Categories
AGENDA NASIONAL

Kawalan ketat di kediaman pekerja industri sekitar Lembah Klang

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan di Lembah Klang setelah mengenal pasti kawasan industri dan penginapan pekerja yang berpotensi merebak Covid-19 dengan meluas.

Jawatankuasa Koordinasi Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) akan bekerjasama dengan Kerajaan Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata menteri dalam negeri.

“Bagi mengetatkan kawalan pergerakan di negeri tersebut, mesyuarat JKPS menerima pemetaan kawasan perindustrian dan penginapan pekerja yang mempunyai potensi tinggi penularan Covid-19.

“(Pemetaan) hasil kerjasama dengan pihak Kerajaan Selangor dan DBKL,” kata Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan.

Beliau berkata pelaksanaan Op Patuh mulai esok turut mengambil kira maklumat kawasan tersebut dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Jelas Hamzah, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

JKPS memutuskan untuk melaksanakan Op Patuh secara besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara bermula esok membabitkan strategi lebih drastik dan pemeriksaan ketat.

Operasi terbabit bakal diketuai ketua polis daerah bersama anggota penguat kuasa dari jabatan atau agensi yang lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu orang tidak bernegara perlu perhatian antarabangsa

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Isu orang tidak bernegara adalah masalah kritikal yang memerlukan perhatian masyarakat antarabangsa kerana ia boleh memberi impak negatif bukan sahaja kepada negara terbabit bahkan seluruh rantau.

Bercakap di Geneva, Switzerland, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sendiri berhadapan dengan masalah lambakan orang tidak bernegara dari rantau Asia sejak sekian lama.

“Walaupun kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kita sebaliknya telah menerima sejumlah besar orang tidak bernegara dari rantau Asia terutama dari Myanmar, dan jumlahnya semakin bertambah.

“Kesannya, kita bukan sahaja terpaksa menanggung beban kewangan sebagai tuan rumah malah perlu menangani pelbagai risiko keselamatan dan masalah sosial,” kata Muhyiddin pada Isnin dalam ucapan wakil negara tentang orang tidak bernegara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bandar raya Eropah itu.

Sungguhpun begitu, beliau menegaskan kerajaan Malaysia tetap komited memperkukuhkan kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR)(United Nations High Commissioner for Refugees) dalam usaha menangani masalah itu.

Teks ucapan beliau diedarkan kepada media di sini.

Muhyiddin tiba pada 6 Oktober lalu dalam lawatan kerja empat hari ke Geneva untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Berhubung Orang Tanpa Negara yang merupakan antara program sempena sesi ke- 70 jawatankuasa eksekutif (ExCom) UNHCR.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Filippo Grandi, Pesuruhjaya Tinggi UNHCR bagi membincangkan peranan Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan serta membincangkan tentang pengurusan pelarian dan pencari suaka di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kompromi pihak bangkit isu sensitif-Muhyiddin

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu sensitif melalui penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak menyekat hak bersuara rakyat, namun maklumat yang dikongsi perlu disahkan kebenarannya.

Katanya, ia bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang menimbulkan fitnah dan kebencian sehingga menyebabkan rakyat merusuh.

“Terdapat garis yang halus antara kebebasan bersuara dengan ucapan yang menggalakkan kebencian dan keganasan,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Dalam hal itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih tegas dalam mengambil tindakan ke atas pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dalam negara.

“Tindakan yang diambil perlu adil tanpa mengira siapa atau latar belakang individu yang cuba untuk memainkan isu sensitif dengan bertujuanmemporak-perandakan negara,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan khususnya KDN sedang berhadapan pelbagai isu terutama membabitkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R) yang disensasikan dengan tujuan untuk menggugat kerajaan baharu supaya dilihat tidak melindungi ketiga-tiga aspek berkenaan.

“Isu ini semakin hangat apabila tindakan kerajaan dipertikaikan seolah-olah kerajaan gagal melaksanakan fungsinya.

“Saya percaya peranan kita terutama warga KDN sangat penting bukan sahaja sebagai agensi penguat kuasa, malah berperanan penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar,” katanya.

Katanya, dengan peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat daripada 86.3 peratus pada 2017 kepada 96.5 peratus pada 2018, penggunanya seharusnya lebih beretika dan bertanggungjawab.

Muhyiddin berkata, pengguna diingatkan supaya tidak menyalahgunakan landasan itu untuk memanipulasi maklumat, menularkan berita palsu dan fitnah yang hanya akan mengelirukan pemikiran masyarakat.

Berhubung pencapaian KDN, beliau berkata, kementerian itu mencapai penarafan lima bintang dalam prestasi pengurusan kewangan dengan skor 94.84 peratus pada 2018 berbanding 88.38 peratus pada 2017.

Katanya, KDN juga mencapai tahap cemerlang dalam Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan, iaitu kekal lima bintang dari tahun 2018.

Dari segi pencapaian setengah tahun Indikator Prestasi Menteri 2019 pula, KDN mencapai 90.80 peratus sehingga 30 Jun lalu, katanya.

“Daripada 27 aktiviti yang ditetapkan, 20 aktiviti yang melebihi 80 peratus dan lima aktiviti berada di antara 50 hingga 70 peratus dan dua aktiviti hanya akan dinilai pada penghujung tahun,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau percaya semua Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan pada tahun ini akan dapat dicapai seperti disasarkan berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin: Setiap kaum ada sumbangan kepada negara

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Setiap kumpulan kaum dan masyarakat di Malaysia ada memberi sumbangan masing-masing kepada negara dan ia bukan sesuatu yang perlu dibangkitkan.

Ketika membuat penegasan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hakikatnya masyarakat di negara ini memerlukan satu sama lain.

“Kita kena ingat balik bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang didukung perjuangannya sejak awal sampai hari ini oleh pelbagai kumpulan, kaum, agama dan sebagainya.

“Ia sebahagian daripada sejarah Malaysia, (ketika) kita akan menyambut hari kemerdekaan ini tak boleh kita nafikan bahawa setiap kumpulan kaum, masyarakat mempunyai sumbangan masing-masing (kepada negara),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada program Bicara Kemerdekaan Kedua anjuran badan bukan kerajaan Akademi Harimau Asia, di sini hari ini.

“Tak payahlah kita nak nilai berapa peratus sama ada 60 peratus, 30 peratus atau 10 peratus (misalnya) – tetapi kita secara bersama memberikan sumbangan.

“Tak boleh kata ada kumpulan tertentu sahaja menyatakan mereka yang menyumbang. Kita perlukan satu sama lain,” katanya.

Atas sebab itu, beliau mengingatkan bahawa sebarang rasa tidak puas hati tidak harus menjurus kepada tindakan mempersoal hal yang dipersetujui sebelum ini.

Ini termasuk perkara berkaitan bahasa, agama, hak Bumiputera dan hak kaum lain, institusi raja, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak beragama kaum lain.

“Ini adalah sebahagian dalam kehidupan kita, ia bukan sahaja termaktub dalam Perlembagaan tetapi kita amalkan selama lebih 60 tahun,” katanya.

Beliau sekali gus menyatakan kebimbangan sebagai menteri yang menjaga soal keselamatan negara berhubung tindakan membangkitkan isu berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja sejak akhir-akhir ini yang membawa kesan tidak baik.

Muhyiddin berkata, ramai yang bertanya kepadanya apa yang sedang berlaku kepada Malaysia dan ini membawa maksud bahawa masyarakat merasa terkesan dengan isu perkauman yang sudah mula membara dengan ‘suhu’ yang dilihat semakin meningkat.

Beliau berkata, perkembangan sebegini perlu dikawal dan bagi tujuan itu, beliau telah mengarahkan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memandang berat tentang perkara yang menyentuh isu-isu sensitif yang dibangkitkan tidak kira oleh sesiapa termasuk tokoh agama.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin memberitahu laporan yang diterima pihak berkuasa berkaitan 3R didapati meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, arahan juga dikeluarkan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan atau kenyataan yang menggugat keamanan dan kesejahteraan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggajian pekerja asing subsektor perkhidmatan lain ditutup

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Kerajaan bersetuju dengan cadangan penutupan penggajian pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan lain iaitu dobi, tekstil, tukang gunting dan tukang emas yang dibekukan sejak 2009, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikannya bersama M. Kula Segaran di sini, hari ini.

Katanya, dalam cadangan yang dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, dasar semasa yang membenarkan penggantian pekerja asing bagi subsektor itu turut akan dihentikan dalam masa tiga tahun lagi secara berperingkat mulai tahun ini sehingga 2021.

“Justifikasi penutupan adalah berdasarkan kepada keutamaan penggajian rakyat tempatan dan fokus kepada sumber ekonomi yang lebih memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu.

Muhyiddin berkata, mesyuarat turut memutuskan supaya Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaksanakan kajian lanjut bagi menentukan keperluan penggajian pekerja asing di bawah subsektor gudang darat seperti dicadangkan Kementerian Pengangkutan.

“Berdasarkan hasil kajian itu, kerajaan akan menentukan semula agensi kerajaan yang bersesuaian sebagai agensi kawal selia (AKS) bagi subsektor gudang darat,” katanya.

Katanya, permohonan pekerja asing sebagai pemandu penggerak utama di Pelabuhan Barat (Westports) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas akan dipertimbangkan mengikut prosedur sedia ada dengan mengambil kira keperluan sebenar syarikat.

“Pada masa akan datang, syarikat perlu mempertimbangkan faktor seperti kadar gaji, elaun dan insentif yang boleh menarik minat pekerja tempatan serta bergerak ke arah automasi serta mekanisasi,” katanya.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya berhubung kadar yuran penilaian kompetensi kemahiran untuk pekerja asing sektor pembinaan di negara sumber iaitu RM750 per tred (pengkhususan) bagi tred biasa dan RM850 per tred bagi tred minyak dan gas.

“Kerajaan juga prihatin dengan masalah para pengusaha sawah yang menanggung kos operasi yang lebih tinggi ketika ini.

“Oleh itu, mesyuarat pada hari ini bersetuju untuk meluaskan skop tempoh kemasukan pekerja asing di bawah Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Jangka Pendek untuk sektor pertanian khusus bagi tanaman padi untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Muhyiddin berkata, mesyuarat turut mengambil maklum situasi industri sarung tangan getah yang sedang mengalami masalah kekurangan tenaga kerja khususnya melibatkan isu kesesuaian pekerja asing dari negara-negara sumber tertentu seperti Bangladesh dan Nepal.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia sebagai tumpuan dalam proses rundingan terakhir dengan Kerajaan Bangladesh dan hasil rundingan akan dimaklumkan kepada jemaah menteri supaya hala tujunya dapat diputuskan.

“Sementara itu, usaha bagi penggajian pekerja asing dari Nepal juga akan diteruskan,” katanya.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan cadangan Kementerian Sumber Manusia supaya Independent Social Compliance Audit (ISCA) dilaksanakan sebagai satu bentuk kawal selia kendiri oleh majikan.

“Walaupun cadangan ini satu inisiatif yang baik, sesi libat urus perlu diadakan dengan lebih menyeluruh bersama dengan pihak berkepentingan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Henti spekulasi kehilangan remaja Ireland

MUAR, 6 OGOS: Semua pihak perlu berhenti membuat spekulasi sendiri berhubung kehilangan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, di The Dusun, Pantai, Nilai, sejak Ahad lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggapan yang mendakwa remaja itu menjadi mangsa culik adalah tidak tepat, bahkan dibimbangi akan menimbulkan salah faham, serta boleh menganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

“Jangan memandai-mandai. Pakailah kenyataan rasmi yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih-lebih lagi kejadian ini membabitkan warga asing.

“Apa orang lain kata itu tidak penting, kerana polis lebih tahu apa yang berlaku. Supaya siapa pun yang datang ke negara kita selamat dan tidak menghadapi masalah.

“Saya diberitahu Timbalan Ketua Polis Negara, setakat ini kes berkenaan dianggap sebagai ‘missing person’ dan kita tidak anggap ada pihak lain terbabit. Remaja ini berusia 15 tahun dan apa yang dilaporkan bapanya dia tidak seperti kanak-kanak biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Bandar Universiti Pagoh, di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan kekuatan lebih 150 anggota termasuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta penduduk tempatan.

Ahad lalu, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran, malah berita kehilangannya turut disiarkan media antarabangsa.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan kes itu sebagai penculikan seperti dilaporkan media asing.

Katanya, tiada sebarang unsur jenayah dikesan, justeru kes itu masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan itu kini memasuki hari ketiga.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, perlu ada konsultasi daripada pelbagai pihak supaya semua berpuas hati terhadap pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular.

“Sewajarnya ada konsultasi dan input pandangan yang kita kena ambil bukan sahaja persatuan atau pertubuhan bahkan ibu bapa dan sebagainya. Paling penting asalkan ia tidak membebankan.

“Persoalan sama ada mahu menjadikan ia sebagai suatu subjek wajib atau pilihan terserah kepada Kementerian Pendidikan dan sudah tentu mereka sudah meneliti dan mengkajinya,” katanya yang juga bekas menteri pendidikan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mazlan Mansor Timbalan KPN baharu

PUTRAJAYA, 13 MEI: Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 9 Mei, umum Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Mazlan, yang sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang hampir dua bulan kosong berikutan persaraan penyandangnya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada 17 Mac lepas.

Surat pelantikan kepada Mazlan, 58 diserahkan oleh Muhyiddin pada satu majlis di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diangkat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Muhyiddin dalam sidang media hari ini, yang turut menyuarakan keyakinan dan kepercayaan berdasarkan pengalaman Mazlan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita harap pasukan polis mempunyai kepimpinan yang bagus dan tingkatkan keyakinan orang ramai terhadap apa yang dilakukan PDRM dalam meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan, serta mengangkat martabat PDRM sebagai agensi penguatkuasaan yang disegani dan dihormati,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM akan bersama menangani apa-apa perkara berkaitan isu keselamatan dalam negeri, bukan setakat menguatkuasa undang-undang tetapi menentukan pelaksanaan itu dilaksanakan dengan bijaksana dan berperkemanusiaan.

Mazlan sepanjang perkhidmatan dalam pasukan polis telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang Mazlan ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh, Ketua Polis Negeri Melaka, Ketua Bahagian Siasatan Selangor dan Ketua Polis Selangor.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

IPCMC bukan untuk hukum polis

PUTRAJAYA, 3 MEI: Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukan untuk menghukum anggota polis, tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tanggapan kononnya polis akan menjadi sasaran selepas penubuhan Suruhanjaya itu adalah tidak benar sama sekali.

“Masih ada perkara yang belum lagi diperjelas terutama mereka (polis) andaikan bahawa dengan adanya IPCMC polis akan jadi sasaran.

“… (kononnya) polis lakukan banyak kesalahan maka tertubuh IPCMC, seolah-olah to punish them… itu tidak betul,” katanya dalam wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan berkaitan kementeriannya di sini.

Muhyiddin berkata, beliau telah meminta kerjasama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk mengadakan sesi penerangan khusus dengan pihak polis.

“(Melalui sesi itu) polis boleh jelaskan isu berbangkit yang mungkin mereka tidak puas hati dan perkara itu akan dibawa ke (pengetahuan) jemaah menteri.

“Mungkin soal gubal undang-undang berkaitan perlu kita (kerajaan) lakukan selepas itu,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata Polis DiRaja Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.

Mohamad Fuzi, yang bakal bersara hari ini, berkata antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Usah terpengaruh dakyah pihak main sentimen kaum, agama untuk politik

PUTRAJAYA, 2 MEI: Orang ramai terutamanya umat Islam diminta supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang sengaja mengapi-apikan sentimen kaum dan agama menerusi perhimpunan yang dikatakan akan diadakan di ibu negara Sabtu ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perhimpunan itu jelas merupakan dakyah pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk meraih laba politik dengan sengaja mengapi-apikan sentimen ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan menasihati rakyat Malaysia supaya memelihara keharmonian kaum dan agama di negara kita,” katanya dalam wawancara bersama media mengenai kementeriannya sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) di sini, hari ini.

Muhyiddin menegaskan dakwaan pihak tertentu kononnya kedudukan Islam di bawah pentadbiran PAKATAN semakin terancam adalah satu pembohongan.

“Apa yang pasti kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara tidak akan berubah (di bawah pentadbiran PAKATAN),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W, agama Islam dan institusi raja di media sosial.

Tindakan tegas telah diambil oleh polis dengan 53 kes telah disiasat dan daripada jumlah itu lapan individu telah dituduh di mahkamah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina agama mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Struktur semula pasukan tingkat prestasi PDRM – Muhyiddin

SERI KEMBANGAN, 27 APR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah-langkah penstrukturan semula pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pembubaran tiga pasukan tindakan khasnya disasar untuk menambahbaik prestasi pasukan itu, di samping mengelak pertindihan fungsi dalam kalangan unit-unit serta pasukan tindakan khasnya.

Pasukan yang dibubarkan terdiri daripada Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangesterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) bertujuan bagi menstruktur semula PDRM ke arah yang lebih baik.

“Tindakan dibuat PDRM itu (pembubaran) selaras dengan usaha-usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan, kerana kita dapati kalau ada pertindihan fungsi-fungsi di dalam badan-badan terbabit maka ia (pasukan) tak wajar diteruskan.

“Kita yakin dengan ‘alignment’ yang baharu ini peranan PDRM akan lebih cekap dan berkesan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan oleh Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga pengasas TSMCG turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM50,000 kepada 10 persatuan kebajikan yang memerlukan antaranya Yayasan Orang Buta Malaysia, Rumah Kebajikan Karunai Illam dan Persatuan Microtia Atresia Malaysia.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilapor berkata, sehingga kini kira-kira 60 peratus arahan pertukaran kepada pegawai serta anggota pasukan berkenaan sudah dikeluarkan secara berperingkat.

Menurut Mohamad Fuzi pembubaran pasukan itu masih belum selesai sepenuhnya kerana ia tidak boleh dilakukan secara sembarangan serta memerlukan waran untuk melakukan penstrukturan semula.

Sementara itu, semasa mengulas statistik baharu dikeluarkan badan penyelidik bebas yang merumuskan bahawa rating kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) merosot kepada 39 peratus daripada 79 peratus antara 21 Mei lepas dan 11 Mac tahun ini, Muhyiddin berkata PAKATAN akan mengambil perhatian serius mengenai perkara itu.

“Kita tahu rating tidak berapa baik, tapi masih ada banyak masa untuk kita bangunkan semula kedudukan kita dan meningkatkan prestasi. Ada banyak juga yang telah dilakukan kerajaan PH dan kita masih perlu menangani isu-isu serta masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan tedahulu,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin: Nama calon KPN baharu sudah diserah kepada PM

MUAR, 26 APRIL: Nama calon Ketua Polis Negara yang baharu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa minggu lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, nama yang ada akan diteliti oleh perdana menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah nama yang dikemukakan itu.

“Tidak penting berapa nama. Yang mustahak saya sudah bawa (kemukakan nama).

“Kalau dia (Dr Mahathir) hendak apa-apa perubahan, itu hak perdana menteri sebelum dia menghantarnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Selepas perkenan, barulah perubahan akan dilakukan dan pengganti ditentukan,” katanya ditanya mengenai calon Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dijadual bersara wajib bulan depan.

Muhyiddin ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun ke-47 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) peringkat negeri Johor di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin.

Sebelum itu, Muhyiddin menyerahkan sebuah Proton Persona dan empat Proton Saga kepada Rela negeri Johor sebagai membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih cekap serta berkesan.

Katanya penyerahan itu merupakan sebahagian daripada 109 buah kenderaan yang akan diberikan kepada setiap Rela negeri secara peringkat, tahun ini.

Selain itu, bagi menghargai jasa anggota-anggota Rela, Muhyiddin turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Rela (PPR) kepada dua orang penerima iaitu Penolong Pegawai Rela Daerah Kota Tinggi, Mohd Zain Abd Razak dan Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) Rela Muar, Noor Aishah Idris.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu FELDA: Kerajaan komited bawa pesalah ke muka pengadilan

KUALA LUMPUR, 11 APR: Kerajaan komited mendedahkan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan FELDA menanggung kerugian dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak, banyak projek mewah dan kontrak melambung telah dimeterai oleh FELDA.

Katanya kebanyakan kontrak itu menjadi punca masalah kewangan yang dihadapi FELDA hari ini menyebabkan ia terpaksa mendapatkan bantuan kerajaan bagi memastikan ia boleh terus beroperasi dan ‘tidak karam’.

“Kita semua mengetahui bahawa dalam penipuan korporat, penyangak akan menyembunyikan tangan-tangan mereka dan memperlihatkan ia seperti satu transaksi komersil yang tulen.

“Semua pihak yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan di atas perbuatan salah laku mereka,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu selepas pembentangan Kertas Putih FELDA oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk sri Mohamed Azmin Ali di Parlimen, semalam.

Menerusi pembentangan itu, kerajaan menyediakan pakej kewangan kepada FELDA berjumlah RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan secara berperingkat bagi memulihkan kepincangan dalam Felda, yang berpunca daripada tadbir urus korporat pengurusan lama.

Muhyiddin berkata, kerajaan mendapatkan khidmat firma akauntan Ernst & Young untuk melaksanakan ‘audit forensic’ bagi memahami masalah yang berlaku dalam FELDA, manakala FELDA juga telah mendapatkan khidmat firma guaman Lee Hishamuddin Allen & Gledhill.

“Penemuan kedua-dua firma ini mengesahkan bahawa FELDA telah menjadi mangsa penipuan dan pelanggaran korporat. Sebagai Menteri Dalam Negeri saya telah mengarahkan polis supaya menyiasat kes ini secara profesional tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

— BERNAMA