Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: RiDE galak anak muda berniaga, ceburi e-panggilan

SHAH ALAM, 17 JULAI: Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) berupaya mencetuskan minat anak muda di Selangor menceburi bidang perniagaan berasaskan khidmat penghantaran terutama ketika pasca Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pemberian subsidi lesen memandu percuma B2 kepada belia juga memenuhi keperluan perkhidmatan e-panggilan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Secara keseluruhan, kita menganggarkan 3,000 anak muda di negeri ini dapat mengambil lesen dan disalurkan keupayaan serta kemampuan mereka untuk memenuhi kehendak kedua-dua bidang itu.

“Ia adalah trend terbaharu dan terus menjadi budaya masyarakat terutama di Lembah Klang. Jadi, golongan belia jangan lupa (sertai) RiDE untuk tambah rezeki serta sebagai kerjaya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video di Twitter hari ini.

Pada 13 Julai lalu ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga, beliau memaklumkan peruntukan inisiatif RiDE ditambah RM1 juta lagi menjadikan jumlah keseluruhan RM2 juta.

Pendaftaran program RiDE dijadualkan dibuka pada 1 Ogos nanti.

Categories
EXCO SELANGOR

Permohonan RiDE ditangguh sehingga PKP tamat

SHAH ALAM, 16 APRIL: Permohonan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) ditangguhkan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, kata EXCO pembangunan generasi muda, sukan dan pembangunan modal insan.

Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya menerima pelbagai pertanyaan daripada golongan belia berhubung inisiatif tersebut namun sebarang permohonan tidak dapat diproses buat masa ini.

“Semua pihak terutama golongan belia diminta bersabar, sama-sama kita berdoa semoga Selangor dan seterusnya Malaysia segera pulih daripada ancaman Covid-19,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Pada 12 Mac lalu, Mohd Khairuddin dilaporkan berkata seramai 2,500 penerima RiDE akan menjalani kursus secara berperingkat dengan syarikat e-panggilan bulan ini.

Belanjawan Selangor 2020 memperuntukkan subsidi RM350 untuk mengambil lesen motosikal kepada 3,000 belia mencari pekerjaan melalui aplikasi penghantaran.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RiDE galak anak muda ceburi e-hailing

SHAH ALAM, 10 NOV: Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang diumumkan dalam Belanjawan #Selangor 2020 bukan sekadar membantu anak muda memperolehi lesen motorsikal.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sebaliknya berkata, subsidi bernilai RM350 itu juga sebagai galakkan penerima menceburi bidang ‘e-hailing’ seperti Foodpanda, Grabfood dan lain-lain.

“Perkara asas yang diperlukan adalah lesen dan motorsikal dan saya lihat perkembangannya cukup pantas dan positif di Malaysia.

“Ini boleh membantu miskin bandar dan ini antara rancangan kita membantu anak muda kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) Daerah Gombak 2019 di Melawati Mall di sini, semalam.

Amirudin berkata, langkah ini juga mampu mengurangkan kadar pengangguran di Selangor.

Terdahulu, inisiatif RiDE yang dibentangkan Belanjawan #Selangor 2020 bakal memberi manfaat kepada hampir 3,000 anak muda di seluruh Selangor terutama golongan miskin bandar.

Ia adalah kepedulian Kerajaan Negeri terhadap trend ‘gig economy’ yang semakin meluas di negara ini.