Categories
SELANGOR

Utamakan keselamatan sepanjang Retromania Grand Gathering 2019

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LANGAT, 13 APR: Pengunjung Retromania Grand Gathering 2019 di Pantai Morib, Kuala Langat dinasihatkan supaya mementingkan aspek keselamatan sepanjang dua hari berada di sini.

Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin berkata, kawasan Kuala Langat pastinya sesak dengan kehadiran penunggang dan peminat motosikal dari seluruh negara demi menjayakan penganjuran Retromania kali ketujuh itu.

“Kita harapkan semua perancangan dan aturan majlis berjalan lancar.

“Aspek keselamatan pengunjung yang hadir hari ini amat penting khususnya penunggang motosikal.

“Kita harap semua dapat pulang dengan selamat dan langkah keselamatan dapat dipertingkatkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Pantai Morib malam ini.

Beliau berkata, program ini pastinya memberikan impak besar kepada kawasan Kuala Langat dan diharapkan dapat mencapai objektif digariskan penganjur.

Retromania Grand Gathering sentiasa mendapat tempat di hati peminat motosikal dari seluruh negara dengan pelbagai model dipamerkan sepanjang dua hari penganjuran.

Penganjuran seperti itu pastinya dinantikan semua kerana ia membuka peluang kepada mereka untuk melihat lebih dekat model motosikal lama atau ‘vintage’ selain mencari alat ganti pada harga berpatutan.

Tidak ketinggalan, Retromania turut menawarkan pelbagai hadiah lumayan berbentuk topi keledar dan dua buah motosikal yang dihias khas menerusi cabutan bertuah untuk dimenangi.

Selain itu, penganjuran seperti ini dapat meningkatkan pendapatan penduduk setempat khususnya peniaga gerai makan dan homestay.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 

Categories
SELANGOR

Benteng konkrit elak hakisan Bukit Jugra

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 JAN: Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor mengenalpasti beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan hakisan tanah berlaku di Bukit Jugra termasuk membina benteng selain kolam-kolam menakung air berlebihan dari atas bukit.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharudin berkata, antara penyelesaian utama yang perlu dilakukan adalah meletakkan batu penahan sepanjang lereng bukit bagi mengelakan air turun ke bawah mengikut saluran yang dibuat.

“Kita terpaksa membuat langkah-langkah pencegahan yang lebih efisyen, maklumlah setelah bukit diratakan, sudah tentulah aliran air begitu tinggi dan kemungkinan berlaku tanah runtuh agak tinggi.

“Kajian juga sudah sebulan di mana pihak berkenaan menghentikan kerja membuat perkara -perkara tersebut termasuk membina benteng dan batu batu penahan di sepanjang lereng bukit,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Hasnul ketika lawatan yang dilakukan pada 14 Januari lalu berkata jawatankuasa ini turut memantau sumber air Selangor selain ahli-ahlinya kerap dipanggil jika ada projek seperti penggantian paip, lawatan ke projek Semenyih 2 dan lain-ian.

Katanya beliau turut mengambil perhatian aduan yang dikemukakan termasuk isu banjir di Permatang Pasir, pengambilan tanah di Simpang Morib dan membawa perkara itu kepada jawatankuasa.