Categories
AGENDA NASIONAL

RFID diperluas di lebuh raya selatan awal tahun depan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bakal diperluas ke beberapa plaza tol di laluan menuju ke selatan negara, pada awal tahun depan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Mohd Shuhaimi Hassan berkata pelaksanaan itu adalah susulan ujian perintis yang dijalankan di sembilan plaza tol di negeri utara iaitu Kedah dan Pulau Pinang pada 22 Julai lepas.

“Kita dalam peringkat percubaan di (negeri) utara, kemudiannya kita akan cuba (sistem RFID) di Johor dan seterusnya kita akan cuba untuk keseluruhan (lebuh raya sistem terbuka dan tertutup di seluruh negara).

“Kita kena uji lagi untuk melihat keberkesanan sistem ini bagi menambah baik sistem serta memudahkan lebih 1.7 juta pengguna lebuh raya,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Kementerian Kerja Raya (KKR) dekat sini, hari ini.

Pelaksanaan RFID merupakan langkah awal ke arah Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (MLFF) di lebuh raya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa akan datang, sekali gus dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol.

RFID kini dilaksana dan diuji di 62 plaza tol sistem tol terbuka bermula 1 Jan lepas antaranya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RFID: JPJ beri Singapura enam bulan lagi

MUAR, 3 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi tempoh enam bulan lagi kepada kenderaan bernombor pendaftaran dari Singapura untuk memasang Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi memasuki negara ini di kedua-dua pintu masuk utama di Johor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sri Shaharuddin Khalid berkata, pemasangan RFID yang dikuatkuasakan bersama pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) tertangguh sebelum ini bagi memberi peluang kepada pemilik kenderaan terbabit untuk memasang sistem berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 230,000 kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sudah berdaftar untuk VEP, namun, hanya sekitar 60,000 kenderaan sahaja sudah didaftarkan untuk sistem RFID.

“Kini pihak kami dalam fasa untuk memasang sistem RFID bagi kenderaan yang telah mendaftar dan masih memberikan peluang kepada mereka yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian.

“Saya yakin bahawa kerajaan dan warga Singapura sudah maklum berkenaan VEP dan sistem RFID ini, selain mengharapkan mereka dapat mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Shaharuddin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Stesen Penguatkuasa Lebuh Raya JPJ Zon Selatan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh Arah Selatan di sini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.

Mengulas mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak, Shaharuddin berkata, masih belum ada saman dikeluarkan pihaknya memandangkan dalam masa enam bulan ini, pihak JPJ melaksanakan pendekatan pendidikan dan pencegahan.

“Buat masa ini kita memang akan menahan pemandu yang tidak memasangnya (kerusi keselamatan kanak-kanak) tetapi hanya melaksanakan pendekatan pendidikan serta mengambil statistik dahulu, sebelum kita akan nilai semula,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, kerjasama pihaknya dengan JPJ menerusi pengwujudan Stesen Penguatkuasa Lebuh Raya dan Unit Penguatkuasaan Lebuh Raya (UPLR) terbabit adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan di semua lebuh raya kendalian PLUS.

Beliau berkata, sebelum ini dua stesen dan UPLR sudah dibuka iaitu di R&R Dengkil di Selangor pada 12 Februari 2018 untuk zon tengah dan R&R Gunung Semanggol, Perak pada 25 Januari tahun lepas untuk zon utara.

“Dengan adanya stesen JPJ ini, PLUS akan dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan lebuh raya termasuk penguatkuasaan, pemantauan, advokasi dan bantuan kecemasan,” katanya.

– BERNAMA