Categories
AGENDA JENAYAH

34 kes isu hina agama direkod tahun ini

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Polis Diraja Malaysia menerima 34 kes melibatkan isu penghinaan agama setakat tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Katanya, daripada jumlah itu, tiga kesalahan telah dijatuhkan hukuman, enam sedang dibicarakan, sembilan dalam tindakan Jabatan Peguam Negara, empat dalam siasatan polis dan 12 kes sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA).

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memainkan isu agama dan kita akan ambil tindakan tegas kepada mereka yang sering melakukan provokasi tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) tentang jumlah kes penghinaan agama yang direkodkan kementerian pada tahun ini.

Mohd Azis berkata, pada masa ini, KDN masih menjalankan kajian lanjut berhubung pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan berpendirian kesalahan yang berkaitan dengan perlindungan institusi diraja, kaum dan agama perlu terus dikekalkan dengan memindahkannya ke dalam undang-undang lain sedia ada seperti Kanun Keseksaan atau diwujudkan undang-undang baharu jika perlu.

Jelasnya, ia bagi memastikan tiada kelompangan undang-undang berlaku sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

Selain itu, KDN katanya, sedang membuat kajian dan cadangan penambahbaikan akta-akta sedia ada supaya tindakan lebih berkesan serta menyeluruh dapat diambil polis terhadap mereka yang membangkitkan isu-isu sensitif.

“Pihak polis juga telah menubuhkan unit pemantauan dan siasatan terhadap penyalahgunaan media sosial di peringkat daerah dan kontinjen supaya tindakan segera diambil sebelum isu sensitif merebak menjadi permusuhan antara agama dan bangsa,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) sama ada kementerian bercadang menubuhkan mahkamah khas untuk menyelesaikan kes penghinaan agama, Mohd Azis berkata, tiada keperluan untuk itu pada masa ini kerana akta sedia ada dan prosedur operasi standard (SOP) kementerian masih memadai.

– BERNAMA

Bantah Filem Hina Nabi, Janji Bantahan Besar-Besaran Jumaat depan

BATU CAVES 14 SEPT:  200 orang berkumpul di Masjid Amaniah, Batu Caves di sini bagi menyatakan bantahan terhadap penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’ yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Perhimpunan itu juga mengesa Amerika Syarikat menarik balik penayangan dan mengenakan tindakan tegas terhadap pengarah Sam Bacile yang mengambarkan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang hina, lemah dan gila seks.

“Kita memberikan tempoh seminggu kepada Amerika agar menarik semula filem berkenaan. Jika gagal berbuat demikian kita akan berkumpul di hadapan kedutaan mereka Jumaat hadapan. Sebarkan kepada semua umat Islam,” tegas Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang mengetuai bantahan.

Jelasnya, perkara ini menunjukkan isyarat jelas agar umat Islam bangkit untuk mempertahankan Rasulullah SAW dan menentang musuh Islam terutama Amerika Syarikat.

Turut bergema laungan ‘Allahuakhbar’, ‘Hidup Islam’ dan ‘Hancur Yahudi’ selain beberapa sepanduk ‘Kami Akan Mempertahankan Rasulullah’.

Selain di Selangor dan Kuala Lumpur, bantahan turut dibuat oleh Pemuda PAS di Pahang bertempat di Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Masjid Negeri Ipoh (Perak), Masjid Permatang Jaggus (Pulau Pinang), Masjid Rusila (Terengganu), Masjid Al-Azim (Melaka) serta di Kedah, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Turut hadir sama, Penyelaras DUN Gombak, Salehhuddin Mohd Nasir Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Noor dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Beliau menambah, pihaknya juga tidak bersetuju dengan tindakan ganas sepertimana yang berlaku di Libya sehingga menyebabkan duta negara Amerika Syarikat ke negara itu, Chris Stevent terbunuh.

“Kita tidak menyokong keganasan sehingga mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah. Kita juga mahu Amerika menarik balik semua hasrat untuk menghantar tentera ke Libya bagi menjejaki individu yang terlibat dalam serangan di kedutaan mereka kerana dikhuatiri keadaan lebih teruk akan berlaku,” katanya.

Pertengahan minggu ini menyaksikan berlakunya demonstrasi besar di kedutaan Amerika Syarikat di Mesir oleh penunjuk perasaan yang tidak puas hati dan dijangkakan perkara ini akan diteruskan di seluruh dunia Islam dalam masa terdekat.

Dalam tunjuk perasaan di Kaherah, berpuluh-puluh orang memanjat dinding kedutaan, menurunkan bendera Amerika Syarikat dan menggantikannya dengan bendera hitam tertulis dua kalimah syahadah.

Menurut Khairul, pada Jumaat minggu depan, pihaknya akan menggerakan satu perhimpunan besar-besaran di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan serius terhadap penghinaan ini.