Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pembeli harap jualan ayam RM8 kerap dilaksana, ringan beban keluarga

SHAH ALAM, 8 FEB: Orang ramai berharap Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif jualan ayam RM8 sekilogram dari semasa ke semasa untuk meringankan beban rakyat.

Pengacara dan pelawak Helmi Harun, 62, atau lebih dikenali ‘Helmi Gimmick’ antara pengunjung yang membeli ayam murah menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan.

“Saya datang dari Nilai, Negeri Sembilan ke Shah Alam atas urusan kerja tetapi ternampak iklan jualan ayam murah di  Wisma PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor), jadi saya ambil kesempatan singgah.

Helmi Harun. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Di Negeri Sembilan juga mengalami masalah kekurangan ayam. Inisiatif Kerajaan Selangor ini bagus dan perlu dicontohi semua negeri kerana dapat meringankan beban rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Suri rumah Ratna Sari Manirah Jasni, 40, berkata beliau mengambil kesempatan membeli ayam di Wisma PKPS kerana amat murah selain dekat dengan kediamannya di Seksyen 11.

Ratna Sari Manirah Jasni. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selain ayam, saya juga membeli keperluan lain kerana kebetulan bekalan di rumah sudah habis. Saya pernah pergi ke beberapa kedai tetapi pemilik memaklumkan ayam habis.

“Inisiatif ini bagus kerana menjimatkan perbelanjaan harian, anak-anak saya gemar makan ayam berbanding ikan. Saya harap jualan sebegini dilaksanakan lebih kerap,” katanya.

Penjawat awam Nor Syafiqah Shafee, 30, berkata beliau pernah membeli seekor ayam dengan harga RM14 sekilogram untuk saiz paling kecil.

“Masa tu saya agak terkejut sebab harga mahal tetapi beli juga kerana susah dapat bekalan. Namun, di sini, saya mendapat dua ekor ayam saiz besar pada harga RM 27. Program seperti ini sangat membantu rakyat,” katanya.

Nor Syafiqah Shafee. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula semalam bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan melibatkan 50,000 ekor ayam itu dijalankan di Wisma PKPS serta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Inisiatif menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan membabitkan dana RM1 juta itu akan dipanjangkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri dan parlimen sekiranya mendapat sambutan.