Categories
SELANGOR

Sultan Selangor : PBT Perlu Bantu Usaha Penghijauan Alam Sekitar

SHAH ALAM 3 MEI : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri Selangor digesa menjadikan usaha penghijauan alam sekitar sebagai agenda utama bagi memastikannya bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan fizikal.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian ketika majlis pelancaran projek hijau syarikat pemaju I&P Group Sdn. Bhd, ‘Trees To Green’ di Taman Idaman, Alam Impian di sini pagi tadi.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah memantau dan mengawasi usaha ini serta sama-sama memastikan supaya usaha-usaha penjagaan pokok-pokok yang ditanam serta kebersihan taman-taman awam dilakukan dengan berkesan.

“Beta juga ingin menyarankan supaya setiap pemaju perumahan di negeri ini menyediakan dana yang mencukupi untuk tujuan penghijauan alam sekitar,” titah baginda yang turut diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain itu, baginda turut menggesa agar pihak pemaju atau pengusaha industri mahupun individu tidak melakukan sebarang penebangan pokok.

“Pokok-pokok ini amat bernilai untuk kestabilan ekologi dan alam sekitar. Beta berharap di masa hadapan, Beta dapat melihat lebih banyak lagi kawasan lapang dan taman-taman awam di negeri Selangor,” tambah baginda.

Projek ‘Trees To Green’ merupakan projek tanggungjawab sosial korporat I&P Group dengan kerjasama Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) yang melibatkan usaha menaik taraf taman awam kepada sebuah taman ‘hutan mini’ di atas tanah berkeluasan 31 ekar.

Sebanyak 1, 500 buah pokok dari pelbagai spesis akan ditanam sekitar taman tersebut dengan kos RM 1 juta dan dijangka siap sepenuhnya September nanti.

Selain Menteri Besar, turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengerusi I&P Group, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Abdul Latif Mohmod dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.