Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kartel daging: SPRM siasat, panggil 27 saksi

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 27 saksi berhubung isu kartel daging sejuk beku membabitkan pekerja syarikat, ejen pengimport dan pegawai kerajaan.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu dan berkaitan pemalsuan dokumen.

“Buat masa ini, SPRM masih aktif menjalankan siasatan dengan menganalisis maklumat, pengumpulan bukti-bukti serta akan membuat beberapa lagi tangkapan bagi melengkapkan siasatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, lapan suspek telah direman bagi membantu siasatan kes sejak 4 Januari lepas.

Kenyataan itu juga menyebut SPRM Johor semalam telah menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru dan suspek direman selama enam hari bermula hari ini selepas permohonan bagi tujuan tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

SPRM Johor sebelum ini dilapor telah membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 8 Januari lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis sedang mengumpul keterangan saksi berhubung isu itu untuk dirujuk kepada pihak Peguam Negara bagi tindakan susulan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Skandal kartel daging: Ejen penghantaran ditahan

JOHOR BAHRU, 12 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor semalam menahan seorang lelaki disyaki terlibat dengan rasuah, yang berkaitan dengan isu skandal kartel daging.

Difahamkan lelaki berumur 55 tahun yang merupakan ejen penghantaran itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 8 semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan tangkapan, namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Lelaki itu dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini bagi permohonan reman.

Pada 1 Dis tahun lepas, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dilaporkan telah mendedahkan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk membolehkannya dijual di pasaran tempatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pegawai Maqis disyaki terbabit kes kartel daging direman lima hari

JOHOR BAHRU, 7 JAN: Dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor yang ditahan malam tadi bagi membantu siasatan kes kartel daging sejuk beku, direman selama lima hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga Isnin ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari selepas membenarkan permohonan reman dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tempoh reman berkenaan akan membolehkan kedua-dua suspek (he) berusia 27 dan 31 tahun disiasat lanjut di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua mereka yang ditugaskan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri, dekat sini, ditahan di Ibu Pejabat SPRM negeri kira-kira jam 11 malam tadi selepas disyaki menerima rasuah bagi aktiviti penyeludupan berkenaan.

Pada 2 Disember lalu, MAQIS membongkar kegiatan kartel itu yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Dalam perkembangan lain, empat individu lain terdiri daripada tiga pengarah syarikat dan seorang kerani yang turut direman selama empat hari bersabit skandal sama sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 setiap seorang selepas tempoh reman mereka tamat hari ini.

Kesemua suspek berusia antara 39 hingga 50 tahun sebelum ini dikenakan perintah reman selama empat hari bermula Isnin oleh Mahkamah Majistret di sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPDNHEP agensi utama siasat isu kartel daging – Hamid Bador

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjadi agensi utama dalam menyiasat isu kartel daging haram, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan membantu KPDNHEP sekiranya terdapat mana-mana sudut yang membolehkan untuk dilakukan siasatan.

“PDRM pula menyiasat (dan) membuka kertas siasatan dari sudut dari mana perbuatan ini (dilakukan).. perbuatan ini telah menimbulkan keresahan, ketakutan dan kebimbangan rakyat.

“Kita akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam),” katanya kepada Bernama selepas menerima penganugerahan Bintang Bhayangkara Utama di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu itu melibatkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

Setakat ini, polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan, selepas media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari beberapa negara sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kartel daging, kerajaan perlu perkemas sistem pengawasan – Mapim

SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan digesa memperkemaskan sistem pengawasan import eksport komoditi makanan dari negara luar bagi mengelak berlaku kebocoran atau penyelewengan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata perkara itu bagi memastikan insiden kartel daging import sejuk beku bertanda halal palsu baru-baru ini tidak lagi berulang.

“Semua penguat kuasa perlu melakukan operasi bersepadu terutama di pintu masuk dalam negara sama ada di pelabuhan, kargo lapangan terbang atau sempadan darat,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara berkata pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang menuding jari kepada sesebuah agensi tanpa siasatan menyeluruh.

“Perlu ada usaha bersungguh untuk menilai sejauh mana sistem penguatkuasaan sedia ada benar-benar dapat mengawal kemasukan barangan luar dalam kuantiti besar supaya tidak melanggar undang-undang negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.