Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor bina lima hospital bantu M40 dan B40

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC : Pembinaan lima hospital swasta oleh Kerajaan Negeri dijangka mampu membantu golongan M40 dan B40 mendapatkan rawatan perubatan dengan lebih cepat pada harga yang lebih berpatutan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ini kerana Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap permasalahan penduduk yang terpaksa berdepan kos rawatan agak tinggi di hospital swasta sementara terpaksa menunggu lama di hospital ataupun klinik kerajaan.

“Kami jangkakan, melalui kelima-lima hospital yang bakal dibina Kerajaan Negeri melalui anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Negeri Selangor (PKNS), Selgate Corporation, ia mampu menyelesaikan permasalahan berkenaan.

“Rakyat negeri ini boleh menggunakan Skim Peduli Sihat dan juga Bantuan Sihat Selangor ketika berkunjung ke hospital swasta berkenan.

“Apabila adanya hospital ini, Selangor akan menjadi negeri pertama yang membolehkan penduduknya memilih rawatan perubatan terbaik melalui khidmat rawatan daripada tahap percuma, sederhana dan juga mahal, mengikut tahap kemampuan mereka,” katanya kepada SelangorKini ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan lima Hospital Selgate akan dibina termasuk Hospital Selgate Rawang, sementara empat lokasi lain ialah Kota Damansara, Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.

Mariah berkata, Hospital Selgate Rawang bakal dibuka pada suku tahun pertama 2020, manakala empat hospital Selgate lain akan dibuka secara berperingkat menjelang 2023.

Katanya, hospital berkenaan bakal dilengkapi jabatan perubatan seperti Pusat Obstetrik, Pusat Genekologi, Pusat Gediatrik, Pusat Ortopedik, Pusat Kardiologi, Klinik Am dan Pusat Pembedahan Am.

“Selangor mempunyai banyak hospital swasta tetapi kosnya yang agak tinggi menyebabkan mereka dari kumpulan B40 memilih institusi kerajaan.

“Dengan hospital Selgate yang ada, kami berharap ia dapat menyediakan perkhidmatan kepada golongan berpendapatan pertengahan dan berpendapatan rendah, jadi mereka akan mempunyai alternatif kepada hospital kerajaan,” katanya.

Berdasarkan statistik, jumlah lawatan pesakit ke klinik kesihatan kerajaan di Selangor antara 2014 dan 2018 meningkat sebanyak 1.45 juta pesakit, iaitu 4.19 juta pada 2014 kemudiannya 5.64 juta pada 2018.

Sementara lima klinik kesihatan di negeri ini menerima pelawat melebihi 200,000 pada tahun lalu ialah, Klinik Kesihatan Kajang; Klinik Kesihatan Ampang; Klinik Kesihatan Sungai Buloh; Klinik Kesihatan Selayang Baru dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik.