Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco sangkal laporan tak berasas isu TOL ternak ikan sangkar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 JUL: Dakwaan kononnya kadar TOL yang tinggi dikenakan terhadap penternak ikan sangkar Pulau Ketam seperti dilaporkan sebuah agensi berita pada 23 Jun lalu disifatkan sebagai satu tuduhan tidak berasas.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata sebaliknya Kerajaan Negeri hanya mengenakan caj RM0.40 semeter persegi berbanding RM2 sekaki persegi seperti dilaporkan media itu.

“Berdasarkan laporan tersebut, penternak ikan sangkar di Pulau Ketam dikatakan dibebankan dengan kadar bayaran TOL tinggi iaitu RM2 sekaki persegi di mana dengan caj tersebut penternak perlu membayar di antara RM60,000.00 hingga RM100,000.00 setahun.

ybzaidy-2“Untuk makluman, jumlah sebenar kadar bayaran TOL yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri hanyalah RM0.40 semeter persegi setahun di mana kadar tersebut dipersetujui dan disahkan oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 15/2016 pada 27 April 2016 berbanding dengan kadar nilaian yang diberikan oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM4.00 semeter persegi setahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, isu itu dibangkitkan penternak ikan sangkar di Pulau Ketam semasa penyerahan memorandum oleh Pengerusi Komuniti Keselamatan Dan Pembangunan Pulau Ketam, En. Chia Mong Chun kepada Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai.

Katanya, kadar bayaran TOL dikenakan Kerajaan Negeri pada masa ini merupakan antara terendah jika dibandingkan di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang RM0.45 semeter persegi, Perak RM0.60 semeter persegi dan Johor RM0.50 semeter persegi.

IKAN SANGKARKatanya lagi, dengan keluasan 20,000 meter persegi iaitu kelusan maksima kawasan ternakan yang ada di Pulau Ketam, bermakna Kerajaan Negeri hanya mengutip sebanyak RM8,000 setahun kepada pemilik sangkar ternakan ikan terlibat berbanding tohmahan pihak terlibat iaitu RM60,000 hingga RM100,000 setahun.

Tambah beliau, jika caj keseluruhan sedia ada dikenakan terhadap pemilik kawasan berkeluasan sama diambil kira, penternak terlibat hanya membayar kira-kira RM9,070 kepada Jabatan Perikanan Selangor tidak termasuk caj levi pekerja asing yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Ujar beliau, kadar caj sedia ada lain yang ditetapkan Jabatan Perikanan Selangor adalah Lesen Sistem Kultur Laut (SKL) pada kadar RM10.00 setahun bagi setiap sistem kultur yang meliputi permukaan air seluas 200 meter persegi atau kurang dan bagi setiap tambahan kawasan permukaan air seluas 100 meter persegi atau sebahagian daripadanya, suatu fi sebanyak RM5.00 setahun.