Categories
NASIONAL

Operasi pembenihan awan di Kedah dan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengatasi bekalan air terjejas di sekitar kawasan takungan air di empangan kegunaan domestik dan pertanian di utara Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata operasi itu dilakukan di enam kawasan sasaran di Kedah serta Pulau Pinang dan berjaya menghasilkan hujan di hampir kesemua kawasan tumpuan.

Kawasan berkenaan adalah Empangan Muda, Pedu dan Teluk Bahang serta kawasan sawah padi di Kuala Nerang dan Kampung Perupok, kecuali sekitar kawasan Empangan Ahning, Kedah.

“Tujuan utama OPA kali ini ialah untuk meningkatkan turunan hujan di kawasan-kawasan tadahan empangan di negeri Kedah dan Pulau Pinang.

“Ini berikutan negara kini berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut hingga hujung bulan Mac mengakibatkan taburan hujan rendah di beberapa tempat di negeri utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak sehingga menjejaskan takungan air di empangan untuk kegunaan domestik serta pertanian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya MetMalaysia sentiasa memantau keadaan atmosfera khususnya di kawasan tadahan empangan di Kedah dan Pulau Pinang bagi menentukan OPA untuk beberapa hari akan datang.

Sepanjang musim panas dan kering ini juga, orang ramai dinasihatkan supaya menjimatkan penggunaan air, berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka dan minum air secukupnya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai amaran cuaca boleh layari laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pembenihan awan atasi jerebu, empangan kering

SECARA am pembenihan awan merupakan satu langkah untuk mendorong hujan turun di sesuatu kawasan yang disasarkan.

Di Malaysia lazimnya, pembenihan awan dilaksanakan dalam beberapa keadaan antaranya untuk meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan empangan pada musim kemarau dan kering berpanjangan.

Pada Febuari 2014, operasi pembenihan awan dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan empangan di Selangor, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Selain diperlukan untuk meningkatkan kapasiti air, operasi pembenihan awan juga dilaksanakan apabila masalah jerebu berada pada tahap membimbangkan.

Bagaimanapun, tahukah anda proses dan prosedur yang perlu diambil bagi memastikan operasi ini berjaya bukanlah mudah kerana ia memerlukan beberapa langkah dan turut bergantung kepada atmosfera.

Sudut sains

Memetik laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dari sudut sains, tujuan utama pembenihan awan adalah untuk meningkatkan keberkesanan proses mikrofizik awan yang terlibat dalam pembentukkan titisan air hujan daripada molekul wap air sedia ada.

Selepas titisan awan terbentuk, ia perlu mengembangkan saiznya kira-kira satu juta kali ganda untuk menjadi titisan hujan.

Dalam usaha supaya keadaan ini berlaku, titisan awan akan melalui proses pelanggaran-tautan berganda (perlanggaran antara titisan yang berbeza saiz akan menyebabkan titisan yang lebih besar terbentuk).

Proses titisan awan berlanggar dan bertaut ini membebaskan haba pendam yang seterusnya menggalakkan lagi proses perlanggaran dan tautan ini.

Titisan awan hanya boleh bertaut atau bergabung jika ia mempunyai caj elektrik bertentangan, jika tidak, ia hanya akan menolak antara satu sama lain.

Apabila titisan awan semakin berkembang dan menjadi lebih berat, ia mulai jatuh menerusi awan di mana titisan lebih besar akan jatuh lebih cepat dan pada masa yang sama mengumpul titisan yang lebih kecil semasa ia jatuh.

Ini menyebabkan titisan menjadi semakin besar dengan keamatan yang lebih tinggi dan turun sebagai hujan.

Kaedah pembenihan

Di Malaysia, terdapat dua kaedah pembenihan hujan iaitu pembenihan basah iaitu semburan larutan garam biasa dan pembenihan kering iaitu pembakaran hygrosopic flare.

Bagi pembenihan basah, sebanyak 200 kilogram garam dan air digunakan bagi menjadikan larutan garam.

Larutan garam tadi diisi dalam empat tangki besar sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM C130H.

Akhir sekali larutan garam tadi disembur ke dalam awam pada ketinggian 5,000 hingga 8,000 kaki dari paras laut.

Manakala kaedah pembenihan kering pula, hygrosopic flare dipasang pada pesawat Cessna 340A sebelum flare dibakar di dasar awan pada ketinggian 3,000 hingga 5,000 kaki.

Bagaimanapun, kejayaan pembenihan hujan ini bergantung kepada cuaca seperti angin dan keadaan atmosfera semasa pembenihan dijalankan.

Pegawai Kanan MetMalaysia, Azhar Ishak dalam satu laporan MStar pada Febuari 2014 berkata, hujan akan turun dalam tempoh 10 minit hingga 15 minit selepas operasi dijalankan sekiranya pembenihan berjaya.

Kadar kejayaan dan kos

Sejak 1974, operasi pembenihan awan di Malaysia mencatatkan kadar kejayaan antara 57 hingga 65 peratus.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Datuk Che Gayah Ismail dalam laporan Harian Metro pada Oktober 2015 berkata, setiap operasi pembenihan awan dianggarkan menelan belanja sebanyak RM80,000.

“Kos itu merangkumi kos pesawat, bahan bakar, garam dan kos operasi berkaitan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembenihan awan di Selangor, Perak, Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Selangor, Perak dan Pulau Pinang hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan operasi itu menghasilkan hujan terutama di kawasan utara Semenanjung walaupun tidak secara menyeluruh iaitu di Balik Pulau dan Seberang Prai di Pulau Pinang, serta Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Menurut kenyataan itu, antara cabaran dihadapi pasukan OPA dalam operasi berkenaan adalah kesukaran mencari awan yang sesuai akibat jerebu tebal dan kesukaran pesawat untuk melalui kawasan sasaran di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar disebabkan bentuk muka bumi berbukit-bukau.

“Selain itu, pesawat juga mengalami kesukaran untuk meningkatkan keberkesanan OPA di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana kebenaran penerbangan yang terhad sehingga ketinggian 4,000 kaki sahaja agar tidak mengganggu aliran trafik udara,” kata kenyataan itu.

Pesawat TUDM bagi operasi tersebut berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang kira-kira 12.45 tengah hari dan mendarat semula di pangkalan sama pada 3.50 petang.

MetMalaysia akan terus memantau keadaan atmosfera dari semasa ke semasa dan melaksanakan OPA apabila keadaan atmosfera sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu di kawasan yang terlibat selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembenihan awan dijangka Khamis atau Jumaat ini

SHAH ALAM, 17 SEPT: Operasi pembenihan awan (OPA) kali kedua dijangka dijalankan pada Khamis atau Jumaat ini bagi mengurangkan kesan jerebu di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, tindakan itu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap sangat tidak sihat, ketika ini.

Bagi Sarawak pula, beliau berkata, pihaknya menjangkakan operasi sama akan diadakan pada Jumaat atau Sabtu ini.

Katanya, menurut perancangan awal, MetMalaysia OPA kali kedua di sini akan dijalankan pada hari ini namun terpaksa dibatalkan kerana keadaan tidak sesuai.

“Pemantauan kami mendapati pada hari ini dan esok keadaan atmosfera adalah kering dan kuat berangin, jika kita jalankan juga pembenihan awan, awan tidak akan terbentuk.

“Jadi kemungkinan OPA seterusnya kami akan jalankan pada Khamis atau Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Jailan berkata, pihaknya bagaimanapun akan sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan melakukan OPA jika keadaan mengizinkan.

“Untuk OPA ini, anggota dan alat kelengkapan kami sudah bersedia di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang dan boleh digerakkan pada bila-bila masa, bagi OPA di Sarawak pula kami mempunyai pangkalan operasi di Pangkalan TUDM Labuan,” katanya.

Semalam, MetMalaysia dalam kenyataan berkata, OPA sudah dijalankan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada tengah hari semalam.

Walaupun hujan dilaporkan di Cheras, Bangsar, Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Gombak di Selangor selain Seremban, Tampin dan Jelebu di Negeri Sembilan serta Alor Gajah dan Jasin di Melaka, keadaan jerebu bertambah serius pada petangnya dengan ratusan sekolah di seluruh negara ditutup hari ini ekoran IPU memasuki tahap sangat tidak sihat.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian ketika dihubungi berkata, Kerajaan Negeri negeri melalui Jabatan Alam Sekitar Selangor sudah membuat permohonan supaya OPA dijalankan di kawasan yang mempunyai IPU melebihi 200, iaitu tahap sangat tidak sihat.

Di Selangor, sebanyak 201 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini ekoran IPU direkodkan melebihi 200 semalam dan pagi tadi.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 236, Klang (196), Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembenihan awan: Selangor, Negeri Sembilan, Melaka hujan

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengurangkan jerebu, yang dijalankan hari ini membuahkan hasil apabila tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dilaporkan hujan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, operasi itu dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari tadi dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut satu hantaran foto dalam laman Facebooknya, MetMalaysia menerangkan proses OPA memerlukan penganalisaan keadaan atmosfera terlebih dahulu bagi menentukan tempoh kesesuaian pelaksanaan operasi itu.

Seterusnya, 200 kilogram garam (natrium klorida) akan dicampurkan dengan 1,500 liter air untuk dimuatkan ke dalam satu tangki OPA menggunakan empat tangki.

Tangki tersebut dimasukkan ke dalam pesawat TUDM C130H yang akan berlepas sekiranya jarak ketampakan sesuai (minimum 500 meter) dan pesawat yang memasuki awan yang dipilih kebiasaannya berada pada ketinggian 1,500 hingga 2,500 meter dari permukaan bumi.

Proses semburan larutan garam akan dimulakan di lokasi pembentukan awan kumulus menara yang seterusnya akan menggalakkan pembentukan titisan awam dan sekiranya berat mencukupi, ia mampu turun sebagai hujan.

Menurut hantaran itu lagi, kebiasaannya hujan antara 30 dan 60 minit selepas pembenihan awan dilakukan.

Sementara itu, walaupun hujan di beberapa kawasan, pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya masih mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat dengan bacaan 202 sehingga 8 malam ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan pada 8 malam semalam di Putrajaya adalah 134, dan bagi tempoh 24 jam tersebut sehingga 8 malam ini, menunjukkan trend turun naik antara kategori tidak sihat (101-200) dan sangat tidak sihat (201-300) .

Berikutan itu, semua sekolah di Putrajaya akan ditutup esok susulan bacaan IPU yang melebihi 200 mulai 5 petang tadi dan ini kali pertama sekolah-sekolah di Putrajaya ditutup ekoran jerebu yang melanda negara sejak 5 September lepas.

Di Melaka, semua sekolah akan dibuka seperti biasa esok ekoran bacaan IPU di negeri itu telah turun ke tahap tidak sihat berbanding sangat tidak sihat semalam.

Semalam, media melaporkan semua sekolah di Melaka akan ditutup esok sekiranya IPU di negeri itu mencatat bacaan melebihi 200 hari ini.

Di Johor Bahru, sesi persekolahan di tiga daerah yang ditutup dua hari lepas berikutan IPU sangat tidak sihat, turut akan beroperasi semula seperti biasa esok.

Menurut data APIMS, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Kelantan, Terengganu (kecuali Kemaman, dan Sabah (kecuali Sandakan) menunjukkan bacaan IPU 0 hingga 100 sehingga 8 malam.

Tiga lagi kawasan pula mencatat bacaan sangat tidak sihat iaitu Johan Setia Klang (229) di Selangor dan dua kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman (204) serta Kuching (223).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat); manakala 300 ke atas berbahaya dan orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembenihan awan di Semenanjung Malaysia bermula esok

GEORGE TOWN, 15 SEPT: Proses pembenihan awan bagi mengurangkan keadaan jerebu telah dijadualkan esok di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, proses itu lebih menumpukan perhatian kepada Selangor dan Johor yang masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

“Untuk pembenihan awan di Selangor esok, pesawat akan berlepas dari Lapangan Terbang Subang dengan kerjasama TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan Jabatan Meteorologi Malaysia. Operasi ini akan dimulakan dengan taklimat pada jam 8.30 pagi dan pembenihan awan akan dimulakan pada jam 11 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk merasmikan Program Larian Warisan 110 anjuran Jabatan Kimia Malaysia di Padang Kota Lama di sini, hari ini.

Acara sempena menyambut 110 tahun penubuhan jabatan itu turut disertai Ketua Pengarah Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman melibatkan 1,115 orang peserta dari seluruh negara.

Isnaraissah berkata, pembenihan awan yang dijalankan di Sarawak Khamis lalu telah berjaya menurunkan bacaan IPU di negeri itu selepas menjadi negeri yang paling terjejas akibat jerebu daripada kebakaran terbuka yang berlaku di Kalimantan.

“Pembenihan awan hanya akan dapat dilakukan sekiranya keadaan atmosfera dan awan yang sesuai. Mudah-mudahan esok keadaan lebih membantu supaya proses pembenihan awan lebih efektif untuk dijalankan,” katanya.

Menurutnya, selain punca pembakaran terbuka di Kalimantan, data ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan keadaan jerebu di Semenanjung Malaysia adalah ekoran pembakaran terbuka di Sumatera.

Katanya, Malaysia menerusi Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin sudah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadam kebakaran di negara itu tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Paling penting kita perlu fokus kepada sumber yang betul-betul menyebabkan jerebu. Kalau buat (pembenihan awan) di tempat kita (Malaysia), ianya hanya boleh mengurangkan jerebu untuk sekejap sahaja, nanti asap datang lagi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

MB: Pembenihan awan pada Ahad bergantung kepada keadaan

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Kerajaan Negeri mengambil segala langkah yang perlu mengikut garis panduan ditetapkan Pelan Jerebu Kebangsaan bagi mengatasi jerebu ketika ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini termasuk langkah pembenihan awan yang dijangka dilaksanakan esok.

“Kita tengok keadaan semasa ke semasa. Saya dapatkan maklum balas Jabatan Alam Sekitar, kalau perlu hari esok kita buat pembenihan awan tetapi kalau hari ini dah hujan kita boleh tengok semula keadaan berdasarkan garis panduan Pelan Jerebu Kebangsaan 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Hibiscus 3 di Bandar Seri Coalfields di sini, hari ini.

Terdahulu, kualiti udara di Selangor menunjukkan beberapa kawasan berada pada paras tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Berdasarkan data dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen Johan Setia, Klang berada pada tahap tidak sihat apabila bacaan IPU mencatatkan 164 setakat jam 2 petang tadi berbanding sebelum ini, sangat tidak sihat.

Lima lagi stesen di Selangor turut menunjukkan bacaan IPU tidak sihat ialah Kuala Selangor (114), Petaling Jaya (140), Shah Alam (135), Klang (134) dan Banting (149).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pembenihan awan di Selangor dijangka Ahad

KLANG, 13 SEPT: Operasi pembenihan awan bagi mengurangkan kesan jerebu di Selangor dijangka dilakukan pada Ahad atau Isnin ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Beliau berkata, ini berikutan keadaan cuaca yang agak kering dengan kadar kelembapan dalam udara yang rendah di negeri ini hari ini dilihat kurang sesuai untuk dilakukan operasi berkenaan.

“Untuk pembenihan awan ini, kita perlukan keadaan cuaca yang sesuai. Kalau cuaca tak sesuai dan hujan, ia (pembenihan awan) tak jadi. Untuk hari ini, kita dapati memang tidak sesuai, kemungkinan pada Ahad atau Isnin ini.

“Namun, esok kita akan pantau lagi (kesesuaian keadaan cuaca) dari semasa ke semasa. Jika sesuai, mungkin esok kita akan buat pembenihan awan selagi mana cuaca itu sesuai untuk pesawat melakukan operasi tersebut,” katanya kepada pemberita ketika melawat sekitar kawasan Johan Setia, di sini, hari ini.

Turut sama melawat adalah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman.

Di Selangor, Johan Setia, Klang merupakan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 iaitu tahap sangat tidak sihat, sejak semalam.

Mengulas lanjut, Jailan berkata antara faktor untuk menjayakan proses pembenihan awan adalah langit mesti mempunyai awan, keadaan angin yang sesuai, dan kadar kelembapan dalam udara yang mencukupi.

“Sebenarnya, untuk operasi pembenihan awan ini meliputi peralatan dan sebagainya, kita sudah sediakan dan bersiap siaga di Subang (Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang). Pasukan ini sedang tunggu ‘lampu hijau’ saja. Jika cuaca sesuai, kita terbang.

“Operasi bukan hanya fokus kepada kawasan Johan Setia kerana kalau memang ada awan di sini, ia lagi bagus…tapi jika ada awan di lokasi lain yang mencapai bacaan IPU tidak sihat pun kita akan buat pembenihan awan, namun ia bergantung kepada kesesuaian tempoh masa terbang dan jarak penerbangan. Paling penting adalah faktor cuaca itu sendiri,” katanya.

Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, memakai topeng hidung dan mulut sebagai langkah keselamatan ekoran keadaan jerebu pada tahap tidak sihat, pada 12 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ditanya sama ada operasi pembenihan awan akan dilakukan di negeri-negeri lain yang turut dilanda jerebu, Jailan berkata, ia pasti dilakukan sekiranya bacaan IPU melebihi 200 seperti mana prosedur operasi standard MetMalaysia namun setakat ini, tiada lokasi menunjukkan tahap berkenaan selain di Johan Setia.

Dalam pada itu, Mohtar menyeru rakyat di kawasan dilanda jerebu supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sewenang-wenangnya dan sentiasa memakai topeng muka mengikut spesifikasi yang betul bagi mengelakkan berlakunya kesan kepada kesihatan.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang, bacaan IPU di Johan Setia adalah 222, Shah Alam (141), Klang (137), Banting (136), Petaling Jaya (149) dan Kuala Selangor (105).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Laksana pembenihan awan di kawasan IPU lebih 200

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kerajaan Negeri mengambil ketetapan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, iaitu ditahap sangat tidak sihat.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, langkah itu dipersetujui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), semalam.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah dan negeri juga perlu diaktifkan apabila IPU mencatatkan bacaan antara 151-200 (melebihi 24 jam) iaitu tahap tidak sihat selain membekalkan dust mask (penutup muka) kepada orang awam.

“Semua sekolah, tadika dan taska diarah tutup serta merta sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 200 selepas mendapat pengesahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

“Bagi menangani masalah jerebu ini, Kerajaan Negeri mengunapakai Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dikeluarkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Loy Sian turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak melakukan pembakaran terbuka selain bekerjasama memadam kebakaran kecil.

Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, memakai topeng hidung dan mulut sebagai langkah keselamatan ekoran keadaan jerebu pada tahap tidak sihat pada 12 September 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar rumah dan mengikuti makluman IPU semasa yang boleh dimuat turun melalui aplikasi MyIPU untuk maklumat kualiti udara bagi semua stesen pemantauan di seluruh negara.

“Untuk mendapatkan maklumat IPU semasa di kawasan masing-masing, orang ramai boleh memuat turun aplikasi MyIPU daripada Google Play atau App Store secara percuma di telefon pintar atau melalui laman sesawang JAS www.doe.gov.my atau apims.doe.gov.my,” katanya.

Tahap bacaan IPU Baik (bawah 50), Sederhana (IPU 51 hingga 100), Tidak Sihat (IPU 101 hingga 200), Sangat Tidak Sihat (IPU 201 hingga 300) dan Berbahaya (IPU melebihi 300).

Orang awam yang mahu menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka juga boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia (03-88712000) atau menghubungi Bilik Kawalan JAS Selangor (03-55197233).

Tingkat kapasiti air empangan, pembenihan awan berterusan

Tingkat kapasiti air : Pembenihan awan di empangan utama diteruskan dan pemantauan hampir setiap jam

Categories
SELANGOR

RM394,946 dibelanja operasi 64 pembenihan awan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APRIL: Sejumlah RM394,946 dibelanjakan Kerajaan Selangor bagi membiayai kos 64 pembenihan awan dari 21 Februari hingga 1 April lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, langkah itu diambil bagi memastikan bekalan air mentah di kawasan tadahan negeri itu sentiasa mencukupi.

“Pembenihan awan dilakukan setiap hari sejak 21 Februari 2015 dan bermula 24 Februari kita tingkatkan kepada dua kali sehari.

“Paras air empangan Sungai Selangor masih baik 68.31 peratus, jauh melepasi simpanan kawalan 45 peratus dan kritikal 30 peratus.

“Keduanya, hujan masih turun ke kawasan tadahan minggu ini,” kata Zaidy ketika dihubungi Selangor Kini.

Tambah Zaidy selain faktor hujan, kolam Projek Hybrid off River Augmentation System (Horas) turut mampu membekalkan air ke Sungai Selangor sehingga 800 juta liter sehari (JLH).

“Walaupun paras air sangat baik berbanding tahun lepas tetapi saya nasihatkan para pengguna berjimat cermat setiap masa,” kata Zaidy lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

LUAS laksana pembenihan awan dua kali sehari

Oleh: MARNIZA OTHMAN

SHAH ALAM, 11 MAC: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (Luas) meneruskan operasi pembenihan awan dengan kekerapan dua kali sehari bagi meningkatkan kapasiti takungan air dalam empangan.

Pegawai Penerangan Luas, Ishak Kamaruzaman berkata, pembenihan dilakukan setiap hari dengan kawasan tumpuan di empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi ekoran cuaca panas yang dijangka berterusan hingga April ini.

empangan kini“Perkembangan terkini, kita lakukan pembenihan awan setiap hari pada waktu pagi dan petang,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Beliau berkata, paras terkini takungan empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi adalah 74.82 peratus (172.08 mm3) dan 70.19 peratus (80.37 mm3)

Empangan Selangor membekalkan kira-kira 60 peratus air terawat melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

-NFN-