Categories
NASIONAL

Anwar Hanya Akan Jumpa Najib Bersama Pimpinan Pakatan

anwar najib

AMPANG 23 JUN : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersedia berjumpa dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk mengadakan sebarang rundingan.

Bagaimanapun, Anwar berkata, perbincangan yang akan dilakukan itu hendaklah dilakukan secara telus dan terbuka.

“Saya tidak pernah menolak untuk berbincang dengan sesiapa, tetapi harus telus dan terbuka.

“Kita pelawa dari ‘consistent’ untuk ada rundingan, untuk berbicara dengan PR, saya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang sedia untuk jumpa Najib dan Muhyiddin pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam sesi pembukaan Konvensyen Pakatan di Hotel De Palma Inn, Ampang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang itu menafikan bertemu Najib di Indonesia seperti spekulasi media minggu lalu.

Sebuah portal berita melaporkan Najib dan Anwar berada di Jakarta pada masa yang sama dan berkemungkinan bertemu.

Laporan itu mendakwa pertemuan itu diatur ketika Najib dikhuatiri akan dicabar dalam pemilihan Umno tahun ini dan berkemungkinan akan berhadapan dengan usul undi tidak percaya di dalam Dewan Rakyat.

Categories
NASIONAL

DAP Perlu Tingkat Usaha Betulkan Persepsi Melayu

Mat Sabu White 01

AMPANG 23 JUN:  Kerjasama perlu dipertingkatkan dikalangan komponen Pakatan Rakyat (PR) bagi membetulkan persepsi orang Melayu bahawa hanya Umno sahaja pelindung dan pembela komunti.

Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu berkata, perancangan teliti perlu dilakukan mulai sekarang bagi mengelakkan isu yang berkaitan orang melayu dimainkan semula pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Oleh itu, beliau berkata, DAP diperlukan bagi membantu menerangkan kepada komuniti Melayu yang masih ragu-ragu untuk memberi sokongan kepada Pakatan.

“Untuk rancangan lima tahun akan datang, kita kena lihat secara serius bantuan daripada semua kaum khasnya DAP.

“DAP menang begitu besar dan diperlukan supaya melihat secara serius bagaimana nak membuang persepsi yang mengatakan hanya Umno penyelamat Melayu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Hotel De Palma Inn Ampang di sini hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pimpinan Pakatan yang terdiri daripada Pas, PKR dan DAP perlu lebih berhati-hati ketika mengulas mengenai isu sensitif bagi mengelak dieksploitasi oleh Umno-BN.

“Secara sedar dan tak sedar perkara ini jika tidak diberi perhatian akan membantu Umno dalam mengekalkan kuasa,” ujarnya lagi

Sebelum ini, beberapa isu sensitif seperti kalimah Allah, persepsi negatif terhadap DAP, sering dimanipulasikan oleh Umno-BN bagi menarik sokongan pengundi Melayu ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.