Kes video: Haziq direman enam hari

SHAH ALAM, 15 JUL: Haziq Abdullah, individu yang mengaku terlibat video seks direman enam hari bersama lima lagi individu bagi membantu siasatan kes terbabit.

Bekas Ketua Pemuda KEADILAN Santubong berusia 27 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penahanan Haziq bertujuan membantu siasatan berhubung penyebaran video seks didakwa dilakukannya dan lelaki dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, pada 14 Jun lalu, Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Categories
NASIONAL

Tempoh 14 hari untuk Haziq jawab surat tunjuk sebab

PETALING JAYA, 19 JUN: Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) beri tempoh 14 hari kepada Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, untuk menyerahkan surat tunjuk sebab berhubung kenyataan umumnya bekaitan video seks yang mengaitkan dirinya.

Pengerusi Lembaga Displin KEADILAN, Datuk Ahmad Kassim berkata, surat berkenaan akan diserahkan esok berikutan kenyataan Haziq itu, menjatuhkan maruah dan merosakkan reputasi, serta keperibadian kepimpinan parti tersebut.

Katanya, keputusan tersebut adalah antara empat perkara yang dirumuskan lembaga itu yang dikemukakan kepada biro politik parti berkenaan.

“Lembaga Displin juga mengambil maklum penafian oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan meneliti sebarang penjelasan sekiranya ada. Ketiga, kami juga menunggu siasatan serta dapatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), atau pihak lain yang berkuasa terlebih dahulu.

“Keempat, Lembaga Displin juga ingin memberi amaran kepada semua anggota parti, supaya tidak membuat kenyaaan tanpa asas, dan fakta kepada pimpinan parti,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas biro politik KEADILAN yang dipengerusikan presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Kontroversi video seks yang sebelum ini ditular menerusi aplikasi WhatsApp, menjadi lebih hangat apabila Haziq kemudiannya didakwa muncul membuat pengakuan umum mengenai perkara itu, yang disiarkan menerusi video dan dihebahkan di dalam laman sosial media.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, parti itu menyerahkan kepada Lembaga Displin, untuk membuat keputusan berhubung perkara tersebut dan PKR menolak budaya jijik dalam politik.

Beliau turut berkata, parti berkenaan turut menyerahkan siasatan sepenuhnya berhubung perkara itu, kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) serta badan-badan berkaitan.

Sementara itu, satu laporan polis dibuat hari ini terhadap penulis buku bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’, kerana buku itu mengandungi fitnah dan tohmahan terhadap Anwar.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, Datuk Johari Abdul dalam sidang media terdahulu berkata, beliau menerima manuskrip buku yang ditulis Yahaya Ismail pada 10 Jun lepas dan berpendapat tindakan itu amat tidak wajar serta bertentangan dengan prinsip kebebasan memberi pandangan.

“Di dalam manuskrip buku tersebut juga terdapat elemen mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan penuh kepada Anwar, serta memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu. Penulisan yang tidak berpandukan fakta, sarat denga fitnah yang direka-reka dan menjaja penulisan murahan untuk dibaca rakyat,” tambahnya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Polis nafi dakwaan ceroboh kediaman keluarga Haziq

 

KUCHING, 14 JUN: Polis menafikan dakwaan mengenai insiden menceroboh rumah kediaman keluarga Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku terbabit dalam aksi intim bersama seorang menteri dalam video lucah, di Petra Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, pemeriksaan yang dijalankan di rumah berkenaan adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata pihaknya menerima arahan daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk mengesan Haziq bagi merakamkan percakapanya dan keluarga bagi membantu siasatan susulan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor.

Beliau berkata, siasatan terhadap Haziq dibuat mengikut Seksyen 502 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sepasukan anggota IPD Kuching terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga anggota berpangkat rendah pergi ke rumah Abdul Aziz Ibrahim pada jam 5.20 petang semalam.

“Setibanya di kediaman tersebut, polis mendapati kediaman itu berpenghuni kerana terdapat kenderaan diletakkan di luar rumah.

“Polis memanggil penghuni di dalam rumah tersebut beberapa minit untuk membuka pintu pagar namun tidak mendapat jawapan. Oleh itu, pihak polis mengambil keputusan masuk melalui pintu pagar yang tidak berkunci,” katanya, dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Din berkata setelah tiba di depan pintu kediaman itu, polis memanggil penghuni rumah sekali lagi sehinggalah tuan rumah muncul dan membuka pintu.

“Polis kemudian memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa serta memaklumkan tujuan kehadiran pihaknya ke kediaman tersebut.

“Kesemua pegawai polis kemudian dijemput masuk oleh Abdul Aziz, isteri dan kakak ipar Haziq, malah memberikan kerjasama yang baik termasuk membenarkan polis memeriksa rumah untuk mengesan suspek,” katanya.

Polis turut merakam percakapan Abdul Aziz mengikut Seksyen 211 Kanun Prosedur Jenayah dan laporan polis dibuat selepas pemeriksaan selesai, katanya.

Selain itu, Awang Din juga mengesahkan telah menerima laporan Abdul Aziz mengenai dakwaan pencerobohan rumahnya itu oleh sepasukan polis Bukit Aman.

Haziq, yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, kini telah digantung kerja setelah membuat pengakuan terbuka di Facebook mengenai video lucah tersebut yang tular sejak Selasa lalu.

Beliau, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, membuat pengakuan bahawa dia adalah lelaki dalam aksi seks itu bersama seorang yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin kemudiannya menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya dalam video itu dan menyifatkan sebagai satu tuduhan jahat serta kejam.

Timbalan Presiden PKR itu juga menegaskan siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Haziq ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

– BERNAMA