Categories
AGENDA NASIONAL

Isteri MB mahu bantu agih air kepada wanita, warga emas

SHAH ALAM, 6 SEPT: Isteri kepada Dato’ Menteri Besar berterima kasih kepada barisan hadapan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) yang bertungkus-lumus bekerja sejak beberapa hari lepas.

Malah, Datin Seri Masdiana Muhamad menyuarakan hasrat untuk bersama-sama petugas Air Selangor membantu mengedar bekalan air kepada penduduk terjejas.

“Saya akan turun membantu penduduk di kawasan yang belum menerima bekalan air terutamanya golongan ibu dan warga emas,” katanya menerusi Instragram hari ini.

Selain itu, Masdiana juga menjelaskan beliau bukan bermegah apabila memuat naik foto lori tangki menghantar bekalan air ke kediaman rasmi menerusi Instagram.

“Justeru saya memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mendatangkan sebarang bentuk salah tafsir dan mengguris perasaan mana-mana pihak,” katanya menerusi media sosial itu.

Mengakui terkhilaf dan meminta maaf jika tindakan itu menimbulkan banyak tafsiran atau mengguris perasaan mana-mana pihak, beliau menegaskan lori itu bukan untuk memenuhkan kolam renang.

Baru-baru ini, segelintir pengguna media sosial membuat pelbagai tafsiran, sebahagiannya berbentuk negatif, berdasarkan foto lori Air Selangor di kediaman rasmi.

Categories
SELANGOR

Berat lagi bahu memikul, sama sedih

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUANG, 17 SEPT: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, demikian gambaran yang mampu diungkap Datin Seri Shamshida Taharin apabila berkongsi pengalaman beliau ketika mendekati keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) itu berkata, perasaan sedih membelenggu dirinya saat mula menjejakkan kaki melihat sendiri tapak lokasi kebakaran itu.

“Tidak terungkap rasa sedih dalam diri saya apabila diberi peluang untuk mendekati keluarga mangsa terutamanya ibu kepada mangsa tiga beradik penuntut tahfiz yang turut terkorban.

IMG_8523“Walaupun pada awalnya saya tidak berkesempatan bertemu ibu itu di pusat tahfiz, namun atas tanggungjawab saya bukan kerana saya sebagai ‘somebody’, saya pergi sendiri ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika proses DNA dibuat.

“Di HKL, saya dapat melihat kesedihan ibu itu apabila kehilangan tiga anak sekaligus dalam sekelip mata. Ia sangat meruntun hati saya kerana saya juga seorang ibu kepada enam orang anak-anak saya,” ceritanya.

Dalam pertemuan itu, Isteri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu berkata, beliau mengenepikan kedudukannya sebagai isteri kepada pimpinan politik.

Baginya, keutamaan peribadi untuk memberikan bantuan dan sokongan moral sebagi seorang wanita yang lebih dekat memahami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak.

“Saya tidak kenalkan diri saya, dan saya tidak peduli jika mereka kenal saya atau tidak. Biarpun di luar Selangor sekali pun, saya fikir ia sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu sedaya yang boleh termasuklah dari segi sokongan moral kepada mereka,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi Khamis lalu, 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo berkenaan yang menempatkan asrama pelajar.

Sebahagian mangsa ditemui rentung manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap. Semua mangsa berusia antara enam hingga 16 tahun.

Bagaimanapun, kurang tempoh 48 jam, suspek utama kes berkenaan ditahan dan direman polis selama tujuh hari bermula 16 September hingga 22 September.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kesemua suspek lingkungan 11 hingga 18 tahun itu mula ditangkap pada 15 September sekitar jam 6 petang hingga 2.30 pagi 16 september.

Polis mendedahkan, kes berkenaan bermotifkan khianat yang dilakukan berpunca daripada ejek-mengejek antara mereka suspek dan penuntut pusat tahfiz itu.

Kesal dengan kejadian itu, Shamshida berkata, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting untuk memantau pergerakan anak-anak sama ada di dalam atau luar rumah.

“Bayangkan anak semuda ini sudah boleh merancang dan melakukan jenayah sebegini? Kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku dan ini sangat memerlukan pemantauan khusus dari ibu bapa.

“Pendekatan yang boleh diambil contohnya ibu bapa boleh menjadi ‘rakan’ kepada anak-anak kita dan dari situlah kita dapat mengetahui pergerakan anak-anak di luar,” katanya.

=EZY=