Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor tingkatkan peruntukan, tangani isu kesihatan mental – MB

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Negeri beriltizam meningkatkan peruntukan kesihatan mental terutama aspek kesedaran awam serta kepakaran selepas melihat maklum balas positif.

Dato’ Menteri Besar berkata golongan berkaitan tidak wajar ditinggalkan malah ketidaksamarataan masyarakat tidak harus dilihat dari segi ekonomi atau kewangan.

“Kini tiba masanya untuk seluruh negara mengambil iktibar meningkatkan pelaburan kepada usaha mengurus kesihatan mental masyarakat.

“Semenjak Hari Kesihatan Mental Sedunia yang pertama pada 1992, saya lihat stigma isu ini mula berkurangan dan diberi pertimbangan serius malah penggubal dasar bersedia meneliti dan memperhalusi keperluan kesihatan awam,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 disambut hari ini.

Menurut Amirudin kesihatan mental selalu diabaikan malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati seseorang akan membunuh diri setiap 40 saat.

“Tahun 2020 ternyata mencabar kemampuan warga dunia yang sudah lama tidak dirasai sejak tahun 1940-an susulan pandemik Covid-19 dan ternyata situasi ini merimaskan dan mengganggu kesihatan mental dan emosi kita semua.

“Itulah sebabnya saya berpendapat tema Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020, iaitu ‘Greater Investment – Greater Access’, adalah tepat pada masanya,” katanya.

Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumum pada 1 April, Kerajaan Selangor mengumumkan memperuntuk RM1 juta untuk perkhidmatan kaunseling bagi menangani isu tersebut melalui kelas interaktif.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri bereben hijau sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan hari ini berkenan mengenakan reben hijau bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 yang jatuh pada 10 Oktober setiap tahun.

Riben hijau merupakan simbol kesihatan mental antarabangsa, selain sebagai tanda sokongan bagi kesedaran dan penyebab kesihatan mental serta membantu membina solidariti untuk komuniti itu.

Menurut kenyataan Istana Negara hari ini, Tengku Puteri Iman Afzan merupakan Penaung Antarabangsa bagi Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 setelah menerima undangan daripada Gabungan Badan-Badan Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini.

Pelantikan Tengku Puteri Iman Afzan itu adalah bukti usaha murni Malaysia dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, cara-cara perawatan dan cabaran polisi. Usaha itu diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lain.

Naungan diraja Tengku Puteri Iman Afzan itu adalah hingga Oktober 2021.

Menurut kenyataan itu, Tengku Puteri Iman Afzan dalam perutusannya sebagai Penaung Antarabangsa, mengajak rakyat dan kerajaan di seluruh dunia bersatu dalam usaha memartabatkan kesihatan mental kerana perkara tersebut adalah tanggungjawab semua.

Anakanda Seri Paduka berdua itu turut dipetik bertitah akan betapa pentingnya meluangkan masa dan memberi perhatian, sokongan, kasih sayang serta belas kasihan sesama kita bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan mental yang lebih baik.

-BERNAMA