Categories
NASIONAL SELANGOR

SYABAS Gagal Atasi Tekanan Air Rendah

SHAH ALAM 17 JULAI : Empat tahun lalu Hashim Maon sekeluarga menderita apabila kediamannya yang terletak di Gombak mengalami tekanan air yang sangat rendah serta menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Beliau yang hadir ke TV Selangor pagi tadi menyatakan rasa terpanggil untuk berkongsi pengalamannya yang pernah merasakan keperitan sepanjang berurusan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang gagal menjalankan tanggungjawab selaku syarikat yang diamanah mengurus air di negeri ini.

Hashim juga menyokong hasrat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu mengambil alih sepenuhnya pengurusan Syabas dalam tempoh terdekat.

“Bukan sahaja tekanan air rendah, air yang dibekalkan juga tidak bersih kerana paip saluran yang digunakan sudah lama, sudah berkarat dan harus diganti.

“Tetapi apabila perkara ini diajukan kepada Syabas, mereka membalas secara jelas dalam satu surat yang dihantar melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bahawa perkara itu tidak dapat dilakukan akibat kekangan kewangan Syabas,” ujar beliau sambil menceritakan satu ketika dulu menjadi rutin harian mereka sekeluarga mandi di tempat kerja.

Disebabkan pengakuan Syabas yang tidak mampu menukar paip air yang berkarat, beliau terpaksa mengambil inisiatif sendiri melakukan penyambungan baru di luar bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan ke rumahnya.

“Malangnya tindakan saya itu mengundang tuduhan Syabas sehingga mereka mengeluarkan surat kononnya ada aktiviti mencuri air dalam rumah saya dan mereka juga bertindak mengunci meter air secara menceroboh.

“Air bukan hak Syabas, ia adalah hak asasi manusia. Jadi jika mereka tidak mampu saya sudah maklumkan kepada Syabas bahawa saya sanggup untuk mendahulukan duit saya membuat penyambungan itu untuk mendapatkan hak asasi saya.

“Sebaliknya saya pula dikatakan pencuri,” tegasnya yang kini dalam proses memfailkan saman malu dalam masa terdekat ini terhadap Syabas kerana menuduh beliau sekeluarga sebagai ‘pencuri air’ dan yang kedua kerana gagal menyediakan perkhidmatan yang baik kepada beliau sebagai pengguna.

Beliau turut menunjukkan dokumen berkaitan dan akan mendedahkan semuanya nanti di mahkamah.