HIS).

Terdahulu, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan Dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, mahasiswa berpotensi menjadi Pegawai Halal Eksekutif di sesebuah syarikat sekiranya diberi pendedahan lengkap berhubung ekosistem sebenar dan prospek kerjaya ditawarkan dalam industri berkenaan.

Pelajar jurusan Pentadbiran Perniagaan UNISEL, Siti Nur Farishah Noor Azhar, 21, berkata, sebagai seorang wanita dan pengguna, kita perlu tahu barangan seperti kosmetik kerana terdapat banyak produk tidak mempunyai logo halal dan ia menimbulkan rasa was-was kepada kita.

“Dengan adanya seminar seperti ini, ia lebih membantu supaya kita lebih mengetahui berkenaan pengertian produk halal bukan saja untuk Islam malahan untuk semua bangsa.

“Secara tidak langsung, ia boleh membantu kita lebih tahu sedikit sebanyak berkenaan perkara ini,” katanya.

Bagi Noraini Farhana Mohd Zulhairi, 20, pula, dia menyifatkannya suatu pembaharuan dalam industri kerana ia membantu kepada masyarakat khususnya umat Islam dari aspek penggunaan atau pemprosesan produk.

“Produk halal tidak semestinya berkenaan makanan tetapi dari aspek pemprosessan dan logistik serta pemasaran harus dititikberatkan.

“Saya percaya ia dapat memberi peluang kerjaya pada mahasiswa serta mampu memberi kepercayaan kepada negara lain di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Mohd Khairuddin berkata, selain menawarkan prospek kerjaya, bidang halal adalah aspek penting perlu dititikberatkan sebagai tanggungjawab kepada masyarakat Islam yang prihatin terhadap logo halal.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Halal & Prospek Kerjaya, di Dewan Syarahan 2, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Shah Alam, di sini, hari ini.

Justeru, mahasiswa berpotensi menjadi Pegawai Halal Eksekutif di sesebuah syarikat sekiranya diberi pendedahan lengkap berhubung ekosistem sebenar dan prospek kerjaya ditawarkan dalam industri berkenaan.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

HIS lebar kerjasama ke Taiwan, bangunkan industri halal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 MEI: ‘Southbound New Policy’ memainkan peranan penting dalam memperkenalkan perdagangan halal merentas sempadan antara Malaysia dan Taiwan.

Halal International Selangor (HIS) dalam kenyataannya berkata, pihaknya kini menjalin kerjasama dengan National University Tainan bagi menubuhkan Halal Industrial Center di pusat pengajian tinggi itu.

Katanya, ia merupakan hasil inisiatif Tainan City Industrial Development and Investment Promotion Committee.

“Pusat ini memperkenalkan program latihan Halal Technical Competent Person (HTCP) bagi meningkatkan lagi kepakaran sumber manusia bagi pasaran Global Halalan Toyyiban Trade and Industry (GHTTI).

“Menyedari kepentingan GHTTI, HIS mensasarkan untuk memanfaatkan kapasiti pasaran agar lebih banyak organisasi menerima faedah perdagangan dijalankan.

“Ia harus dilaksanakan berdasarkan prinsip perdagangan halal global iaitu amanah, integriti, keselamatan dan terjamin,” katanya.

HIS berkata, kerjasama itu antara lain menawarkan rundingan perniagaan dan pembangunan sumber manusia.

“Ia juga berhasrat membangunkan industri halal dan industri pelancongan halal serta kerjasama di antara Taiwan dan Malaysia,” katanya.

Pada 24 hingga 28 April lalu, HIS menyertai delegasi diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke Kaohsiung, Tainan dan Taipei di Taiwan.

Turut serta, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Mahmud Abbas.