Categories
AGENDA NASIONAL

Polis nafi dakwaan kesan bengkak di badan tahanan lokap IPD Kuala Langat

SEPANG, 18 SEPT: Polis Selangor menafikan terdapat kesan bengkak pada badan seorang tahanan yang meninggal dunia di lokap ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dakwaan yang dibuat oleh isteri tahanan terbabit adalah tidak benar dan polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

“(Dakwaan) itu tidak betul sebab kita dah tengok semua itu dan apa pun pakar akan buat laporannya.

“Polis juga telah buka kertas siasatan. Apabila berlaku sesuatu perkara, siasatan terus dijalankan seperti mana Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Nik Ezanee Mohd Faisal telah jelaskan. Itulah tumpuan siasatan kita,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan pengunjung Pantai Bagan Lalang hari ini.

Menurut beliau, anggota lokap yang bertugas semasa kejadian tahanan terbabit meninggal dunia dalam lokap juga telah dipanggil untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan pemandu lori, T Vinaiyagar, 49, ditahan di Banting pada 8 Sept lepas dan isterinya, N Navaneetham, 35, mendakwa tidak menerima sebarang maklumat mengenai penahanan suaminya itu.

Hasil bedah siasat ke atas lelaki itu menyatakan punca kematiannya akibat ulser dalam perut, bagaimanapun, Navaneetham mendakwa melihat kesan bengkak pada badan suaminya.

Sementara itu, Arjunaidi berkata polis mengeluarkan 423 kompaun berkaitan kesalahan melanggar SOP fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 10 Sept lepas hingga semalam.

Beliau berkata kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan sosial dan sebagainya.

Beliau berkata kira-kira 3,000 anggota dari 700 pasukan pemantauan ditugaskan untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan sejak Lembah Klang beralih ke Fasa Dua PPN yang antaranya kebenaran rentas daerah membolehkan orang ramai melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.

Mengenai tinjauan hari ini, Arjunaidi berkata beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP orang ramai di Pantai Bagan Lalang yang menjadi satu daripada tempat tumpuan pengunjung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua IPD Kuala Langat antara 23 lantikan baharu pegawai kanan polis

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangat 23 pegawai kanannya berkuat kuasa pada 17 Mei ini.

Menurut Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman Superintendan (Supt) Skandaguru Anandan antara yang terlibat ialah Pegawai Pemerintah Batalion 3 Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bidor, Perak, Supt Rosman Kasman.

Beliau berkata jawatan baharu Rosman adalah timbalan komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), JKDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat asisten komisioner polis (ACP).

Selain itu, Pegawai Turus Pengurusan Dasar dan Sumber Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Perak, Supt Lam Chien Fei pula dilantik sebagai timbalan komandan (Latihan) Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat ACP.

Berikutan itu, Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Pengurusan Bukit Aman ACP Ahsmon Bajah dilantik sebagai ketua polis Daerah Kuching, Sarawak bagi menggantikan ACP Awang Din Awang Gani.

Awang Din pula dilantik sebagai timbalan ketua JPJKK (Perancangan Strategik) Johor.

Selain itu, Timbalan Komander Pasukan FRU, JKDNKA Bukit Aman ACP Noor Hisam Nordin pula dilantik menjadi ketua JPJKK Pahang dengan memangku pangkat senior assisten komisioner (SAC).

“Pertukaran lain turut melibatkan Pegawai Turus E4B Cawangan Khas Bukit Aman ACP Winston Tan Thye Wa yang dilantik sebagai ketua Cawangan Khas Pulau Pinang dengan memangku pangkat SAC.

“Jawatan Winston Tan akan digantikan Supt E4A1 Cawangan Khas Bukit Aman, Zulkifli Arin dengan memangku pangkat ACP”, katanya.

Skandaguru berkata pertukaran itu turut melibatkan Pegawai Turus Operasi Darat, JPJKK Sarawak, Supt Ang Seow Aun yang dilantik sebagai timbalan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan/Perundangan, Sabah dengan memangku pangkat ACP.

Selain itu, Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh dilantik sebagai ketua polis Daerah Kuala Langat, Selangor.

-BERNAMA