Categories
NASIONAL

Pas Telah Membela Melayu Islam

SHAH ALAM, 3 JUN : Kecemerlangan pentadbiran Pakatan Rakyat (Pakatan) di negeri-negeri yang ditadbirnya dalam menaikan taraf hidup Melayu Islam adalah bukti bahawa PAS telah membela nasib komuniti itu.

Dalam menyangkal dakwaan Umno-BN bahawa PAS itu tidak mampu membela nasib Melayu Islam, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pakatan yang dianggotai Pas bersama PKR dan DAP lebih memperjuangkan kepentingan komuniti itu berbanding Umno-BN.

Malah, katanya, tuduhan PAS dipinggirkan juga tidak berasas kerana kerjasama semua parti yang bergabung dalam Pakatan adalah kukuh.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor lebih mendaulatkan bangsa Melayu dan Islam melalui pelbagai program dan di samping meningkatkan peruntukan bagi golongan yang memerlukan.

“Dalam Pakatan Rakyat tidak ada satu parti yang dominan. Semua ketiga-tiga parti saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

“Di Pulau Pinang walapun PAS hanya menang satu kerusi dan tidak memegang jawatan exco tetapi kita boleh tengok soal kebajikan diutamakan.

?Peruntukan kepada Jabatan Agam Islam tiga kali ganda berbanding zaman Umno-BN. Begitu juga soal kebajikan Imam, kebajikan pelajar sekolah agama dan Pusat hafazan Al Quran.

?Di Selangor kepentingan masyarakat Melayu Islam lebih jelas terbela ketika Pakatan Rakyat mentadbir berbanding zaman Umno-BN dahulu,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin Umno bahawa Pas tidak berkemampuan menggantikan parti sebagai suara politik Melayu Islam di negara ini.

Di Selangor misalnya, lebih 70 peratus penerima program kebajikan di bawah skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah orang Melayu Islam. Antaranya, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Skim Mikro Kredit Selangor (SkimSel) dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar (MiMBAR).

MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kedudukan atau jawatan tidak dipentingkan oleh PAS kerana pembelaan nasib dan masa depan terletak atas rasa tanggungjawab dan amanah.

Beliau berkata jawatan tidak sepenting pencapaian dan ini dilihat di dalam contoh pentadbiran Umno-BN di mana perebutan jawatan dan status mendahului kepentingan rakyat.

“Umno-BN di Pulau Pinang sudah berpuluh tahun bersama dengan Gerakan dan parti lain. Yang mereka dapat kerusi exco dan kedudukan tetapi nasib Melayu dan Islam tidak terbela. Melayu dan Islam terus terpinggir di bawah kepimpinan Umno-BN.?