Categories
AGENDA NASIONAL

RFID diperluas di lebuh raya selatan awal tahun depan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bakal diperluas ke beberapa plaza tol di laluan menuju ke selatan negara, pada awal tahun depan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Mohd Shuhaimi Hassan berkata pelaksanaan itu adalah susulan ujian perintis yang dijalankan di sembilan plaza tol di negeri utara iaitu Kedah dan Pulau Pinang pada 22 Julai lepas.

“Kita dalam peringkat percubaan di (negeri) utara, kemudiannya kita akan cuba (sistem RFID) di Johor dan seterusnya kita akan cuba untuk keseluruhan (lebuh raya sistem terbuka dan tertutup di seluruh negara).

“Kita kena uji lagi untuk melihat keberkesanan sistem ini bagi menambah baik sistem serta memudahkan lebih 1.7 juta pengguna lebuh raya,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Kementerian Kerja Raya (KKR) dekat sini, hari ini.

Pelaksanaan RFID merupakan langkah awal ke arah Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (MLFF) di lebuh raya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa akan datang, sekali gus dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol.

RFID kini dilaksana dan diuji di 62 plaza tol sistem tol terbuka bermula 1 Jan lepas antaranya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Persimpangan Bertingkat Runtuh : PKNS Tunggu Keputusan LLM

 Jambatan 1

SHAH ALAM, 16 MAC : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersetuju untuk melantik perunding bebas bagi membuat kajian mengenalpasti punca berlakunya kejadian runtuhan persimpangan bertingkat baru-baru ini.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS , Ishak Hashim, berkata, PKNS sudah mengemukakan tiga nama perunding bebas bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu.

“PKNS sudah meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengambil langkah segera bagi memilih perunding bebas yang disyorkan PKNS dan PLUS untuk memudahkan proses mengenal pasti punca persimpangan bertingkat itu runtuh,” katanya.

Pada waktu yang sama, satu perunding bebas turut dilantik PKNS bagi menentukan sama ada kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat itu telah mematuhi syarat-syarat pembinaan.

?Ini adalah selaras dengan amalan tadbir korporat yang diamalkan PKNS,? tambahnya kerja-kerja pembersihan kini sedang giat dijalankan oleh PKNS.

Kos perlantikan perunding akan ditanggung bersama di antara PLUS dan PKNS.

Hujung February lalu persimpangan bertingkat berdekatan Kilometer 2.4 Lingkaran Putrajaya menghala ke Lebuhraya Elite runtuh.

Semasa kejadian berlaku, kerja- kerja pembaikan jalan sedang dijalankan di bawah lokasi jambatan berkenaan.

Bagaimanapun tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.

Jambatan persimpangan bertingkat yang mula dibina pada Oktober 2007 itu mula beroperasi pada November 2009 dan diserahkan kepada PLUS pada 22 Mac 2012.

Sebelum kejadian, jambatan tersebut telah ditutup kepada semua lalulintas mulai 7 Disember 2012 lalu dan dijangka dibuka semula pada 31 Disember 2013 nanti bagi memberi laluan kerja-kerja pembaikan.