Categories
SELANGOR

Wujud lebih banyak perkhidmatan MRO Industri Aeroangkasa – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan lebih banyak perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) dalam Industri Aeroangkasa dan Penerbangan khususnya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain MRO, tapak Pembuatan Pesawat Udara juga diperlukan selaras mengukuhkan kedudukan sebagai Pusat Kecemerlangan ‘Research & Development’ dalam industri terbabit.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri mula berbincang dengan syarikat antarabangsa bagi penempatan semula beberapa operasi syarikat global untuk dipindahkan ke negeri itu.

“30 peratus daripada aktiviti Aeroangkasa dan Penerbangan termasuk permintaan datang dari Wilayah Asia Pasifik memandangkan ia sudah berkembang pesat sejak tempoh 10 tahun lalu.

“Pengeluaran pesawat hanya 600 unit setiap tahun di seluruh dunia, malahan lebih daripada 10,000 tempahan pesawat kini sedang menunggu dan belum dibuat MRO, meskipun untuk memecahkan atau merobohkan kraf di B737, 757, 767 dan 747 serta Airbus A300 juga lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Townhall Selangor Aerospace Action Plan Invest Selangor, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Pengarah Urusan Malaysia of Frost & Sullivan, Hazmi Mohd Yusof.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan lebih ramai syarikat dan pemain dalam industri berkenaan ke rantau ini memandangkan permintaan daripada aspek rantaian bekalan bahagian pesawat serta MRO adalah perniagaan yang mampu memberi pulangan besar.

“Bidang Aeroangkasa dan Penerbangan bukan di pesawat komersial atau untuk pertahanan sahaja tetapi saya percaya ‘Drones’ dan Teksi Udara akan dipasarkan secara meluas pada tahun hadapan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor terajui 62 peratus industri aeroangkasa dan penerbangan Malaysia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 FEB: Selangor menerajui lebih 62 peratus dalam industri aeroangkasa dan penerbangan di Malaysia, sekali gus menjadi destinasi pelaburan serta perdagangan terpenting di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Lapangan Terbang Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) mewujudkan sebuah sistem ‘eco-aerospace’ dan penerbangan yang sudah berkembang ke beberapa lokasi lain di Selangor.

“Hal ini didorong faktor pertumbuhan organik (keuntungan dihasilkan secara dalaman) termasuk pertumbuhan bukan organik (pengambilalihan penggabungan atau pelaburan) yang membantu perkembangan indsutri terbabit.

“Gabungan pertumbuhan organik dan bukan organik ini secara strategik dapat menyumbang kepada impak hasil yang lebih tinggi bagi industri, selain memberi pulangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Townhall Selangor Aerospace Action Plan Invest Selangor, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Pengarah Urusan Malaysia of Frost & Sullivan, Hazmi Mohd Yusof.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga merancang untuk memiliki logistik bersepadu sepenuhnya dalam industri berkenaan yang mampu menghasilkan nilai berimpak tinggi, terutama melalui penggunaan ‘Internet of Things’ (IoT).

Katanya, hal itu bagi memastikan pengeluaran nilai tambah dapat diwujudkan dengan menyediakan ekosistem lebih kondusif terhadap pelabur.

“Selangor bukan sahaja bergerak ke arah industri aeroangkasa dan penerbangan, bahkan sebagai negeri yang merancang ke arah masa depan robotika secara strategik.

“Dengan perkembangan pesat ekonomi Selangor, kita juga mengambil langkah strategik ke hadapan untuk berada di selari dengan tuntutan semasa global dengan menjalankan penyelidikan dan pembangunan, perancangan serta pelaksanaan yang berkesan,” katanya.