Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan zahir sukacita pembinaan hospital awam di Kapar

SHAH ALAM, 30 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan sukacita apabila dimaklumkan kerajaan persekutuan meluluskan pembinaan hospital awam di Kapar.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perancangan pembinaan hospital sudah lama dibuat bagi menampung peningkatan bilangan pesakit di Selangor khususnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Beta mencadangkan kepada Menteri Kesihatan, Dato Sri Dr Adham Baba agar kerajaan memberi tumpuan untuk menaik taraf hospital awam di kawasan luar bandar agar rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan dan rawatan kesihatan yang lebih baik,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Terdahulu, baginda menerima menghadap Dr Adham Baba di Istana Bukit Kayangan di sini. Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Shafaruddin turut menyeru rakyat mendapatkan suntikan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan kerajaan dan tidak ragu-ragu meskipun perlu mengambilnya di bulan Ramadan.

“Rakyat perlu terus kekal menjaga tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dan membiasakan diri untuk menjalani kehidupan seharian mengikut norma baharu demi menghapuskan penularan wabak Covid-19,” titah baginda.

Categories
SELANGOR

Segerakan pembinaan Hospital Kapar

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Kerajaan Persekutuan digesa menyegerakan pembinaan Hospital Kapar bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepatutnya menyelesaikan soal tanah lebih awal yang kini menyaksikan Sime Darby mahu kerajaan membeli tanah seluas 50 ekar pada harga RM45 juta.

“Hospital ini ingin dibina bukan tujuan komersil tetapi untuk kepentingan awam.

“Ada banyak projek persekitaran yang melibatkan Sime Darby. Sepatutnya ada rundingan antara kerajaan dan Sime Darby atas kebenaran projek yang diberikan kepada mereka,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Manivanan sebelum itu mengemukakan soalan mengenai status terbaru pembinaan Hospital Kapar dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dalam jawapannya berkata Sime Darby hanya memaklumkan tapak itu perlu dibeli kerajaan dalam mesyuarat pada 5 Mei lalu.

Katanya, soal pembelian tanah itu tidak disebutkan pada peringkat awal.

Isu pembinaan Hospital Kapar dibangkitkan sejak PRU-11 namun sehingga kini masih belum dimulakan.

EZY

Categories
SELANGOR

Persekutuan perlu timbang bina Hospital Kapar, Selangor sudah sedia tanah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 JUL: Kerajaan Selangor kesal pembinaan Hospital Kapar tidak dimasukkan Kerajaan Persekutuan ke dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK-11).

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata Kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira keperluan mendesak hospital di Lembah Klang.

“Saya dan Dato’ Menteri Besar sangat kecewa kerana Kerajaan Selangor sudah sediakan tanah bagi tujuan pembinaan Hospital Kapar.

daroyah“Jadi, saya minta Kerajaan Persekutuan pertimbangkan semula dan teruskan pembinaan yang mendesak ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) lalu, pembinaan Hospital Kapar antara akujanji Barisan Nasional di Selangor.

Namun, pembinaan Hospital Kapar tidak diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan RMK-11 di Dewan Rakyat, Mei lalu.

Pada masa sama, Daroyah menggesa Kerajaan Persekutuan membuka Hospital Shah Alam kepada umum mengikut jadual.

“Dengan itu, kita berharap kesesakan dan bebanan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dapat dikurangkan.

“Kita dimaklumkan sebelum ini ia bakal dibuka Oktober, tetapi sehingga kini tiada maklumat rasmi berhubung pembukaan terbabit,” katanya.

-NFN-