Categories
GLOBAL

Halimah Yacob: Saya presiden untuk semua orang

SINGAPURA 13 SEPT: Bekas Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob, dilantik secara rasmi sebagai presiden wanita pertama republik itu hari ini.

Pegawai pilihan raya mengumumkan Halimah, 63, satu-satunya calon yang layak bertanding.

Mensasarkan untuk mengukuhkan keharmonian di republik pelbagai budaya itu, Singapura memperuntukkan jawatan itu untuk calon kaum Melayu kali ini.

“Walaupun ini adalah pilihan raya tidak rasmi, saya presiden rasmi. Saya presiden untuk semua orang,” kata Halimah dalam ucapan di pejabat jabatan pilihan raya, lapor REUTERS.

Pengalaman Halimah sebagai Speaker parlimen secara automatik melayakkan beliau menurut undang-undang pencalonan.

Halimah YacobDaripada empat permohonan, dua bukan Melayu dan dua lagi tidak diberikan sijil kelayakan, kata jabatan pilihan raya awal minggu ini.

Kali terakhir etnik Melayu memegang jawatan itu ialah Yusof Ishak, yang imejnya menghiasi wang kertas negara itu.

Dua pemohon tersebut hilang kelayakan disebabkan mereka bukan berbangsa Melayu, manakala dua ahli perniagaan Melayu pula didapati tidak layak menjadi calon disebabkan syarikat yang mereka miliki terlalu kecil.

Situasi itu melayakkan Halimah menyandang jawatan tersebut tanpa perlu bertanding. Pilihan raya Presiden Singapura sepatutnya diadakan pada 23 September ini.

Penggal enam tahun bekas Presiden Singapura, Tony Tan tamat pada 31 Ogos lalu, manakala jawatan tersebut dipangku oleh Pengerusi Majlis Penasihat Presiden, J Y Pillay sejak 1 September lepas.

Halimah pula dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura yang baharu esok.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Halimah Yacob bakal Presiden Singapura ke-8

SINGAPURA 12 SEPT: Bekas speaker Parlimen, Halimah Yacob bakal diumumkan secara rasmi sebagai Presiden Singapura selepas calon lain gagal memenuhi kriteria ditetapkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Beliau juga bakal menjadi Presiden kelapan Singapura yang juga pertama daripada kalangan wanita buat kali pertama di negara itu.

Halimah pula akan memulakan penggalnya sebagai Presiden Singapura yang baharu pada Khamis ini, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS/ AFP.

Beliau juga merupakan ahli parlimen bagi GRC Jurong, Singapura dan mengambil alih jawatan sebagai speaker pada 14 Januari 2013.

Halimah YacobBeliau adalah wanita pertama yang memegang jawatan ini dalam sejarah Republik serta speaker ketiga berturut-turut dimiliki kaum minoriti, selepas Abdullah Tarmugi dan Michael Palmer.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan dari 2011 hingga 2013 serta telah menjadi Ahli Parlimen (MP) yang mewakili GRC Jurong sejak 2001.

Singapura telah memutuskan untuk menetapkan calon daripada komuniti Melayu bagi mengisi jawatan tersebut kali ini dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan di negara berbilang bangsa itu.

Pengalaman luas Halimah, 62, sebagai Speaker Parlimen secara automatik melayakkan beliau untuk jawatan tersebut di bawah peraturan pencalonan pilihan raya.

“Empat pemohon lain termasuk dua pemohon bukan Melayu gagal mendapatkan sijil kelayakan sebagai calon,” kata jabatan pilihan raya pulau itu.

Orang Melayu terakhir yang menjawat jawatan Presiden Singapura ialah Yusof Ishak. Wajah pemimpin itu tertera pada wang kertas Singapura.

Yusof menjadi Presiden antara tahun 1965 hingga 1970, tahun-tahun pertama kemerdekaan Singapura susulan penyatuan pendek dengan jirannya, Malaysia.

Kuasa eksekutif bagaimanapun, dipegang oleh Perdana Menteri pertama pulau itu, mendiang Lee Kuan Yew.

Penggal enam tahun bekas Presiden Singapura, Tony Tan tamat pada 31 Ogos lalu, manakala jawatan tersebut dipangku oleh Pengerusi Majlis Penasihat Presiden, J Y Pillay sejak 1 September lepas.

=EZY=