Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: Tiada perbarisan Hari Kebangsaan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Tidak ada acara perbarisan atau perhimpunan dijadualkan berlangsung sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan setakat ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan perhimpunan itu melibatkan skala yang besar dan penjarakan sosial sukar dikawal.

“Setakat ini tiada perbarisan dibenarkan bagi sambutan Hari Kebangsaan sebab kita bimbang penjarakan sosial sukar dikawal kerana ia melibatkan beribu orang.

“Kalau di kerusi orang kenamaan mungkin boleh kawal tetapi di pengunjung yang menyaksikan acara sukar diawasi.

“Jadi buat masa ini tiada perarakan dibenarkan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, perincian lanjut berhubung sambutan Hari Kebangsaan akan diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah dalam masa terdekat.

Categories
NASIONAL

Rakyat pamer semangat Malaysia baharu sambut Merdeka

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Walaupun tiada sambutan besar-besaran, rakyat Malaysia tetap bersemangat untuk menyambut ulang tahun ke-61 kemerdekaan negara.

Semangat Malaysia baharu terus dizahirkan rakyat apabila beberapa lokasi tumpuan sambutan ambang Hari Kebangsaan dipenuhi orang ramai meskipun tiada penganjuran konsert dan pertunjukan bunga api secara meriah.

Di SHAH ALAM, sambutan hitungan detik Ambang Merdeka di i-City turut membangkitkan nostalgia bagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kunjungan Anwar tersebut dianggap sebagai sebuah kepulangan buat beliau kerana pernah merasmikan ‘ultrapolis’ berkeluasan 29 hektar itu pada 1997 ketika bergelar Timbalan Perdana Menteri.

Ketibaan beliau pada jam 10.20 malam sebagai tetamu khas Ambang Merdeka 2018 bertema ‘Terima kasih Malaysia’ disambut Pengerusi Eksekutif i-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong dan pengurusan kanan i-City.

Kira-kira 40,000 orang memeriahkan majlis sambutan tersebut dan antara hadirin ialah Ketua Setiausaha Kemneterian Pelancongan dan kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Media Star Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Sambutan peringkat negeri Selangor pula dianjurkan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dengan kehadiran kira-kira 10,000 orang.

Sambutan berkenaan yang dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan barisan kepimpinan kerajaan negeri itu dimulakan dengan persembahan tarian yang menggabungkan tarian tradisional tiga kaum terbesar negara, Melayu, Cina dan India.

 

Acara kemudian diteruskan dengan perbarisan 62 kontinjen yang terdiri daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pasukan uniform dan syarikat berkaitan kerajaan negeri Selangor.

Di KUALA LUMPUR, ribuan rakyat dan pelancong asing memenuhi Dataran Merdeka dan kawasan Bukit Bintang bagi sambutan Ambang Merdeka yang diserikan dengan penganjuran konsert serta pertunjukan bunga api.

Di Matic Jalan Ampang, ambang kemerdekaan disambut dengan memartabatkan seni warisan bangsa iaitu silat dan alunan lagu kerohanian.

Program seawal jam 8.30 malam itu dimulakan dengan pertunjukan silat daripada Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) dan persembahan nasyid oleh beberapa kumpulan yang baru dalam industri seni.

Timbalan Menteri Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata sambutan itu dilihat sebagai satu yang sihat dengan menampilkan kebudayaan seni silat yang menjadi warisan negara.

 

“Selain silat, ada juga selawat, nyanyian nasyid, alunan qasidah dan lagu kerohanian. Kita mahu jelmakan semangat cintakan negara dan mahu budaya kita kekal daripada generasi ke generasi,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Ambang Merdeka di Matic, malam ini.

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar, Aminuddin Harun menyertai 700 jemaah pada majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Masjid Negeri di sini, malam ini.

Beliau yang tiba pada jam 7.10 malam menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Dr Muhamad Yusry Mazlan, diikuti bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat.

Majlis berkenaan turut dihadiri barisan Exco kerajaan negeri, pegawai kanan kerajaan serta masyarakat setempat.

Di KEDAH, sambutan Ambang Merdeka berlangsung di Dataran Kompleks Pekan Rabu yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir bersama isteri Tok Puan Norzieta Zakaria

Kira-kira 1,000 rakyat hadir pada sambutan itu yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti deklamasi puisi oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Ahmad Kasim bertajuk ‘Terima Kasih Rakyat Malaysia’, syair ‘Negara Gemilang’ oleh Wan Ismalinda Wan Jaafar, persembahan ukelele serta nyanyian lagu patriotik.

Di PERLIS, sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu negeri dan bacaan doa diikuti persembahan seni dan kebudayaan serta perarakan lebih 60 kontinjen melibatkan pelbagai agensi, jabatan serta institusi pengajian.

Acara yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco kerajaan negeri itu diserikan dengan persembahan bunga api tepat tengah malam ini.

Di TERENGGANU, acara Ambang Merdeka di Dataran Shahbandar disambut secara sederhana tetapi meriah dengan pengisian berbentuk kerohanian.

Kira-kira 2,500 orang penduduk sekitar Kuala Terengganu turut dihiburkan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Hijjaz, ceramah agama oleh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus dan diakhiri dengan persembahan bunga api sebaik tiba detik 12 tengah malam.

Turut hadir Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan barisan Exco serta kepimpinan negeri.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hari Kebangsaan tahun ini untuk rai kemenangan rakyat – Dr. Mahathir

GEORGE TOWN 5 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini lebih bermakna kerana rakyat bukan sahaja meraikan pembebasan daripada penjajah malah pembebasan daripada kerajaan kleptokrasi.

Beliau berkata, sambutan kemerdekaan pada kali ini adalah untuk meraikan kemenangan rakyat yang berkorban dan berani menyelamatkan negara daripada sebuah kerajaan kleptokrasi.

 

“Sesungguhnya rakyatlah yang membebaskan diri mereka dengan berani keluar berduyun-duyun mengundi, menolak kerajaan kleptokrasi. Walaupun terdapat banyak halangan dan ugutan tetapi rakyat tidak gentar.

“Akhirnya ialah kejayaan luar daripada dugaan. Tak banyak negara dapat tukar pemerintahan tanpa rusuhan dan kematian pejuang kerana pengorbanan rakyat begitu besar (maka) pemerintahan dahulu terpaksa akur dan menyerah kuasa.

“Inilah yang kita rayakan hari ini, kemenangan rakyat,” kata Dr. Mahathir berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama di sini malam tadi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan menteri-menteri Kabinet serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan tawar hadiah lebih RM300,000

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 JUL: Jabatan Penerangan Malaysia menganjurkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 dengan menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM300,000.

Pertandingan itu bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara selain meningkatkan kesedaran serta penghayatan kemerdekaan sama ada secara individu mahupun organisasi melalui cetusan kreativiti dalam menyampaikan informasi kenegaraan.

Berdasarkan kenyataan, pertandingan yang bermula 1 hingga 31 Ogos ini, merupakan program tahunan sejak ia dilancarkan pada tahun 2010 dan diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.

Ia memfokuskan untuk memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada rakyat melalui suasana keceriaan sambutan Bulan Kebangsaan dengan cetusan kreativiti kibaran Jalur Gemilang di kawasan kampung, bangunan dan premis masing-masing dalam usaha menggelorakan semangat patriotik secara holistik serta bersepadu.

Pertandingan itu membabitkan 10 kategori antaranya bangunan kerajaan; bangunan swasta; kampung; sekolah; taman perumahan, individu, pintu gerbang; anjung komuniti dan Institusi Pengajian Tinggi Awan serta swasta.

Manakala, penilaian pula meliputi tiga aspek utama seperti aspek kreativiti (keunikan kepelbagaian reka bentuk menggunakan bendera); aspek daya tarikan (kelainan yang ditonjolkan) dan aspek nilai tambah (pantun, slogan atau kata-kata patriotik).

Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia menerusi borang penyertaan yang boleh didapati di semua Jabatan Penerangan Negeri atau muat turun di laman sesawang rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 di malaysiamerdeka.my.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Urus Setia Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 JaPen di talian 0389117339 / 7327.

Categories
NASIONAL

Peluang cipta logo Hari Kebangsaan

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 14 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengalu-alukan orang ramai menyumbang idea kreatif untuk ciptaan logo sempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Dalam kenyataannya, KKMM memaklumkan, orang awam juga digalakkan mengemukakan cadangan dan idea bagi memeriahkan sambutan hari berkenaan.

“Logo ciptaan yang terpilih akan digunakan sebagai logo rasmi bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 bertema ‘Sayangi Malaysiaku’.

“Orang ramai boleh menghantar logo ciptaan menerusi laman Facebook Merdeka 360 atau laman sesawang malaysiamerdeka.com ,” katanya.

Katanya, penyertaan orang ramai dalam ciptaan logo dan cadangan sambutan diharap dapat menyemarakkan semangat patrotisme di kalangan masyarakat berbilang bangsa bagi menyambut hari berkenaan.

“Setiap penyertaan perlu dikemukakan maklumat pribadi seperti nama, nombor telefon, emel di kapsyen beserta rasional logo itu,” katanya.

Tarikh tutup adalah sebelum atau pada 7 Julai ini.