Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Perjalanan malam Israk Mikraj, mukjizat besar bukti kerasulan Nabi Muhammad

PERISTIWA agung bagi umat Islam, Israk Mikraj merakamkan perjalanan Nabi Muhammad menghadap Allah untuk menerima perintah ibadah solat fardu.

Peristiwa 27 Rejab tahun ke-12 kerasulan berlaku selepas Baginda kehilangan isteri Khadijah Khuwailid dan bapa saudara disegani ramai Abu Talib Abdul Mutalib.

Kematian dua kekasih hati Baginda itu digelar Tahun Kedukaan. Israk Mikraj mendatangkan kegembiraan. Wartawan NADIAH ZAMLUS menyusun catatan mengenai mukjizat besar Nabi Muhammad selain al-Quran.

 

SURAH AL-ISRA’

Ayat 1 surah al-Isra’ merakamkan kisah Israk Mikraj (terjemahan):

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, bumi yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Maksud dua rangkai kata

Israk

  • Rasulullah dibawa malaikat Jibrail dari Mekah ke Baitul Maqdis menaiki haiwan buraq pada satu malam.

Mikraj

  • Dari Masjid al-Aqsa, Baginda dibawa menghadap Allah Rabbul Jalil di Sidratul Muntaha melalui tujuh lapisan langit.

Kewajipan solat lima waktu

  • Pada peristiwa itu, Allah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam.
  • Sepanjang di Mekah, sahabat dan Nabi menghadap Masjid al-Aqsa. Namun setahun selepas hijrah di Madinah, kiblat bertukar ke arah Masjidil Haram.

 

Kejadian penting ke Sidratul Muntaha (antaranya):

– Baginda masuk ke Masjid al-Aqsa dan solat dua rakaat
– Jibrail memimpin Baginda menjadi imam solat bersama para rasul
– dalam perjalanan mikaj, Nabi Muhammad bertemu:

1. Nabi Adam di langit pertama
2. Nabi Isa dan Nabi Yahya di langit kedua
3. Nabi Yusuf di langit ketiga
4. Nabi Idris di langit keempat
5. Nabi Harun di langit kelima
6. Nabi Musa di langit keenam
7. Nabi Ibrahim di langit ketujuh
8. Menghadap Allah Rabbul Jalil di Sidratul Muntaha

Ujian iman

Peristiwa luar biasa ini menjadi ujian kepada manusia, disebut dalam ayat 60 surah al-Isra’ (terjemahan)

Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam mi’raj) yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.

Sumber:
– Khutbah Jumaat ‘Pengajaran di sebalik israk dan mikraj’, Jabatan Agama Islam Selangor, 13 April 2018
– Tashih al-Mafahim Nombor 17 ‘Kisah israk mikraj’, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 11 Mac 2020

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan seru umat Islam istiqamah tunai solat

SHAH ALAM, 12 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam istiqamah melaksanakan ibadat solat yang diperintahkan melalui Israk dan Mikraj.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Allah SWT mengurniakan ganjaran istimewa kepada mereka yang sentiasa menjaga solat iaitu syurga Firdaus.

“Nikmat paling istimewa diterima Rasulullah SAW pada malam yang penuh barakah itu ialah ibadat solat. Ibadat tersebut dapat menjalin perhubungan erat antara hamba dengan penciptaNya.

“Solat merupakan detik-detik munajat dan penumpuan diri sepenuhnya kepada Allah SWT,” titah baginda menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Baginda bertitah solat itu penting sehingga diangkat sebagai rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadat.

“Lantaran itu, maka sewajarnya solat itu bersifat sempurna, tersisih daripada alam kebendaan, alam nafsu dan syahwat dan alam fitnah,” katanya.

Baginda turut menyeru umat Islam menghayati saranan melalui khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini berhubung Israk dan Mikraj.

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku kepada Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasad.

2. Umat Islam hendaklah istiqamah melaksanakan ibadat solat yang merupakan perintah Allah SWT melalui Israk dan Mikraj.

3. Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa Israk dan Mikraj adalah perkara ghaib yang tidak boleh dipertikai melalui akal manusia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB seru umat Islam hayati peristiwa Israk Mikraj

SHAH ALAM, 11 MAC: Dato’ Menteri Besar mengajak umat Islam seluruh negeri untuk menghayati makna di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj dengan penuh keinsafan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tarikh bersejarah pada 27 Rejab mengikut kalendar Islam disifatkan detik penting kepada seluruh umat Islam.

Jelasnya, junjungan besar Nabi Muhammad SAW diangkat ke langit dan menerima arahan Allah SWT berhubung pelaksanaan ibadah solat yang juga bukti kekuasaan-Nya.

“Marilah kita menghayati tarikh bersejarah 27 Rejab ini dengan penuh keinsafan. Kedatangan Israk Mikraj juga menandakan kita semakin dekat dengan Syaaban dan menghampiri Ramadan.

“Semoga kita dipertemukan dengan Ramadan, insya-Allah,” tulisnya di Facebook hari ini.

Amirudin turut memetik ayat satu surah Al-Isra’ yang menceritakan peristiwa Allah menjalankan Nabi Muhammad pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis.

Peristiwa tersebut merupakan satu mukjizat besar yang dianugerahkan kepada Baginda yang turut diangkat ke Sidratul Muntaha melepasi langit ketujuh.