Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan Hari Malaysia serlah kesepakatan rakyat majmuk

KUCHING, 17 SEPT: Kesepakatan rakyat majmuk dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah jelas terserlah di Bumi Kenyalang apabila 10,000 hadirin memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, malam tadi.

Walaupun keadaan berjerebu, seawal 5.30 petang orang ramai mula membanjiri perkarangan stadium untuk menyaksikan prapersembahan daripada penyanyi tempatan dan koir yang bermula pada 7 malam.

Sambutan itu yang sebelum ini dijadual diadakan di tempat terbuka di Padang Merdeka di sini, tidak menghalang orang ramai memenuhi setiap inci stadium tertutup berkenaan menanti ucapan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan amanat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di samping berhibur dengan persembahan yang diatur.

Paling menarik adalah persembahan mengikut era yang turut menampilkan kereta Proton Saga berwarna merah, kereta nasional pertama negara yang diperkenalkan sewaktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat mengimbau kembali sejarah pembentukan dan kemajuan negara.

Kemeriahan sambutan dengan semangat patriotisme kian membara dalam kalangan hadirin dengan perarakan masuk peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang membawa masuk Jalur Gemilang dan diserahkan kepada Yang Dipertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud untuk upacara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi lagu Negaraku dan Malaysia Bersih.

Acara sambutan diteruskan dengan persembahan khas bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih yang merangkumi persembahan kebudayaan, tarian dan nyanyian.

Antara keunikan persembahan yang disajikan termasuk ‘shadow play’, tayangan video mengenai sejarah pembentukan Malaysia diikuti acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2019.

Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri,Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal;​​​​​ Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta barisan anggota Kabinet Persekutuan, Sarawak dan Sabah, ketua agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta delegasi luar negara.

Sementara itu, di pusat bandar, orang ramai yang tidak berpeluang mengunjungi sambutan itu stadium menyaksikan perarakan sebanyak enam buah kereta berhias yang bermula pada 8.30 malam sehingga 11 malam yang melalui Tebingan Kuching.

Perarakan kereta berhias itu turut disiarkan secara langsung untuk tontonan para hadirin di Stadium Perpaduan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Dr Mahathir tiba di Kuching untuk sambutan Hari Malaysia 2019

KUCHING, 16 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Pesawat membawa Perdana Menteri dan isteri dari Kuala Lumpur mendarat pukul 10.20 pagi dan disambut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut berada di lapangan terbang ialah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Jaul Samion.

Dr Mahathir turut dijadual menghadiri ‘Jum Berambeh Bersatu’ di Hotel Pullman di sini sebelum bertolak ke Stadium Perpaduan untuk menghadiri sambutan dan menyampaikan amanat Hari Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jitukan perpaduan, tekankan sikap saling menghormati

WASHINGTON DC, 16 SEPT: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat Malaysia memberi penekanan kepada aspek memperkukuh semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam berdepan cabaran mendatang yang lebih besar.

Menteri Dalam Negeri itu, yang tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja ke ibu negara Amerika Syarikat ini sehingga Rabu sebelum meneruskannya di New York, turut melahirkan harapan agar semangat bekerjasama dan saling bantu-membantu antara semua rakyat terus dipertingkat.

Berkongsi mesejnya sempena Hari Malaysia 2019 kepada Bernama, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia menegaskan bahawa masyarakat perlu melihat ke hadapan berhubung apa yang mereka harus lakukan secara bersama untuk memajukan negara dalam semua bidang.

“Yang ini (sememangnya) telah kita jayakan sejak Malaysia tertubuh puluhan tahun dulu namun cabaran masa depan adalah lebih besar lagi.

“Maka perkara yang harus kita tekankan ialah soal kerjasama, semangat perpaduan lebih jitu, saling hormat menghormati antara kaum dan bangsa di Malaysia serta menjalin hubungan lebih erat untuk membina negara Malaysia yang lebih berjaya lagi,” kata Muhyiddin.

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan dijadual berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak pada Isnin malam dengan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tetamu lain dan bakal dimeriahkan dengan penyertaan masyarakat pelbagai kaum.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Kekuatan Malaysia pada kepelbagaian bangsa, agama

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kekuatan negara ini terletak pada kepelbagaian bangsa dan agama sekali gus menjadikannya satu keunikan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sempena sambutan Hari Malaysia, pada hari ini.

Beliau berkata, maka rakyat Malaysia perlu meraikan hari penuh bersejarah dengan iltizam bagi terus memakmurkan bumi bertuah ini.

“Selamat menyambut Hari Malaysia yang ke 56. Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih,” tulisnya melalui laman Instagramnya.

Kali ini Sarawak dipilih menjadi tuan rumah untuk sambutan Hari Malaysia 2019 dan ianya adalah kesinambungan kepada Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan pada 2 hingga 4 Ogos lalu.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia, tema sambutan tahun ini adalah “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”.

Tema itu dipilih kerana ia melambangkan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama, selain dapat memupuk juga menyalakan nilai integriti, jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.