Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Zahid tak faham Perlembagaan – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 15 APR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak menghormati prinsip Perlembagaan apabila membuat kenyataan salah terhadap isu pengundian negara ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mempertikai kredibiliti pemimpin negara itu yang gagal memahami perundangan pilihan raya Malaysia.

Ia susulan kenyataan Zahid Hamidi yang menyarankan agar rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara tidak perlu pulang mengundi sekiranya gagal mendapatkan kebenaran bercuti daripada majikan masing-masing ketika hari membuang undi dibuat.

“Ia sudah ditetapkan di dalam Perlembagaan untuk membenarkan rakyat Malaysia berkelayakan untuk pulang mengundi.

“Zahid nampaknya sudah melakukan kesalahan dengan memberi gambaran seolah-olah apabila tidak dapat cuti, tak perlulah mengundi.

“Zahid tak faham undang-undang. Apa jenis Timbalan Perdana Menteri ini?” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan di Ampang Tambahan, semalam.

Menteri Umno itu membuat kenyataan sedemikin ketika ditanya pemberita pada majlis di Johor Bahru, lapor The Star.

Bagaimanapun Zahid sehingga kini belum membuat sebarang penjelasan lanjut mengenai kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Mohamed Azmin mencadangkan agar majikan di dalam dan luar negara perlu memberi kebenaran bercuti dalam tempoh yang munasabah.

Katanya, keperluan itu sebagai tanggungjawab rakyat Malaysia untuk memilih mandat pentadbiran Kerajaan baru di Putrajaya.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bersedia! PRU14 pada April-Mei

PETALING JAYA 11 NOV: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) besar kemungkinan bakal diadakan pada April atau pertengahan Mei tahun depan.

Tempoh lima tahun kerajaan Barisan Nasional akan tamat pada 24 Jun depan, dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Rakyat.

Timbul banyak persoalan bilakah pembuburan Parlimen akan dibuat dan spekulasi mengatakan ianya bakal berlaku selepas sambutan Tahun Baru Cina pada Februari dan pilihan raya pada Mac.

Malah timbul juga kongsian di aplikasi WhatsApp yang mendakwa pembubaran akan dibuat pada Khamis ini.

Bagaimanapun berdasarkan analisis dan sumber yang mencatatkan beberapa peristiwa penting menunjukkan tempoh terbaik adalah di antara akhir perayaan Tahun Baru Cina dan permulaan Ramadan iaitu pertengahan Mei.

Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dari Universiti Selangor berkata, tidak mungkin pemilihan itu diadakan pada tahun ini.

“Walaupun Perdana Menteri membubarkan Parlimen esok, ia biasanya mengambil masa antara tiga minggu hingga sebulan untuk pengundian diadakan.

“Ini bermakna pengundian akan diadakan pada pertengahan Disember, tepat pada pertengahan musim tengkujuh apabila banjir sering berlaku di negeri-negeri pantai timur di Semenanjung,” katanya.

Tambah Shaharuddin, Januari 2018 akan menjadi masa yang sibuk bagi ibu bapa menyelesaikan urusan anak-anak mereka yang mula bersekolah, diikuti dengan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 16 Februari.

Selain itu, Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia menjangka PRU14 akan diadakan antara April dan permulaan bulan puasa.

“Saya rasa ia lebih berkemungkinan pada April kerana ini akan membolehkan Najib memberikan kad laporan penuh kejayaannya selepas sembilan tahun sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai pemimpin negara pada 3 April 2009.

Sumber berkata, pilihan raya selepas Mei merupakan tempoh terlalu dekat dengan permulaan puasa diikuti sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun.

Malahan, bekas ketua pembangkanang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak mungkin dibebaskan dari penjara pada masa kempen pilihan raya.

Pun begitu, penganalisis menunjukkan bahawa terdapat kes di mana Parlimen dibubarkan tanpa diduga.

Dua contoh adalah pada 1999 apabila pengundian berlaku pada 29 November ketika musim monsun, dan pada 2008 apabila Parlimen dibubarkan pada 13 Februari, enam hari selepas Tahun Baru Cina.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, setakat ini, perdana menteri tidak memberi petunjuk bila pilihan raya akan diadakan.

“Setiap kali kita bertanya kepadanya, beliau akan tersenyum dan bertanya kepada kami sekiranya kami bersedia. Beliau memberitahu kami supaya bersedia pada bila-bila masa,” katanya.

Ditanya mengenai peluang jika pilihan raya diadakan tahun depan, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, setakat ini hanya spekulasi.

“Pilihan raya jelas tidak boleh diadakan semasa musim tengkujuh jadi ia bukan tahun ini,” katanya.

Abdul Rahman berkata Najib yang merupakan pengerusi BN, akan memutuskan tarikh untuk mencari pembubaran Parlimen dengan mengambil kira banyak faktor serta selepas berunding dengan pemimpin parti komponen parti gabungan itu.

“Kami, sebagai kerajaan, telah melakukan yang terbaik, dan merasakan sokongan rakyat semakin meningkat.

“Rakyat percaya dasar dan visi ekonomi kita untuk Malaysia yang boleh dilakukan dan praktikal berbanding dengan pembangkang,” kata Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, perdana menteri perlu mengadakan pilihan raya secepat mungkin.

“Pembangkang semakin teratur, harga minyak semakin meningkat dan popularitinya tidak naik, ini akan menjadi masa terbaik baginya,” kata Khalid.

Turut memberi pandangan adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi yang percaya pilihan raya akan diadakan dari Mac ke atas.

Beliau berkata ini kerana pelaksanaan semula itu akan selesai dengan sempadan kawasan baru yang diluluskan oleh Parlimen.

“Penstrukturan semula akan menjadi sangat berfaedah bagi gabungan pemerintah dan mereka mahu menyelesaikannya sebelum pilihan raya,” katanya.

Sallehen turut menolak kenyataan bahawa pemilihan itu akan diadakan pada Disember tahun ini.

“Saya tidak fikir ia akan diadakan pada Disember kerana cuaca hujan dan banjir,” katanya.

SUMBER: MSTAR ONLINE

Categories
NASIONAL

DAP Perlu Tingkat Usaha Betulkan Persepsi Melayu

Mat Sabu White 01

AMPANG 23 JUN:  Kerjasama perlu dipertingkatkan dikalangan komponen Pakatan Rakyat (PR) bagi membetulkan persepsi orang Melayu bahawa hanya Umno sahaja pelindung dan pembela komunti.

Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu berkata, perancangan teliti perlu dilakukan mulai sekarang bagi mengelakkan isu yang berkaitan orang melayu dimainkan semula pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Oleh itu, beliau berkata, DAP diperlukan bagi membantu menerangkan kepada komuniti Melayu yang masih ragu-ragu untuk memberi sokongan kepada Pakatan.

“Untuk rancangan lima tahun akan datang, kita kena lihat secara serius bantuan daripada semua kaum khasnya DAP.

“DAP menang begitu besar dan diperlukan supaya melihat secara serius bagaimana nak membuang persepsi yang mengatakan hanya Umno penyelamat Melayu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Hotel De Palma Inn Ampang di sini hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pimpinan Pakatan yang terdiri daripada Pas, PKR dan DAP perlu lebih berhati-hati ketika mengulas mengenai isu sensitif bagi mengelak dieksploitasi oleh Umno-BN.

“Secara sedar dan tak sedar perkara ini jika tidak diberi perhatian akan membantu Umno dalam mengekalkan kuasa,” ujarnya lagi

Sebelum ini, beberapa isu sensitif seperti kalimah Allah, persepsi negatif terhadap DAP, sering dimanipulasikan oleh Umno-BN bagi menarik sokongan pengundi Melayu ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.