Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Jangan biar wilayah integriti Malaysia diceroboh

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri perlu memberikan penjelasan berhubung laporan terdapat aset ketenteraaan kuasa besar asing di dalam wilayah perairan negara.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penjelasan itu penting kerana ia membabitkan keselamatan dan geo-politik negara.

“Kerajaan perlu memberikan penjelasan adakah benar kehadiran aset ketenteraan kuasa besar asing ini dan apakah kehadirannya sah sebagai sekutu strategik Malaysia?” katanya.

azmin-parlimenBeliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam ucapan sama, beliau turut mendesak Kerajaan Persekutuan menyatakan status sebenar Kepulauan Spratley yang disebut mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bahawa ia dalam wilayah Malaysia.

“Pada hari ini, Kerajaan Persekutuan menyepikan diri mengenai status pulau ini. Apakah kita mahu negara China memasuki Malaysia, maka kita sanggup mengorbankan kedaulatan wilayah yang dipertahankan sejak sekian lama.

“Sekali lagi, kementerian bertanggungjawab untuk memastikan kedaulatan negara termasuk Pulau Spratley kerana ia wilayah integriti Malaysia,” katanya.

-NFN-

Bantah Filem Hina Nabi, Janji Bantahan Besar-Besaran Jumaat depan

BATU CAVES 14 SEPT:  200 orang berkumpul di Masjid Amaniah, Batu Caves di sini bagi menyatakan bantahan terhadap penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’ yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Perhimpunan itu juga mengesa Amerika Syarikat menarik balik penayangan dan mengenakan tindakan tegas terhadap pengarah Sam Bacile yang mengambarkan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang hina, lemah dan gila seks.

“Kita memberikan tempoh seminggu kepada Amerika agar menarik semula filem berkenaan. Jika gagal berbuat demikian kita akan berkumpul di hadapan kedutaan mereka Jumaat hadapan. Sebarkan kepada semua umat Islam,” tegas Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang mengetuai bantahan.

Jelasnya, perkara ini menunjukkan isyarat jelas agar umat Islam bangkit untuk mempertahankan Rasulullah SAW dan menentang musuh Islam terutama Amerika Syarikat.

Turut bergema laungan ‘Allahuakhbar’, ‘Hidup Islam’ dan ‘Hancur Yahudi’ selain beberapa sepanduk ‘Kami Akan Mempertahankan Rasulullah’.

Selain di Selangor dan Kuala Lumpur, bantahan turut dibuat oleh Pemuda PAS di Pahang bertempat di Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Masjid Negeri Ipoh (Perak), Masjid Permatang Jaggus (Pulau Pinang), Masjid Rusila (Terengganu), Masjid Al-Azim (Melaka) serta di Kedah, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Turut hadir sama, Penyelaras DUN Gombak, Salehhuddin Mohd Nasir Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Noor dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Beliau menambah, pihaknya juga tidak bersetuju dengan tindakan ganas sepertimana yang berlaku di Libya sehingga menyebabkan duta negara Amerika Syarikat ke negara itu, Chris Stevent terbunuh.

“Kita tidak menyokong keganasan sehingga mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah. Kita juga mahu Amerika menarik balik semua hasrat untuk menghantar tentera ke Libya bagi menjejaki individu yang terlibat dalam serangan di kedutaan mereka kerana dikhuatiri keadaan lebih teruk akan berlaku,” katanya.

Pertengahan minggu ini menyaksikan berlakunya demonstrasi besar di kedutaan Amerika Syarikat di Mesir oleh penunjuk perasaan yang tidak puas hati dan dijangkakan perkara ini akan diteruskan di seluruh dunia Islam dalam masa terdekat.

Dalam tunjuk perasaan di Kaherah, berpuluh-puluh orang memanjat dinding kedutaan, menurunkan bendera Amerika Syarikat dan menggantikannya dengan bendera hitam tertulis dua kalimah syahadah.

Menurut Khairul, pada Jumaat minggu depan, pihaknya akan menggerakan satu perhimpunan besar-besaran di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan serius terhadap penghinaan ini.