Categories
NASIONAL

Haziq bebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam satu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, dalam kenyataan, berkata Haziq Abdullah dibebaskan kira-kira 5.45 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Sementara itu, peguam Haziq Abdullah, Ramesh Sivakumar berkata, anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang proses siasatan berkaitan video itu berlangsung.

“Beliau (Haziq Abdullah) sangat ceria serta tidak mempunyai masalah sepanjang siasatan kes ini berjalan,” katanya kepada pemberita di IPD Dang Wangi.

Ramesh berkata Haziq Abdullah tidak mahu diganggu dan belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan media.

Terdahulu, Haziq Abdullah tiba di IPD itu kira-kira 4.30 petang diringi beberapa anggota polis.

Semalam, Haziq Abdullah, 27, yang dijadual berlepas ke Manila berdasarkan tiket penerbangannya, ditahan sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman bagi membantu siasatan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu ditahan ketika berada di Balai Perlepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis tahan Haziq di KLIA

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang mengaku sebagai individu dalam video lucah dengan mengaitkan seorang menteri Kabinet, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, petang ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama itu ditahan bagi mengambil keterangan dan membantu siasatan kes video yang dikaitkan dengan dirinya.

“Bukit Aman akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PKR Santubong berusia 27 tahun itu tampil membuat pengakuan menerusi satu video yang dikongsinya dalam media sosial bahawa dia terbabit dalam video intim bersama lelaki mirip seorang menteri.

– BERNAMA