Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Kemudahan cukup, tidak perlu hospital sementara di Maeps

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) belum bercadang membangunkan hospital sementara di Selangor seperti yang dibina di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), memandangkan kemudahan kesihatan sedia ada mencukupi untuk merawat kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini KKM menggunakan Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh bagi merawat kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan di Selangor.

“Kita ada 466 katil yang telah kita khaskan untuk pesakit bergejala ringan dan tidak bergejala. Sekiranya keperluan itu ada, contohnya peningkatan kes di Selangor dan kes yang discaj kurang, jadi kita mungkin akan melihat kepada membina hospital sementara di Maeps.

“Tapi sekarang ini, kita belum ada perancangan tersebut sebab kita masih berkemampuan untuk merawat kes tersebut. Kalau kita bersetuju untuk membina hospital sementara itu, kita hanya memakan masa tiga atau empat hari.

“Itulah pengalaman yang membantu KKM untuk kenal pasti lokasi yang boleh diguna pakai sebagai pusat kuarantin risiko rendah di Selangor,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai perkembangan Covid-19 yang disiarkan melalui Facebook KKM semalam.

Sehingga kini, Selangor mencatatkan sebanyak 2,964 jumlah kumulatif kes Covid-19 termasuk 150 kes baharu hari ini serta sembilan kluster yang masih aktif.

Kluster terlibat adalah Utama, Bah Manggis, Tasik, Simera, Bah Tropicana, Sungei Way, Jalan Meru, Bah Kasturi dan Kencana.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih banyak hospital sementara jika kes naik mendadak

PUTRAJAYA, 29 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka lebih banyak hospital sementara sekiranya kes baharu Covid-19 meningkat secara mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hospital sementara yang dibuka akan menempatkan pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

“Contohnya hari ini kita dapat 150 kes baharu. Kalau kita lihat keadaan harian terdapat peningkatan kes baharu secara mendadak, jadi kita mungkin akan buka lagi hospital sementara, dewan-dewan dan stadium, jika perlu.

“Kalau kita dapat 1,000 kes sehari kita mungkin akan guna hospital sementara ini untuk kes-kes yang tak bergejala tetapi positif atau gejala ringan, yang tak melibatkan saluran pernafasan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pemilihan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang sebagai hospital sementara adalah untuk persiapan sekiranya berlaku gelombang ketiga memandangkan kepadatan penduduk di Kuala Lumpur adalah tinggi.

Semalam, beliau berkata dua dewan MAEPS dijadikan pusat kuarantin dan rawatan untuk merawat pesakit positif Covid-19 yang tidak bergejala serta bergejala ringan.

Sejumlah 600 katil ditempatkan di kedua-dua dewan itu meliputi 400 unit di Dewan A, manakala 200 lagi di Dewan B.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pesakit yang dipindahkan ke Institut Latihan KKM merupakan kes-kes yang tidak bergejala tetapi positif Covid-19, bergejala dan positif Covid-19, serta bergejala ringan dan positif Covid-19.

“Kita akan pindahkan mereka ini ke Institut Latihan KKM kita dulu. Hospital akan dikhaskan untuk kes-kes yang ‘moderate’ (sederhana) ataupun kritikal,” katanya.

– BERNAMA