Categories
AGENDA JENAYAH

10 individu ditahan kes tetak bekas penyelidik Mardi

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Polis menahan 10 individu yang disyaki terbabit dalam kejadian samun dan tetak seorang bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar mengesahkan penahanan tersebut yang dilakukan setakat malam tadi.

Menurutnya, perincian mengenai tangkapan tersebut akan didedahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin dalam satu sidang media hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi semalam, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan akibat ditetak.

Mangsa dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap dapur banglo dua tingkat itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mardi lancar empat produk inovasi makanan

SERDANG, 27 OGOS: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan empat produk inovasi makanan termasuk keropok lekor yang mampu kekal lembut dan rangup biarpun sudah sejuk selepas beberapa jam digoreng.

Tiga lagi produk yang dilancarkan Mardi hari ini ialah pracampuran tepung perata tanpa gluten dari ubi kayu dan bayam; pemanis mulut bebas laktosa dari ubi keledek ungu bersama santan sawit; dan sup ikan talapia merah dengan cendawan yang tinggi protin.

Pegawai penyelidik kanan Mardi, Nor Salasiah Mohamed berkata teknologi inovasi keropok lekor sejuk beku berkenaan yang bernilai RM20,000 dihasilkan Mardi melalui penyelidikan selama dua tahun.

“Selain rasa ikan yang lebih ketara, teknologi inovasi keropok lekor Mardi turut mengatasi masalah keropok lekor yang keras dan liat apabila sejuk,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran itu.

Setakat ini, Salasiah berkata, dua pengusaha keropok lekor iaitu Rara Lekor, dan KLOG atau Keropok Lekor Orang Ganu sudah membeli teknologi inovasi keropok lekor Mardi itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah yang melancarkan keempat-empat produk itu di Mardi di sini berkata penyelidikan yang dijalankan Mardi akan membolehkan usahawan tempatan meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

“Mardi telah banyak hasilkan penemuan yang berjaya. Usahawan perlu bekerjasama dengan Mardi dalam menghasilkan penemuan baharu dalam penyelidikan makanan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

MPAJ-MARDI kolaborasi jayakan ‘mysavefood’

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 25 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengerakkan program ‘mysavefood’ bertujuan memupuk kesedaran masyarakat tentang pembaziran makanan.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, menerusi program itu, makanan dibuang atau berlebihan boleh diberi kepada mereka memerlukan sekali gus mengurangkan jumlah tan sisa buangan sampah.

“Sekiranya makanan tersebut rosak atau tidak boleh dimakan, ia boleh dijadikan penghasilan baja kompos selain dapat menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Bazar Ramadan Mampan MPAJ 2018 di Bazar Ramadan, Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, di sini, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim yang turut dihadiri Timbalan Pengarah MySaveFood, Pusat Komunikasi Korporat dan Kualiti MARDI, Aniadila Kamaruddin dan Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Sementara itu, Abd Hamid berkata, antara objektif utama Program Bazar Ramadan Mampan adalah untuk menggalakan penggunaan ‘biodegradable bag’ selain mengurangkan beg plastik dan polistirena.

“Program Bazar Ramadan Mampan bertujuan memupuk kesedaran kitar semula, kempen kitar semula minyak masak terpakai dan menyampaikan hal ehwal pengguna,” katanya.

Categories
SELANGOR

Noh Omar Dibidas Cuba Guna MARDI Dapat Tanah ‘Percuma’

mb-pecah-tanah

KELANA JAYA 26 FEB : Datuk Seri Noh Omar dibidas kerana didakwa menggunakan nama MARDI untuk mendapatkan tanah secara ‘percuma’ bagi pembinaan Kampus Universiti Perdana di Serdang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembinaan kampus itu terletak di tanah yang dimiliki oleh Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang bertujuan untuk penyelidikan pertanian yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.

“Ia bukan bertujuan untuk membuat bisnes kalau untuk tujuan itu Kerajaan Negeri lebih pandai yang akan dibina PKNS.

“Saya tidak menahan pembangunan itu tetapi dia kena membelinya pada harga pasaran,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Kompleks Kediaman Pekerja Industri di sini.

Ujar Abdul Khalid, Kerajaan Negeri bertindak enggan meluluskan syarat tukar tanah itu bagi kepentingan rakyat Selangor.

“Jadi saya perlu pertahankan hak rakyat Selangor.

“Kita perlu mendapat harga premium baru dari pembangunan yang baru itu,” kata Abdul Khalid.

Sebelum ini, Noh Omar digesa tidak meneruskan hasrat menjual tanah milik MARDI di Serdang seluas 200 ekar kepada mana-mana pihak hanya untuk meraih keuntungan.

Pada 25 September 2012, Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari mendedahkan bahawa tanah itu ingin dijual pada harga kira-kira RM14.50 sekaki persegi.

Namun jelas Yaakob, harga pasaran adalah sekitar antara RM80 hingga RM100 sekaki persegi yang disifatkan penjualan itu pada harga yang tidak munasabah serta merugikan rakyat.

Tanah milik MARDI ketika ini sebahagiannya dijadikan tapak Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dijadikan tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA).