Categories
NASIONAL

‘Harimau Asia’ bakal kembali dalam dua penggal-PM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL & SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 10 JULAI: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun untuk memegang semula gelaran ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi rantau ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, beliau tidak berpuas hati dengan prestasi kepimpinan terdahulu yang dilihat gagal memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi sehingga menuntut dirinya kembali aktif dalam arena politik.

Katanya, pemimpin sebelum ini melakukan keputusan tidak sewajarnya dan mengalih tumpuan kepada perkara peribadi.

“Asas pemulihan sudah diletakkan dalam tiga tahun ini tetapi belum sampai ke tahapnya kerana ia sukar dipulihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama Radio pada Wawancara Eksklusif Janji Temu bersama Tun Mahathir sempena Ulang Tahun ke-94 pemimpin itu, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara, pelbagai masalah khususnya membabitkan kemelut kewangan berjaya diatasi.

“Semasa dahulu saya di luar kerajaan, saya tidak dapat nilai masalah ini dan apa yang kita nampak itulah yang diberitahu sahaja.

“Apabila kita mendapat kuasa, kita dapat mengetahuinya daripada dalam bahawa masalah ini lebih besar dan mengambil sedikit masa bagi proses baik pulih untuk meletakkan negara dalam keadaan selamat daripada kecemasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan PAKATAN juga akan terus berusaha mengubah orang Melayu supaya lebih serasi dengan kemajuan memandangkan sebahagian besar memilih untuk kekal sengan cara mereka sendiri.

Akuinya, kegagalan terbesar beliau adalah gagal mengubah tabiat orang Melayu dan sistem nilai.

Categories
NASIONAL

Malaysia di landasan betul dapatkan semula status Harimau Asia

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yakin Malaysia berada dalam landasan yang betul untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021, ke arah kepada mendapatkan semula kedudukannya sebagai Harimau Asia.

Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan hutang dan liabiliti semasa sebanyak RM1.087 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh ini kepada 65 peratus melalui rundingan semula projek mega seperti Mass Rapid Transit.

Tidak lama selepas pelantikan beliau kepada antara tugas paling sukar, Lim mengumumkan hutang dan liabiliti kerajaan melebihi RM1 trilion, jumlah yang meningkatkan kebimbangan pasaran dan membawa kepada prospek penurunan penarafan kredit.

Pecahan itu termasuk hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada KDNK dan jaminan kerajaan sebanyak RM199.1 bilion atau 14.6 peratus daripada KDNK.

“Selepas usaha selama enam hingga tujuh bulan oleh kerajaan, hutang dan liabiliti dapat dikurangkan kepada RM1.07 bilion atau pengurangan sebanyak RM17 juta.

“Bagaimanapun, dari aspek peratusan kepada KDNK, ia sebanyak 5.5 peratus daripada 80.3 peratus kepada 74.8 peratus,” katanya dalam temu bual dengan organisasi media terpilih menjelang sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selepas kemenangan bersejarahnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei tahun lepas.

Lim turut menekankan kepentingan ketelusan yang dilaksanakan oleh kerajaan, terutamanya dalam menangani skandal seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tabung Haji dan Felda, selain turut memerangi amalan rasuah oleh pentadbiran terdahulu.

Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan menganggarkan penjimatan sebanyak RM805 juta telah dicapai melalui rundingan semula projek-projek infrastruktur, manakala unjuran sebanyak RM4 bilion yang dijangka dijana daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperuntukkan kepada kementerian yang penting dan rakyat.

“Melihat dari segi prestasi, walaupun kita menghadapi banyak tekanan dari aspek kewangan, Malaysia tidak muflis seperti yang dibimbangkan apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah memulakan proses pembayaran tunggakan bayaran balik cukai sebanyak RM37 bilion yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Proses itu bermula pada Januari lepas dan akan selesai pada Oktober.

Beliau juga berkata, inflasi telah diuruskan dengan baik sebanyak 0.4 peratus pada Februari dan agensi penarafan antarabangsa turut mengekalkan penarafan A3 mereka bagi Malaysia.

Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia turut naik sebanyak 48 peratus pada 2018, manakala eksport dan akaun semasa juga positif.

Negara mencatatkan peningkatan sebanyak 48 peratus bagi FDI yang diluluskan dalam semua sektor sebanyak RM80.5 bilion pada tahun lepas.

“Walaupun kita menghadapi masalah kewangan susulan skandal 1MDB, keyakinan pelabur asing atau dana asing terus kukuh dan mereka turut mengekalkan tahap penarafan kredit Malaysia.

“Oleh itu, ini merupakan ujian dan Malaysia lulus dari segi menguruskan ekonomi dan kedudukan fiskal,” kata Lim.

Beliau juga berkata, ekonomi Malaysia berkembang dengan baik dengan asas ekonomi yang kukuh, serta penjimatan daripada rundingan semula yang dilaksanakan untuk projek infrastruktur.

Penjimatan itu digunakan untuk menyelamatkan Tabung Haji dan Felda yang memerlukan suntikan, masing-masing sebanyak RM17.8 bilion dan RM6.23 bilion.

“Ia turut menyebabkan Malaysia mengalami tekanan, berikutan pada mulanya, kami fikir penjimatan itu dapat digunakan untuk membayar hutang 1MDB dan sebagainya. Bagaimanapun, nampaknya, kami perlu mencari sumber sendiri untuk membayarnya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan semula projek Bandar Malaysia dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berada di peringkat awal dan kementerian sedang menunggu laporan lengkap berkaitan kedua-duanya.

“Kami melihat (pelaksanaan semula projek itu sebagai) kepentingan negara. Pelbagai aspek diambil kira, termasuk ECRL yang melibatkan perjanjian antara kerajaan dan China, yang merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.

“ECRL adalah projek yang jika dihentikan, bermakna pampasan perlu dibayar dan melibatkan jumlah yang akan mencapai berbilion ringgit,” kata Lim.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Perlu yakin capai matlamat Harimau Asia – Anwar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 APR : Golongan mahasiswa, generasi muda dan pimpinan negara perlu memiliki keyakinan, kerangka, pemikiran pokok serta tindakan amal sekiranya mahu Malaysia mencapai matlamat menjadi Harimau Asia.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemikir Islam Algeria, Malek Bennabi juga mengakui sesebuah pembaharuan (renaissance) itu tidak berlaku secara sendiri.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai kerajaan juga sedang melaksanakan pembaharuan berlandaskan agenda perubahan dengan meninggalkan sistem bobrok, menolak rasuah dan memastikan rakyat mendapat pembelaan.

“Kita mesti yakin dan dalam konteks masyarakat Islam bahawa negara tidak boleh dibangunkan sekiranya pimpinannya itu zalim dan rasuah.

“Rakyat, baik Melayu, Bumiputera, bahkan rakyat seluruhnya, Cina India, Iban, Kadazan tidak mungkin dapat pembelaan jika pimpinannya dan generasi muda yang harus menjadi kekuatan asas tidak mempunyai kesedaran dalaman,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia bertajuk ‘Reformasi Institusi’ di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

Pada masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, sekiranya tidak mempunyai kerangka pemikiran atau idea pendorong yang menjadi asas kepada konsep dan dasar pembinaan negara, seseorang itu sudah pasti akan mudah dibeli, terpesong dengan wang serta kedudukan.

Katanya, kerangka idea adalah antara strategi penting bagi menentukan dasar yang dilaksanakan pada masa depan.

“Adam Smith pernah berkata dalam bukunya Wealth of Nations sekiranya mahu membangunkan sesebuah negara adalah penting untuk mempunyai keseimbangan nilai modal, sikap dan disiplin.

“Ada keprihatinan terhadap orang yang derita dan miskin, tersisih daripada asas pembangunan. Jika tidak ada, maka kita ini hanya menjadi haiwan ekonomi tanpa akhlak dan moral,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam kesibukan membina negara dan ekonomi, kebajikan rakyat tidak boleh diketepikan.

Katanya, isu pelajar berlapar di universiti bukan satu perkara baharu sebaliknya ia cuma tidak didedahkan semasa pentadbiran kerajaan dahulu sebaliknya diuar-uarkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

“Sekarang jika ada 10 orang berlapar, ia dihebahkan. Kalau pimpinan itu prihatin, segera diambil tindakan.

“Media yang bebas itu membantu kita kerana kita tidak boleh tahu semua,” katanya.

Oleh itu, katanya, sekiranya mahasiswa mahukan perubahan dan pembangunan, mereka perlu memahami bukan sahaja berdasarkan ilmu dalam buku dan wacana tetapi perlu meneruskannya dengan tindakan di peringkat akar umbi.