Categories
ADN SELANGOR

ADN: RM5,000 bantu pesakit tulang belakang jalani rawatan awal

SHAH ALAM, 20 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib menghulurkan bantuan RM5,000 kepada Thaneswari Segaram yang menghidap penyakit tulang belakang, Skoliosis.

Hasnul Baharuddin berkata ia bagi membolehkan remaja berusia 17 tahun itu menjalani rawatan awal di pusat perubatan kerana tulang belakangnya membengkok dan kelihatan seperti huruf ‘S’ menerusi imbasan sinar-X.

“Dianggarkan kos perubatan keseluruhan hampir RM13,000. Kita menasihatkan Thaneswari supaya menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) untuk menentukan keadaan sebenar serta rawatan sesuai termasuk alternatif,” kata Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor ketika dihubungi.

Skoliosis ialah istilah perubatan merujuk kepada keadaan tidak normal apabila tulang belakang seseorang membengkok ke kanan atau ke kiri.

Beliau menjelaskan keadaan itu menyebabkan Thaneswari tidak boleh berjalan secara normal dan mengganggu aktiviti hariannya selain mengalami masalah pernafasan, sakit sendi yang teruk serta pitam jika tidak dirawat.

Categories
SELANGOR

Isu perparitan Kampung Sungai Buaya tak sistematik diberi perhatian

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Masalah perparitan tidak sistematik di Lorong Tok Bakar Dan Lorong Santan Off Jln Tanah Raja, Kampung Sungai Buaya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pejabat Daerah Kuala Langat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, hasil pertemuan dan pemeriksaan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Langat mendapati masalah perparitan tidak selaras menyebabkan air parit melimpah yang mengakibatkan banjir sehingga paras lutut bermula jam 8 malam pada 6 November lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku susulan hujan lebat dan penutupan kunci air akibat air pasang besar.

“Kita dapati ada sistem perparitan yang berbeza di kawasan ini kerana ia kawasan persendirian. Reka bentuk yang tidak seragam menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik dan akhirnya melimpah ke jalan serta kawasan rumah penduduk terdekat,” katanya.

Dalam kejadian itu, tiga keluarga terpaksa dipindahkan ke rumah saudara mara terdekat bagi memastikan keselamatan mereka terjamin ekoran penemuan beberapa haiwan berbisa.

Kesemua mereka dibenarkan pulang semula ke rumah sehari kemudian selepas paras air surut.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pra sekolah KEMAS Selangor lahir kanak-kanak berpotensi

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 3 SEPT: Pendidikan pra sekolah dijayakan KEMAS Selangor berjaya membina keyakinan diri dan mengasah bakat kanak-kanak dalam persediaan mereka memasuki alam persekolahan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, penganjuran Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor diadakan itu mendedahkan kanak-kanak yang mendapat pendidikan di KEMAS, berjaya mengembangkan bakat dan kebolehan masing-masing.

“Diharapkan program ini dapat membuka mata masyarakat terutama ibu bapa akan betapa pentingnya peranan KEMAS dalam memberikan pendidikan kepada kanak-kanak bermula dari peringkat awal.

“Ini kerana pendidikan pra sekolah ini amat penting untuk kanak-kanak sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam persekolahan,” katanya dalam majlis perasmian penutup Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor di Kolej Matrikulasi Selangor di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Dato’ Amiruddin Ariffin dan Pengarah KEMAS Selangor, Khairuddin Md Nasir.

Mengulas lanjut, Hasnul berkata, kejayaan dalam melaksanakan majlis itu membuktikan hasil kerjasama erat semua kakitangan KEMAS Selangor dan pihak berkaitan dari pelbagai peringkat.

“Tahniah kepada KEMAS Selangor kerana berjaya menganjurkan program ini dengan jayanya hasil kerjasama semua kakitangan dan pihak berkaitan.

“Semangat seperti ini amat diperlukan untuk menjayakan sesebuah jabatan atau agensi yang menjadi tunjang kepada kerajaan dan sentiasa menjadi perhatian rakyat,” katanya.

Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor disertai semua daerah di negeri itu diadakan pada 1 hingga 2 September lalu bagi memilih wakil Selangor ke peringkat kebangsaan di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan dari 22 hingga 25 November depan.

Pertandingan peringkat Selangor bagi acara bakat dan sukan membabitkan sembilan acara iaitu bercerita, story telling, tilawah dan terjemahan, rekacipta, pidato, tarian, nasyid, boneka tangan serta kompang berformasi.

Categories
SELANGOR

Jom Shopping meriahkan sambutan Tahun Baru Cina

 

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 FEB: Sambutan Tahun Baru Cina bakal disambut meriah dan lebih bermakna apabila 400 masyarakat cina DUN Morib menerima baucer Jom Shopping.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, program itu bertujuan memberi peluang masyarakat cina berpendapatan RM1,500 kebawah membuat persediaan menyambut Tahun Baru Cina.

“Kita mengharapkan sambutan kali ini akan lebih bermakna kepada masyarakat cina yang menyambutnya,” katanya, dipetik Sinar Harian.

Hasnul berkata, bagi memberi peluang untuk semua penduduk di kawasannya berpeluang menerima baucer itu, pihaknya menjalankan tapisan terhadap penerima yang sudah tiga kali menerima bantuan itu.

“Langkah itu diambil supaya dapat memberi peluang kepada penerima lain merasai bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun sekiranya kita mendapati keluarga itu benar-benar memerlukan bantuan baucar sebanyak RM100 itu kita akan menukarkan penama kepada suami atau isteri atau anak bagi meneruskan bantuan.

“Selain itu, walaupun ada diantara mereka sudah maklum mengenai tapisan nama yang kita lakukan namun penerimaan mereka sangat baik dan berharap program ini diteruskan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Benteng konkrit elak hakisan Bukit Jugra

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 JAN: Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor mengenalpasti beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan hakisan tanah berlaku di Bukit Jugra termasuk membina benteng selain kolam-kolam menakung air berlebihan dari atas bukit.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharudin berkata, antara penyelesaian utama yang perlu dilakukan adalah meletakkan batu penahan sepanjang lereng bukit bagi mengelakan air turun ke bawah mengikut saluran yang dibuat.

“Kita terpaksa membuat langkah-langkah pencegahan yang lebih efisyen, maklumlah setelah bukit diratakan, sudah tentulah aliran air begitu tinggi dan kemungkinan berlaku tanah runtuh agak tinggi.

“Kajian juga sudah sebulan di mana pihak berkenaan menghentikan kerja membuat perkara -perkara tersebut termasuk membina benteng dan batu batu penahan di sepanjang lereng bukit,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Hasnul ketika lawatan yang dilakukan pada 14 Januari lalu berkata jawatankuasa ini turut memantau sumber air Selangor selain ahli-ahlinya kerap dipanggil jika ada projek seperti penggantian paip, lawatan ke projek Semenyih 2 dan lain-ian.

Katanya beliau turut mengambil perhatian aduan yang dikemukakan termasuk isu banjir di Permatang Pasir, pengambilan tanah di Simpang Morib dan membawa perkara itu kepada jawatankuasa.