Categories
ADN SELANGOR

DUN Sungai Ramal sambut merdeka, kekal patuh SOP

SHAH ALAM, 1 SEPT: Sambutan Hari Kebangsaan diraikan penuh meriah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal namun masih mengikut tatacara operasi piawai (SOP), kata ahli dewan negerinya.

Mazwan Johar berkata acara itu disambut di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi semalam dalam jumlah pengunjung yang kecil menepati Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Terima kasih kepada pengunjung yang hadir memberi sokongan dan semangat walaupun ia perlu disambut dalam norma baharu,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut mengedar jersi kemerdekaan, pelekat bendera Malaysia dan buah-buahan kepada pengunjung sebagai tanda penghargaan.

Dalam majlis sama, laungan Merdeka sebanyak tujuh kali turut dilaungkan Mazwan diikuti pengunjung.

Katanya, diharap program itu berjaya menyumbang dan membangkitkan semangat serta jiwa patriotik dalam kalangan penduduk DUN Sungai Ramal khususnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan Hari Kebangsaan meriah di Bangkok

BANGKOK, 31 OGOS: Biarpun berada jauh dari tanah air, sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini tetap meriah dalam keadaan norma baharu buat rakyat Malaysia yang berada di ibu negara Thailand.

Dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dikuatkuasakan kerajaan Thailand susulan pandemik Covid-19, kira-kira 100 rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di sekitar Bangkok, hadir di Kedutaan Besar Malaysia, bagi menyemarakkan sambutan hari bersejarah itu dengan penuh semangat patriotik.

Majlis bermula dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan semua hadirin diketuai Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku.

Jojie berkata walaupun berdepan pandemik Covid-19, ia tidak melunturkan semangat rakyat Malaysia memperingati detik penting dan istimewa negara.

“Hari ini bukan sahaja melambangkan sejarah pembentukan Malaysia berdaulat dan bebas merdeka, ia juga melambangkan kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dalam membina sebuah negara maju, aman dan makmur sepanjang 63 tahun negara kita merdeka,” katanya.

Jojie berkata kedutaan menganjurkan beberapa program bersempena Hari Kebangsaan dalam skala kecil yang hanya melibatkan warga kerja, ahli keluarga dan segelintir rakyat Malaysia yang berada di Bangkok.

Beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan ke-63 itu juga mengukuhkan hubungan diplomatik dua hala di antara Malaysia dan Thailand.

Hadir sama pada majlis sambutan Hari Kebangsaan itu ialah Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) Dr Hwee Khim Boo dan Presiden Kelab Malaysia Thailand Datuk Bobby Tai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dataran Merdeka himpun kenangan sambut Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Dataran Merdeka, pada suatu ketika dikenali Padang Kelab Selangor, menyaksikan pelbagai sejarah dan tidak pernah sepi daripada aktiviti setiap kali menjelang sambutan utama termasuk ambang tahun baharu dan Hari Kebangsaan.

Namun, pandemik Covid-19 yang masih mengancam negara menyebabkan lokasi yang merupakan antara lokasi utama sambutan Hari Kebangsaan itu sepi daripada sebarang acara tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bercakap kepada Bernama, Venaigam Packirisamy, 45, mengakui Dataran Merdeka mempunyai tempat tersendiri dalam hidupnya selepas beliau terlibat secara langsung dalam perbarisan Hari Kebangsaan.

“Masih ingat lagi, pada 1991, saya berumur 17 tahun dan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar. Tidak sangka sekolah dan saya sendiri terpilih untuk menyertai pasukan formasi ketika itu.

“Ketika itu, sekolah saya memakai baju berwarna putih. Kami berdiri bersama-sama pelajar sekolah lain bagi membentuk formasi bendera Malaysia dan juga membina bentuk-bentuk lain dengan konsep warna biru, kuning, merah dan putih,” katanya yang kembali semula ke lokasi itu semasa sambutan Hari Kebangsaan 2012.

Turut berkongsi memorinya berkaitan Dataran Merdeka ialah Wan Nor Azira Mazlan, 37, yang terlibat menguruskan pasukan kawad syarikatnya pada sambutan Hari Kebangsaan 2010.

“ … perasaan itu lebih istimewa kerana secara langsung terlibat dalam menjayakan acara Hari Kebangsaan yang menjadi perhatian masyarakat seluruh negara,” katanya.

Adilah Azri, 28, pula berkata beliau bertanggungjawab menguruskan logistik untuk pasukan yang terlibat dalam perbarisan serta media yang membuat liputan pada sambutan Hari Kebangsaan 2015.

“Saya dan pasukan berada di situ seawal 4.30 pagi atau 5 pagi untuk memastikan semua dalam keadaan baik dan bersedia pada hari tersebut (Hari Kebangsaan). Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

“Saya juga mempunyai kenangan menonton perlawanan Piala Dunia 2014 di situ,” katanya.

Mengimbau sejarah, Dataran Merdeka ketika dikenali Padang Kelab Selangor, menyaksikan penurunan bendera Union Jack pada tengah malam 30 Ogos 1957 sebelum disusuli acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu, menandakan berakhirnya pemerintahan British di negara ini.

Padang Kelab Selangor dinamakan Dataran Merdeka pada Oktober 1989 bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 1990.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk Balakong sumbang 500 baju terpakai, hasil Jalur Gemilang gergasi

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sebanyak 500 helai baju terpakai disumbang penduduk Balakong bagi menghasilkan Jalur Gemilang gergasi, kata Ahli Dewan Negerinya.

Wong Siew Ki berkata bendera bersaiz 40 kaki lebar dan 20 kaki tinggi itu dihasilkan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan kali ke-63 dan Hari Malaysia ke-57.

“Program yang digerakkan Pasukan #SemangatBalakong itu mengumpulkan baju terpakai daripada masyarakat Melayu, Cina, India dan juga orang asal. Simbolik kepada jahitan ini adalah gabungan penduduk-penduduk bagi membentuk Malaysia tercinta kita.

“Sekiranya semua rakyat bergabung, bersatu padu dan berganding bahu, segala halangan dan cabaran kita boleh atasi bersama-sama,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bendera Jalur Gemilang bersaiz 40 kaki lebar dan 20 kaki tinggi ini dihasilkan dari sumbangan 500 baju terpakai penduduk berbilang kaum di Balakong.
Categories
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sultan Selangor mahu Rukun Negara dihayati, dipraktik dalam kehidupan

SHAH ALAM, 28 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu rakyat menghayati dan mempraktik Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Baginda menzahirkan pandangan, lima prinsip yang digubal pada 1970 kurang ditekankan sejak 1980-an menyebabkan rakyat tidak mengamalkan asasnya malah penghargaan dan apresiasinya kurang diterapkan dalam agenda perpaduan nasional.

“Ia berpunca daripada kelemahan segelintir rakyat mendukung keluhuran Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan serta kegagalan menghormati kedaulatan institusi Raja di negara ini,” titah baginda melalui kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan Sultan Sharafuddin gembira melihat usaha dijalankan bagi menerapkan prinsip Rukun Negara ke arah memperteguh keharmonian sesama kaum di Malaysia.

Menurut kenyataan lagi, Sultan Sharafudin menyeru rakyat mengambil tauladan, penghayatan dan pemahaman rakyat Indonesia terhadap Pancasila yang terbukti berkesan dan diamalkan secara serius dalam memupuk semangat patriotisme.

“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 kali ini baginda percaya, keteguhan perpaduan sedia ada mampu diperkukuhkan lagi sekiranya rakyat memahami sepenuh hati tentang sejarah dan perjuangan bangsa terutamanya prinsip digariskan Rukun Negara.

“Baginda mahu agar Rukun Negara diperkasakan semula ke arah membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun tunjang perpaduan negara itu,” kata kenyataan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas belanja wang BPN hias beca dengan Jalur Gemilang

KOTA BHARU, 26 OGOS: Bagi menzahirkan semangat patriotik, seorang warga emas mengambil inisiatif menyemarakkan Bulan Kebangsaan kali ini dengan menghias beca miliknya menggunakan Jalur Gemilang.

Wang ringgit bukan ukuran bagi Che Kamarudin Che Amat, 61, kerana apa yang penting baginya adalah menzahirkan rasa semangat dan cinta terhadap negara dengan cara tersendiri sehingga sanggup membelanjakan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diterimanya.

Malah, berkat idea kreatif dengan menggantungkan Jalur Gemilang serta bunga-bungaan itu pasti ‘memukau’ perhatian sesiapa sahaja yang melihat beca miliknya itu setiap kali menyusuri jalan di sekitar bandar Kota Bharu.

“Memandangkan pendapatan saya sebagai penunggang beca yang tidak menentu, saya menghias beca ini selama seminggu bermodalkan sebanyak RM300 menggunakan wang BPN yang diperoleh.

“Walaupun jika hendak dibandingkan nilai itu tidaklah sebesar pengorbanan pemimpin dan perajurit terdahulu yang banyak berjasa kepada negara namun, saya berpuas hati sekurang-kurangnya saya dapat menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui cara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pekarangan Pasar Siti Khadijah, di sini hari ini.

Bapa kepada 10 anak berusia lingkungan 10 hingga 34 tahun yang sudah 36 tahun menunggang beca itu mengakui ramai terpegun dan memandang beca miliknya yang dihias cantik dengan Jalur Gemilang malah ada yang sanggup membayarnya untuk tujuan mengambil gambar.

Katanya, bayaran dikenakan kepada pelanggan yang ingin menaiki beca ialah serendah RM10 hingga RM20 bergantung kepada jarak dan jika hanya ingin mengambil gambar, tiada bayaran dikenakan.

“Menghias beca seolah-olah sudah sebati dalam jiwa saya selain turut menjadikan aktiviti ini sebagai rutin wajib sejak lapan tahun lepas setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan dengan hiasan berbeza. Kali ini, selain Jalur Gemilang saya turut menambah bunga dan juga bendera negeri Kelantan.

“Malah, ianya seakan tidak sempurna jika saya tidak dapat menghias beca dengan Jalur Gemilang setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan kerana sudah merasakan ianya sebagai tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia untuk menghargai nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi hampir 63 tahun,” katanya.

Beliau turut menasihatkan generasi kini terutamanya generasi muda agar menanam rasa cinta kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda bangga dapat berada di negara yang bertuah ini.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada perarakan Hari Kebangsaan di Selangor, kekang penularan Covid-19

SHAH ALAM, 22 OGOS: Selangor tidak menganjurkan perarakan Hari Kebangsaan yang akan disambut 31 Ogos ini.

Setiausaha bahagian (khidmat pengurusan) berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini Covid-19.

“Setakat ini kita hanya meneruskan kempen Kibar Jalur Gemilang dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari serentak bersama Kerajaan Persekutuan pada 28 Julai lalu.

“Bagaimanapun sebelum itu, majlis tahlil, doa selamat dan bacaan yasin sempena sambutan Hari Pahlawan telah diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 24 Julai,” kata Muhamad Shah Osmin ketika dihubungi.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam menyeru rakyat di negara ini agar menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan dengan penuh semangat patriotik sekalipun negara sedang berdepan ancaman pandemik.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata walaupun tiada perarakan Hari Kebangsaan diadakan pada tahun ini, rakyat boleh meraikan sambutan secara kreatif dan berkongsi gambar atau video menerusi media sosial.

Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-63 tahun ini dengan tema Malaysia Prihatin.

Categories
ADN AGENDA SELANGOR

Kayuhan Merdeka Kota Anggerik imbau sejarah kemerdekaan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Seramai 14 peserta daripada golongan belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan kakitangan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menjayakan Kayuhan Merdeka 2020 yang dianjur wakil rakyatnya, semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Najwan Halimi berkata kayuhan sejauh 190 kilometer (km) dari Shah Alam ke Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan ke-63.

“Pemilihan Dataran Pahlawan sebagai lokasi kayuhan adalah bagi memberi apresiasi terhadap tempat bersejarah negara sekali gus mengimbau kembali kenangan ketika Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu sebaik pulang dari London.

“Pada masa sama, kita mahu mendekati anak muda melalui amalan gaya hidup sihat seperti aktiviti berbasikal yang diceburi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira usia sejak kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pelepasan acara kayuhan disempurnakan Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi pada jam 7 pagi di Pusat Khidmat Masyarakat Kota Anggerik.

Pada jam 11.30 pagi, peserta ekspedisi berhenti rehat di Port Dickson, Negeri Sembilan dan mereka dirai Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Semua peserta selamat tiba di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka jam 6.45 petang dan disambut Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada perarakan Hari Kebangsaan, rakyat digalak zahir patriotisme di media sosial

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini menyeru rakyat di negara ini agar menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini dengan penuh semangat patriotik sekalipun negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun tiada perarakan Hari Kebangsaan diadakan pada tahun ini, rakyat boleh meraikan sambutan secara kreatif dan berkongsi gambar atau video menerusi media sosial.

“Kita galakkan rakyat ambil gambar dan video dan kongsikan kreativiti mereka untuk mengekspresikan Hari Kebangsaan. Oleh kerana tiada acara seperti biasa, tidak bermakna kita tidak boleh menghidupkan semangat sambutan negara secara bersama,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini yang disiarkan stesen televisyen TV3.

Menurut Saifuddin, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga adalah serentak dengan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Julai lepas.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada 31 Ogos dan seterusnya sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang akan berlangsung di Sibu, Sarawak.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke Dataran Pahlawan bagi upacara menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan keselamatan utama dan seterusnya menyampaikan titah diraja yang akan disiarkan secara langsung.

“Kebiasaannya tiada titah diraja pada Hari Kebangsaan tetapi kerana 50 tahun lepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada masa itu mengisytiharkan Rukun Negara pada tarikh 31 Ogos, maka kita ambil bersempena ulang tahun 50 tahun itu untuk ucapan titah baginda,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata tema ‘Malaysia Prihatin’ yang dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini melambangkan Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum dan bersatu padu, manakala ‘prihatin’ merujuk kepada aspek kebersamaan rakyat Malaysia terutamanya dalam berdepan suasana kebiasaan baharu.

“Untuk menjadi patriotik dan prihatin tidak perlu buat perkara besar-besar. Bantu bagi pelitup muka kepada teman, mengingatkan satu sama lain tentang penjarakan fizikal, kutip sampah tepi jalan, itu semua aksi-aksi prihatin. Tidak perlu jadi menteri untuk jadi patriotik,” katanya.

Saifuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 berharap setiap stesen televisyen berusaha menghidupkan suasana sambutan itu bagi memastikan hari berkenaan diraikan bersama.

“Selalu kita tengok selain perarakan tentera akan ada juga aset-aset yang dibawa ke Dataran Merdeka tetapi kali ini takkan nak dibawa aset-aset itu ke studio … semuanya bergantung pada kreativiti stesen-stesen televisyen,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Semangat kibar Jalur Gemilang, media sosial antara jadi pilihan

Oleh Norhidayu Zainal dan Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Gaya hidup masyarakat hari ini banyak berubah rentetan amalan kebiasaan baharu yang tercetus dek penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk, Malaysia.

Tempiasnya turut terasa bagi persiapan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos ini yang pastinya melakar sejarah baharu buat rakyat Malaysia, apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan diadakan mengikut kebiasaan baharu dan hanya akan disiarkan melalui saluran televisyen.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota pula mendapati kibaran Jalur Gemilang sama ada di bangunan pejabat, gedung perniagaan, kenderaan dan rumah dilihat masih kurang meriah, seolah-olah rakyat tidak bersemangat memperingati dan menyambut hari bersejarah itu.

Mengulas perkara itu, aktivis sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata tumpuan masyarakat hari ini berubah sepenuhnya dek kehadiran pandemik Covid-19 sekali gus menangkis dakwaan rakyat kurang semangat cintakan negara.

Sebaliknya, jelas beliau, masyarakat lebih selesa menyambut Hari Kebangsaan secara bersederhana sebagaimana menyambut perayaan lain sebelum ini.

2020 Tahun Mencabar, Luar Biasa

Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata 2020 adalah tahun yang luar biasa kerana seluruh dunia diancam wabak itu dan ia merupakan antara soal hidup dan mati.

“Rakyat bukan tidak patriotik, cuma mereka memberi lebih perhatian terhadap keselamatan diri kerana perasaan trauma, fobia dan ketakutan masih menghantui akibat daripada ancaman wabak itu,” katanya kepada Bernama sambil menambah keadaan diburukkan lagi dengan kewujudan pelbagai kluster baharu sehingga menyebabkan rakyat sangat berhati-hati dalam setiap tindakan mereka.

Melihat kepada senario penularan pandemik Covid-19 yang masih belum reda, Mohammad Shatar menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing sebagai usaha menyemarakkan sambutan hari kebangsaan, meskipun dalam suasana normal baharu.

“Sekurang-kurangnya, (sambutan) tidaklah begitu lesu…dan Jalur Gemilang pula dipasang di rumah sendiri dan tidak mendedahkan kita kepada risiko terkena jangkitan.

“Jika dahulu kita berhimpun dan berarak, sekarang kita cuba patuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal ketika meraikan hari bersejarah kali ini,” katanya.

Bijak Guna Media Sosial Zahir Patriotisme

Sementara itu, pelajar institut pengajian tinggi awam, Adam Iman Azmi, 19, berpendapat masyarakat kini perlu bijak memanfaatkan penggunaan teknologi khususya media sosial bagi menzahirkan semangat patriotisme kepada negara.

Pelajar semester dua jurusan Sains Komputer, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata antara yang popular dan menjadi ikutan dalam media sosial adalah di laman Twitter apabila ramai pengguna internet mengirim mesej dengan menggunakan emotikon Jalur Gemilang sebagai memperingati sambutan Hari Kebangsaan.

“Saya berpendapat masyarakat hari ini tidak lagi memilih mengibarkan Jalur Gemilang secara fizikal sebaliknya beralih arah kepada alam maya.

“Ini adalah budaya baharu seiring dengan peredaran zaman dan generasi yang kini lebih sinonim dengan alam maya…dan ini juga cara kami dalam menzahirkan semangat rasa cintakan negara,” katanya.

Turut senada, Azlina Johari, 32, yang menyifatkan usaha “menyibarkan” Jalur Gemilang di laman sosial sebagai idea bernas dan menarik, namun ia seharusnya dilakukan sepanjang masa.

“Sepatutnya, kita semua harus dengan rela hati kibarkan Jalur Gemilang sepanjang tahun, tanpa perlu menunggu adanya program sambutan Bulan Kebangsaan ataupun kempen tertentu,” katanya menambah, sikap patriotisme perlu dijiwai seluruh rakyat Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hari Kebangsaan: Sambutan norma baharu catat sejarah, teknologi 3D CGI

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini pastinya melakar sejarah baharu kepada rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Mohammad Diah Wahari berkata acara itu akan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 dipatuhi.

“Tahun ini, kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara perbarisan dan perarakan seperti sebelum ini. Acara kali ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memeriksa kawalan kehormat utama.

“Seterusnya baginda akan mencemar duli menyaksikan siaran langsung yang akan disediakan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya selepas menjadi tetamu program @Radio di Bernama Radio bertajuk Bulan Kebangsaan 2020 ‘Malaysia Prihatin’ hari ini.

Memperincikan sambutan bertema Malaysia Prihatin itu, Mohammad Diah berkata RTM diberi tanggungjawab menyunting rakaman menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer).

Beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-63 dengan menonton siaran RTM agar turut merasai kemeriahannya walaupun tidak dapat menyaksikan perarakan kontinjen beruniform, aset keselamatan dan persembahan acara simbolik secara langsung di lokasi.

“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Hargailah perjuangan pejuang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Mohammad Diah turut mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing selain menyertai pelbagai program kenegaraan anjuran KKMM, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan RTM sebagai tanda patriotik kepada negara.

Mengulas mengenai program kenegaraan, beliau berkata antara yang sedang dan akan diadakan ialah Merdeka@Komuniti, Sayembara Sajak Merdeka, pertandingan fotografi Klik@Merdeka 2020, Webinar Rukun Negara, e-Treasure Hunt, Kapsul ‘Terima Kasih Hero’ dan konsert Kita Merdeka 1957-2020.

Sambutan kali ini menyaksikan logo berbentuk hati menjadi pilihan selepas kali terakhir ia digunakan pada 2016 dengan warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, yang melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenal ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

MPSJ: Kibar bendera di premis atau rumah, menang cabutan bertuah

SHAH ALAM, 8 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan pelbagai hadiah menarik jika orang ramai memasang Jalur Gemilang di premis bangunan atau kediaman masing-masing.

Agensi itu melalui hebahan berkata antara hadiah ditawarkan ialah peti sejuk, basikal, mesin basuh, televisyen, telefon bimbit, jam tangan serta alat kelengkapan dapur.

“Untuk memenangi hadiah menarik ini, peserta hanya perlu mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau kediaman masing-masing sehingga 16 September ini, kemudian ikuti laman rasmi MPSJ termasuk Facebook dan Twitter.

“Seterusnya, muat naik gambar anda di media sosial masing-masing dan ‘tag’ pada media sosial MPSJ dengan #jomkibarmpsj2020, #mpsjvibrantcity dan #malaysiaprihatin,” katanya.

Tambahnya, kempen “Jom Kibar, Terima Kasih Malaysia” bermula 1 Ogos lalu hingga 16 September sempena sambutan kemerdekaan kali ke-63.

Kriteria dan maklumat lanjut penyertaan boleh dilayari di laman web www.mpsj.gov.my atau hubungi talian 03-80264462 atau 03-80264462.