Categories
SELANGOR

Polis kesan lima individu bantu siasatan pergaduhan di Bangi

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Joe’ serta empat individu lain bagi membantu siasatan insiden pergaduhan berhampiran Surau Al-Amin, Bandar Baru Bangi dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan diserang sekumpulan lelaki ketika berniaga buah-buahan di lokasi itu kira-kira 6 petang.

“Suspek dikatakan memukul serta membaling buah durian ke arah mangsa selain merosakkan tapak perniagaan milik lelaki berkenaan.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian kerana perebutan tapak perniagaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Insp Suresh di talian 017-4333795 atau 03-89114222.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB: Tutup, tambah sekatan jalan di Kajang langkah tepat

BANGI, 7 APRIL: Tindakan polis menutup lapan jalan di sekitar Kajang adalah tepat bagi memutuskan rantaian Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laluan yang ditutup menghubungkan beberapa kawasan berisiko menyebabkan penularan wabak tersebut.

“Kita pun tahu sebelum ini Sungai Ramal antara kawasan yang dikatakan menyebabkan berlaku penularan Covid-19.

Petugas daripada pelbagai agensi melakukan operasi sanitasi menggunakan dron bagi membendung penularan Covid-19 di sekitar kawasan Sungai Ramal Dalam, Kajang pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jadi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua diperketatkan lagi di Kajang dengan mengehadkan pergerakan, jadi tiada pergerakan keluar masuk secara bebas,” katanya selepas melawat stesen kuarantin di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussoff berkata lapan jalan ditutup dan penambahan sekatan jalan raya dilaksanakan mulai esok.

Laluan itu membabitkan Jalan Sungai Chua-Susur Terowong KTM; Jalan Reko-MRT; Jalan Cheras- Jalan Timur (depan Masjid Jamek Kajang); Jalan Semenyih- Jalan Low Ti Kok; dan susur turun ke Jalan TTDI Grove 2/1 dari arah Persiaran Saujana Impian dan penutupan Jalan TTDI Grove 1/1

Laluan lain yang ditutup adalah Persiaran Saujana Impian-Jalan Melor 1; Jalan Sungai Kantan dari arah Desa Jenaris dan dari arah Persiaran Saujana Impian; serta sempadan Bandar Seri Putra- Nilai 3.