Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis cakna kebajikan anak petugas hadapan

SHAH ALAM, 28 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bersedia membantu berhubung kebajikan dan penjagaan anak petugas barisan hadapan.

Yang dipertuanya berkata Inisiatif Cakna Anak Petugas Barisan Hadapan diwujudkan menerusi Pakej Kita Selangor adalah langkah tepat ketika golongan tersebut bertarung nyawa memerangi pandemik Covid-19.

“Justeru dalam kesibukan di Pekawanis, kita akan sentiasa menyokong dan sedia membantu dalam hal berkaitan kebajikan anak-anak mereka,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada SelangorKini.

Menurutnya pertubuhan itu juga bersedia berkongsi ilmu dan kemahiran yang ada untuk bersama membantu menjayakan program berkenaan.

Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif itu secara percuma untuk tempoh dua bulan bermula 25 Januari.

Ia melibatkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan di hospital awam juga premis sementara yang bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga petugas hadapan seluruh Selangor.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Taska percuma ringankan beban petugas hadapan

SHAH ALAM, 23 JAN: Petugas barisan hadapan negeri ini tidak perlu bimbang keselamatan anak-anak mereka selepas Kerajaan Selangor mewujudkan khidmat pusat jagaan sementara.

Wakil rakyat Permatang berkata Inisiatif Cakna Anak Petugas Barisan Hadapan, sebahagian Pakej Kita Selangor langkah tepat ketika petugas berusaha memerangi pandemik Covid-19.

“Bukan hanya nyawa masyarakat di bahu mereka, sebaliknya tanggungjawab sebagai ibu bapa juga perlu dipikul, namun mereka tidak perlu khuatir apabila taska dan pusat jagaan sementara ini dibuka,” kata Rozana Zainal Abidin ketika dihubungi.

Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif tersebut secara percuma untuk tempoh dua bulan bermula 25 Januari bagi meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Inisiatif melibatkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan di hospital awam juga premis sementara bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga petugas hadapan seluruh negeri.