Categories
SELANGOR

Laksana pelbagai program tangani masalah mental

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Pelbagai program diatur Kerajaan Negeri sepanjang tahun ini bagi menangani permasalahan kesihatan mental dalam kalangan rakyat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, antara program itu adalah Jelajah Kesihatan Mental; Bengkel Seminar Menangani Stress (Lay Counsellor); Kursus Pemantapan Kaunselor dan Sesi Saingan & Konsultasi di Karnival 3W (Wellness, Welfare, Women).

“Program Jelajah Kesihatan Mental dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah geran yang akan diberikan bagi penganjuran sekurang-kurangnya 20 program kesedaran yang dilaksanakan dengan kerjasama organisasi atau syarikat mempunyai kepakaran dalam bidang psikologi atau berkaitan.

“Program ini dirancang bagi mendekati golongan sasar yang berpotensi mendapat masalah mental seperti kawasan perumahan kos rendah di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, Ahli Dewan Negeri (ADN) boleh membuat permohonan daripada pihaknya jika berminat untuk program itu dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Manakala, katanya, dua bengkel berkaitan ‘Lay Counsellor’ pula sudah dilaksanakan manakala lima lagi sedang dirancang bakal dilaksanakan tahun ini.

“Kita mensasarkan petugas barisan hadapan Kerajaan Negeri terlibat dalam ‘Lay Counsellor’ bagi memastikan mereka boleh mengawal tekanan selain membantu menyampaikan kepada masyarakat kaedah mengatasi kesihatan mental.

“Antara mereka yang boleh turut serta adalah Penyelaras Pusat Wanita Berdaya, Penyelia Penggerak Belia Tempatan, ketua kampung dan pihak memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Manakala, katanya, kursus pemantapan kaunselor pula adalah penganjuran kursus kepada kaunselor bagi menambah kemahiran dan kepakaran mereka dalam bidang baru yang bersesuaian dengan isu semasa.

“Kursus Pemantapan Kaunselor dan Sesi Saingan & Konsultasi di Karnival 3W pula adalah sesi saringan kesihatan mental dan konsultasi oleh kaunselor bertauliah,” katanya.

Terdahulu, ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze membawa usul berkaitan tahap kesihatan mental yang semakin serius dalam kalangan masyarakat terutama di Subang Jaya.

 

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan Khas ANIS boleh dimohon mulai April

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) boleh dimohon mulai bulan depan, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa atau Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh membuat permohonan bantuan khas itu menerusi Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) berdekatan, mulai April ini.

Katanya, ANIS bertujuan meringankan bebanan ditanggung ibu bapa yang mempunyai anak OKU berusia 18 tahun ke bawah dan lahir di Selangor.

“Bantuan Khas ANIS ini adalah bantuan yang diberi secara ‘one-off’ bertujuan meringankan tanggungan kos ibu bapa yang mempunyai anak OKU.

“Malah, saya optimis Tabung Khas ANIS ini sebagai langkah terakhir untuk ibu bapa memohon sekiranya mereka tidak mendapat bantuan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat); LZS (Lembaga Zakat Selangor) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata, sejumlah RM500,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk bantuan itu.

Manakala, katanya, maksima sejumlah RM5,000 akan diperolehi untuk ibu bapa yang memohon dan menepati syarat ditetapkan Kerajaan Negeri.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak OKU untuk mendaftarkan anak mereka di bawah JKM kerana pelbagai manfaat akan diterima.

“Saya dimaklumkan kira-kira 80,000 anak OKU sahaja yang berdaftar dengan JKM.

“Oleh itu, saya berharap ibu bapa mempunyai kesedaran mendaftarkan anak mereka di bawah JKM supaya tidak akan ada lagi bantuan yang mereka terlepas,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor bina lima hospital bantu M40 dan B40

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC : Pembinaan lima hospital swasta oleh Kerajaan Negeri dijangka mampu membantu golongan M40 dan B40 mendapatkan rawatan perubatan dengan lebih cepat pada harga yang lebih berpatutan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ini kerana Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap permasalahan penduduk yang terpaksa berdepan kos rawatan agak tinggi di hospital swasta sementara terpaksa menunggu lama di hospital ataupun klinik kerajaan.

“Kami jangkakan, melalui kelima-lima hospital yang bakal dibina Kerajaan Negeri melalui anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Negeri Selangor (PKNS), Selgate Corporation, ia mampu menyelesaikan permasalahan berkenaan.

“Rakyat negeri ini boleh menggunakan Skim Peduli Sihat dan juga Bantuan Sihat Selangor ketika berkunjung ke hospital swasta berkenan.

“Apabila adanya hospital ini, Selangor akan menjadi negeri pertama yang membolehkan penduduknya memilih rawatan perubatan terbaik melalui khidmat rawatan daripada tahap percuma, sederhana dan juga mahal, mengikut tahap kemampuan mereka,” katanya kepada SelangorKini ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan lima Hospital Selgate akan dibina termasuk Hospital Selgate Rawang, sementara empat lokasi lain ialah Kota Damansara, Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.

Mariah berkata, Hospital Selgate Rawang bakal dibuka pada suku tahun pertama 2020, manakala empat hospital Selgate lain akan dibuka secara berperingkat menjelang 2023.

Katanya, hospital berkenaan bakal dilengkapi jabatan perubatan seperti Pusat Obstetrik, Pusat Genekologi, Pusat Gediatrik, Pusat Ortopedik, Pusat Kardiologi, Klinik Am dan Pusat Pembedahan Am.

“Selangor mempunyai banyak hospital swasta tetapi kosnya yang agak tinggi menyebabkan mereka dari kumpulan B40 memilih institusi kerajaan.

“Dengan hospital Selgate yang ada, kami berharap ia dapat menyediakan perkhidmatan kepada golongan berpendapatan pertengahan dan berpendapatan rendah, jadi mereka akan mempunyai alternatif kepada hospital kerajaan,” katanya.

Berdasarkan statistik, jumlah lawatan pesakit ke klinik kesihatan kerajaan di Selangor antara 2014 dan 2018 meningkat sebanyak 1.45 juta pesakit, iaitu 4.19 juta pada 2014 kemudiannya 5.64 juta pada 2018.

Sementara lima klinik kesihatan di negeri ini menerima pelawat melebihi 200,000 pada tahun lalu ialah, Klinik Kesihatan Kajang; Klinik Kesihatan Ampang; Klinik Kesihatan Sungai Buloh; Klinik Kesihatan Selayang Baru dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Sumbang Tanah Komersial RM17 juta kepada SJK (C) Khe Beng

sumbangan tanah sekolah cina kota kemuning 01

SHAH ALAM 06 JAN : Pelajar dan guru SJK (C) Khe Beng kini tidak perlu lagi bersesak di ruang belajar yang sempit setelah Kerajaan Negeri memperuntukkan tanah komersil bernilai RM 17 juta untuk pembinaan sekolah baru di Kemuning Utama.

Sebelum ini, 1,400 pelajar terpaksa belajar dalam ruang yang terhad dan sempit manakala guru-guru di sekolah itu terpaksa berkongsi kerusi dan meja sejak beberapa tahun yang lalu.

Tanah yang berkeluasan empat ekar itu diluluskan oleh mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) pada 18 Mei 2012 hasil laporan daripada Adun Sri Muda, Suhaimi Shafei.

Sekolah itu ditubuhkan pada 1929 di Jalan Bukit Kemuning dengan tanah tapak sekolah seluas 0.95 ekar didermakan oleh seseorang.

Namun, tapak tanah sekolah itu masih belum digazetkan oleh kerajaan negeri Umno-BN dahulu sedangkan bangunannya sudah didirikan berpuluh tahun lalu.

Setelah populasi pelajar bertambah setiap tahun pengurusan sekolah meminta tapak tanah baru namun ini ditolak oleh Kerajaan Selangor Umno-BN dahulu.

Suhaimi berkata proses permohanan tapak tanah sekolah yang baru itu mengambil masa kira-kira setahun setengah yang lalu.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana berjaya mendapatkan hak mereka yang sebelum ini dinafikan oleh pentadbiran sebelum ini.

?Mereka bersungguh-sungguh memperjuangkan hak mereka walaupun terpaksa menghadapi pelbagai karenah birokrasi,” katanya dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Surat Pengesahan Tapak Sekolah itu.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud ; Pengerusi Lembaga Pengarah SRJK (C) Khe Beng, Datuk Ng Tiong Seng ; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam Zon 12, Tan Ah Kow dan Pengarah Urusan Paramount Property, Datuk Ricque Liew.

Turut hadir Pengerusi dan Lembaga Pengarah SJK (C) Chung Hwa dan Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.

Suhaimi menambah Pakatan Rakyat (PR) sangat mementingkan pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat. Oleh itu, bagi PR, perkara sedemikian tidak harus dipolitikkan.

“Kita yakin dengan kemudahan yang baik dan selesa ia akan dapat melahirkan generasi yang baik pada masa akan datang.

“Saya menyeru Kementerian Pendidikan meluluskan permit dan memberi peruntukkan sebanyak RM 8 juta daripada kos keseluruhan yang dianggarkan RM 12 juta bagi pembinaan sekolah baru ini,” katanya.

Sementara itu, Ng mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Kerajaan Negeri.

Dalam majlis yang sama Suhaimi dan Dr Mariah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 20,000 kepada SJK (C) Tun Tan Sie Lin, Putra Height dan SJK (C) Chung Hwa, Kota Kemuning.

Dalam belanjawan 2012, Kerajaan Negeri sudah memberi peruntukkan sebanyak RM100,000 kepada SJK (C) Chung Hwa, Kota Kemuning, RM20,000 kepada SJK (C) Khe Beng dan SJK (C) Tun Tan Siew Sin.

sumbangan tanah sekolah cina kota kemuning 02

Categories
SELANGOR

Anwar : Fitnah Umno Tidak Jejas Imej MB Selangor

KLANG 20 JULAI :Walaupun difitnah dengan pelbagai isu, ia langsung tidak menjejaskan imej Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar yang tiada tolok bandingnya dengan yang sebelum ini, beritahu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor penyebaran fitnah dan tohmahan dalam pelbagai isu ini berpunca daripada Umno-BN.

Bagaimanapun katanya, walaupun pelbagai tohmahan yang dilemparkan, Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Abdul Khalid mampu menyelesaikan masalah dengan baik hanya dalam tempoh empat tahun.

“Dia (Umno-BN) fitnah macam-macam, seolah-olah pemimpin mereka itu baik sangat. Kamu nak fitnah isu Talam, agaknya dia lupa siapa yang bagi tanah kepada syarikat yang tidak bayar apa-apa tetapi geran tanah dapat.

“Bila kita mentadbir, tanah yang beribu-ribu ekar itu sudah nak dilelongkan ke bank, tetapi Menteri Besar ambil balik tanah itu dan kata kita jahat. Umno-BN ini lupa agaknya,” katanya dalam ceramah Merdeka Rakyat di Kampung Jalan Kebun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud berkata Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong dilihat seolah-olah mahu menjadi ‘hero’ dengan mencari kelemahan Kerajaan Negeri.

“Dia tuduh kita. Dia mahu samakan Pakatan Rakyat dengan Umno-BN yang mengamalkan rasuah. Kenapa MCA yang ‘berbunyi’, kenapa tidak Umno Selangor? Sebab dia tahu Umno Selangor tidak berani, takut terburai rahsia mereka selama ini. Itu sebab dia mahu laga-lagakan kita, sebab dia sudah kehabisan idea,” katanya.

Beliau berkata isu Talam itu berpunca daripada pentadbiran sebelum ini dan kini, Kerajaan Negeri bertindak untuk mengutip balik semua hutang-hutang itu.

Sebelum ini, Tee Yong mendakwa penstrukturan hutang Talam dan Kerajaan Negeri Selangor membabitkan transaksi berjumlah RM 1 bilion, sekalipun jumlah hutang hanya RM392 juta.

Akan tetapi sehingga hari ini Tee Yong, tidak kemukan bukti untuk menyokong dakwaan RM 1 billion itu.

Selepas, dibidas DAP dan PAS, Tee Yong pula mendakwa Kerajaan Negeri membeli tanah 2,263 ekar di Bestari Jaya daripada Talam dengan harga RM 42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.