Categories
AGENDA NASIONAL

Mapim sasar kutipan RM500,000 Tabung Infaq Ramadan

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasar kutipan RM500,000 menerusi Tabung Infaq Ramadan menjelang akhir Syawal.

Presidennya berkata kutipan tersebut akan disalurkan ke 17 negara Islam di Asia dan Timur Tengah yang sedang ditekan dengan konflik serta penindasan.

“Kita berharap sasaran ini mampu dicapai. Dana akan terus disalur ke negara terlibat mengikut keutamaan selepas mengumpul setiap RM20,000 dan jumlah tersebut berjaya diperoleh sejak kempen bermula tiga hari lalu.

“Kita sedang bangunkan satu aplikasi bagi membolehkan orang ramai menyumbang dengan cepat dan ia akan dilancar dalam masa terdekat,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid selepas majlis pelancaran tabung berkenaan sempena Di Ambang Ramadan di sebuah restoran di Tasik Shah Alam di sini malam tadi.

Pelancaran disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad serta EXCO hal ehwal agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu, Mohd Azmi berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang menunjukkan komitmen untuk bersama menyokong kempen berkenaan dan berharap juga boleh menyumbang bagi membela golongan berkaitan.

“Sokongan ahli korporat, aktivis sosial dan ulama juga akan menambah kekuatan bahawa program ini boleh disertai banyak pihak,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui Mapim di akaun (CIMB-604556678).

Categories
AGENDA NASIONAL

Mapim: Laporan tertunggak, lewat kes Covid-19 perlu segera dibaiki

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa tunggakan dan kelewatan laporan kes Covid-19 di negara ini segera diperbaiki bagi mengelak situasi cemas masyarakat.

Presidennya berkata laporan lewat kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) tidak sepatutnya berlaku kerana peningkatan jangkitan harian mengundang tanggapan umum.

“Lonjakan wabak serius ini tidak harus dilihat ringan kerana kesannya bukan sekadar soal kesihatan fizikal tetapi juga mental.

“Kami kesal ini boleh berlaku kerana fakta dan data memberi kesan besar kepada keputusan pihak berkuasa sekali gus meningkat ketakutan masyarakat,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah kelewatan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka) oleh fasiliti swasta berdaftar seperti klinik dan hospital harus ditangani bagi mengelak kekeliruan.

“Walaupun sistem canggih namun kelemahan penggunaan menyebabkan keputusan tidak tepat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kartel daging, kerajaan perlu perkemas sistem pengawasan – Mapim

SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan digesa memperkemaskan sistem pengawasan import eksport komoditi makanan dari negara luar bagi mengelak berlaku kebocoran atau penyelewengan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata perkara itu bagi memastikan insiden kartel daging import sejuk beku bertanda halal palsu baru-baru ini tidak lagi berulang.

“Semua penguat kuasa perlu melakukan operasi bersepadu terutama di pintu masuk dalam negara sama ada di pelabuhan, kargo lapangan terbang atau sempadan darat,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara berkata pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang menuding jari kepada sesebuah agensi tanpa siasatan menyeluruh.

“Perlu ada usaha bersungguh untuk menilai sejauh mana sistem penguatkuasaan sedia ada benar-benar dapat mengawal kemasukan barangan luar dalam kuantiti besar supaya tidak melanggar undang-undang negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Categories
AGENDA NASIONAL

NGO hantar memorandum hak pelarian, pencari suaka kepada kerajaan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menghantar memorandum Hak Pelarian dan Pencari Suaka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pelarian yang masuk ke negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata kerajaan perlu mengambil serius perkara berkaitan dan ditangani mengikut konsep Islam walaupun Malaysia tidak menandatangani konvensyen mengenai pelarian 1951.

“Kami menolak sekeras-kerasnya mereka yang menyemarakkan kebencian dan tindakan melampau terhadap golongan pelarian mencari pelindungan.

“Kami berpendirian pihak menafikan hak pelarian sebagai manusia serta mengeksploitasi mereka yang tidak mempunyai hak perlindungan di sisi undang-undang adalah bertentangan dengan syariat Islam,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama pada sidang media di Hotel Carlton.

Kenyataan itu turut disokong Aliansi Masjid Sedunia Pertahan Al Aqsa dan Sekreteriat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura).

Memorandum berkenaan turut menggariskan lapan gesaan antaranya meminta polis bertegas terhadap sindiket penyeludupan pelarian masuk ke dalam negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mapim mohon sumbangan RM1 juta untuk ringan beban keluarga miskin

SHAH ALAM, 11 MEI: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan sumbangan RM1 juta untuk membantu golongan kurang berkemampuan menerusi program Kasih Ramadan, kata presidennya.

Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sumbangan pelbagai pihak akan diagih dalam bentuk makanan kering kepada 5,000 keluarga miskin dan 10,000 bekalan berbuka puasa untuk golongan fakir miskin.

“Ketika umat Islam menunaikan puasa pada Ramadan masih ramai orang memerlukan bantuan dan tidak cukup makan. Justeru, kita terpanggil untuk membantu mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang bulan mulia ini,” katanya.

Mohd Azmi berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi menjayakan usaha membantu mereka dalam kesusahan.

Sumbangan boleh dikreditkan ke akaun Dana Mapim Maybank (5582 2060 5312) atau layari https://toyyibpay.com/Dates4Iftar.

Untuk pertanyaan, hubungi bahagian sekretariat menerusi talian 019-444 3309 (Rozaidi Taib) atau 011-2134 5997 (Fadhil Yusni).

Categories
NASIONAL

Dr Zakir Naik tokoh besar tonjol ajaran Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik disifatkan sebagai tokoh besar sangat dikenali dalam mempersembahkan kesucian ajaran Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Walaupun terpalit dengan dakwaan sebagai seorang pengganas di negara kelahirannya namun beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya mendengar tuduhan dilemparkan terhadap penceramah itu sewenang-wenangnya kerana tiada maklumat betul dan sahih, bahkan tidak tepat.

Bercakap ketika ditemui pada program Iftar Ramadan dan Ceramah Khas, katanya, kepakaran penceramah tersohor dari India itu mempersembahkan Islam bukan sahaja daripada segi praktiknya kita beramal, malahan dalam komunikasi.

“Kita berbangga kerana dapat menghadirkan tokoh besar iaitu tokoh antarabangsa dan kita merasakan ketokohan beliau dalam mengupas Islam sangat mudah serta jelas, itu menyebabkannya tokoh antarabangsa yang sangat dikenali.

“Apabila dia (Dr Zakir) menerangkan topik sangat jelas, kita rasa bahawa tidak ada sebab untuk orang curiga dan menerima dakwaan bahawa beliau memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Dr Zakir mengupas isu ‘Offering Peace And Justice In Islam To The World – Challenging The Islamophobia Narratives’ yang antara lain membincangkan berkaitan tuntutan keamanan dan keadilan dalam masyarakat Islam di dunia selain cabaran prasangka serta diskriminasi pada Muslim.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, beberapa perkara disentuh Dr Zakir sangat menarik, seterusnya memberi peranan kepada pendengar bahawa mereka juga bertanggungjawab untuk menjelaskan Islam kepada sesiapa sahaja dengan tidak merasakan hubungan akan terjejas.

“Jadi, kita harus pandai menggunakan cara dan teknik dengan baik. Tajuknya juga sangat sesuai Ramadan dan kita dapat mendengar sendiri penjelasan beliau terhadap beberapa isu ditanyakan.

“Kami bercadang untuk mengadakan lagi program sebegini bersama beliau sebagai tetamu dan mahu mengajak semua masyarakat Islam dan bukan Islam untuk datang serta berinteraksi dengannya daripada mendengar tuduhan tidak sahih,” katanya.

Dianggarkan kira-kira 300 peserta hadir dalam majlis berlangsung di Carlton Holiday Hotel & Suites, di sini, malam ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah daripada kumpulan INTEAM dan bacaan ayat suci al-Quran.

 

Categories
NASIONAL

MAPIM lancar Kempen Kongsi Rahmat Ramadan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan Kempen Kongsi Rahmat Ramadan dengan mengeluarkan 13,000 tabung di seluruh Malaysia.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kempen itu bertujuan mengumpul dana bagi membiayai pelbagai jenis sumbangan kepada golongan memerlukan di dalam dan luar negera.

Katanya, untuk fasa pertama, pihaknya akan menghantar bantuan makanan ke Yaman kepada 50,000 pelarian di sana.

Malah, pihaknya juga akan berangkat ke Bangladesh untuk melawat sekali lagi pelarian Rohingya, katanya.

“Kita lancar tabung ini supaya semua yang hadir pada majlis hari ini bawa balik ke rumah dan menabung setiap hari di dalamnya, sebagai sumbangan kepada kita.

“Kami cadang tabung itu dipulangkan ketika menjelang hari raya iaitu dua hari sebelum Aidilfitri. Kami akan hubungi pemegang tabung, jika mereka boleh hantar, hantar ke pejabat MAPIM, jika tidak duit itu dimasukan dalam akaun MAPIM dan tabung itu boleh disimpan untuk akan datang.

“Selesai dapat dana terbabit,kami akan manfaatkan dan terus bergerak ke tempat yang memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa MAPIM bersama Dr Zakir Naik di Carlton Holiday Hotel & Suites di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM1 Juta menjelang Aidilfitri ini.

“Satu tabung itu paling minima orang boleh simpan adalah RM100, jadi kami sudah menghantar 13,000 tabung di seluruh negara, satu negeri 1,000 tabung.

“Jadi kalau kita dapat RM100 satu tabung, saya rasa kita dapat menyumbang jumlah sangat banyak kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

MAPIM kumpul tandatangan desak lucut Nobel Keamanan Suu Kyi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan kempen mengumpul 1,000 tandatangan bagi menuntut anugerah Nobel Keamanan ditarik daripada Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Tindakan itu dilakukan berikutan kenyataannya menafikan pemusnahan etnik dan genocide ke atas etnik Rohingya sejak Burma mendapat kemerdekaan pada 1948 yang menunjukkan beliau bersekongkol serta menyokong perlakuan ganas tentera Myanmar dan ekstrimis Buddhis menindas kaum berkenaan.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya berpandangan Suu Kyi telah mengkhianati erti anugerah Nobel Keamanan dan beliau tidak layak memilikinya.

MAPIM - AZMI HAMIDMaka dengan itu, katanya anugerah diterimanya pada 1991 perlu dilucut serta merta.

“MAPIM mengesa semua pihak mempunyai rasa peri kemanusiaan dalam kalangan tokoh masyarakat di Malaysia perlu bersama menyokong petisyen yang akan dihantar kepada Jawatankuasa Nobel Keamanan di Sweden untuk melucut anugerah itu.

“Kita menyasarkan mengumpul 1,000 tandatangan pimpinan masyarakat antaranya Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, tokoh masyarakat, pemimpin agama, ahli profesional dan cendikiawan serta sasaran ini diharap dapat dicapai pada hujung Oktober ini,” katanya.

Mohd Azmi berkata, kenyataan Suu Kyi menggambarkan beliau mengakui penggunaan nama Rohingya sebagai panggilan ditolak di Myanmar dan beliau lebih selesa dengan tuntutan junta Myanmar bahawa Rohingya dipanggil “Bangeli” yang sama sekali tidak boleh diterima serta dibantah etnik Rohingya.

aung-san-suu-kyi-Katanya, Suu Kyi jelas tidak merasa bersalah apabila bayi, kanak-kanak dan wanita dari kalangan etnik Rohingya diperlaku dengan kejam.

“Malah beliau tunduk kepada puak ekstrimis Buddhis diketuai Ashin Wirathu yang menghalalkan pembunuhan, pengusiran, penafian hak manusia, perampasan harta benda etnik Rohingya.

“Beliau turut memperakui setiap pengganut Buddha wajar menjaga kepentingan agama dan tanah air Myanmar yang didakwa hanya milik penganut Buddha hatta dengan tindakan pemusnahan etnik dan genocide yang melanggar undang- undang antarabangsa dan hak manusia.

“Lantaran itu apa sahaja hak kemanusiaan untuk etnik Rohingya yang dijamin Deklarasi Universal Hak Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk hak hidup, hak undang-undang, hak agama, hak budaya dan hak politik, kini dinafikan beliau tanpa ada sedikit pun peri kemanusiaan,” katanya.

Categories
NASIONAL

MAPIM seru wang korban diinfaq bantu etnik Rohingya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru masyarakat Islam negara ini memikirkan nasib saudara seagama termasuk etnik Rohingnya yang terkorban setiap hari akibat dizalimi.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika ini ribuan warga Rohingya sedang hebat dizalimi, diburu dan dibunuh selain perkampungan mereka dimusnahkan.

Justeru, pihaknya menyeru muslimin yang ingin melakukan ibadah korban tahun ini untuk menginfaqkan sebahagian wang itu kepada ribuan Rohingnya tertindas.

MAPIM - AZMI HAMID“Di saat kaum Muslimin berkorban haiwan, saudara kita di Arakan kebuluran kerana melarikan diri dalam hutan dan di benteng Sungai Naf untuk menyeberang ke Bangladesh menyelamatkan diri dari buruan tentera Myanmar dan ekstrimis Buddha.

“Kita tidak boleh hanya menumpu untuk mendapat ganjaran amal korban semata-mata tetapi perlu turut menyalurkan pengorbanan untuk disumbang kepada saudara seagama sedang ditindas di Myanmar,” ,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, MAPIM turut menyeru semua jemaah haji di Mekah khususnya dari Malaysia berdoa dan bersolat hajat memohon kesejahteraan dan perlindungan etnik Rohingya.

mekahMohd Azmi berkata, penindasan terhadap etnik itu menuntut pembelaan setiap muslimin dan ibadah haji dijalankan ketika ini perlu dimanfaatkan bagi tujuan itu.

“Keadaan kini sangat parah, kanak-kanak dan wanita Rohingya tidak berdosa dibunuh dengan zalim dengan setakat ini lebih 40 kampung musnah dibakar manakala lebih 500 orang terkorban.

“Malangnya tiada sebarang tindakan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam, Kesatuan Eropah mahupun Asean,” katanya.

Categories
NASIONAL

Gabungan NGO Islam lancar mogok lapar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam akan mengadakan mogok lapar selama sehari sebelum Ramadan ini sebagai tanda peduli kepada tahanan Palestin di penjara Israel.

Antara NGO itu ialah Sekretariat Palestin Malaysia, Kelab Putera 1Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Aman Palestin, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Persatuan Ulama Malaysia dan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia.

Jurucakapnya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata ketika ini seramai 1,500 tahanan Palestin sedang mogok lapar sejak 17 April lalu bertujuan menuntut keadaan lebih baik di penjara, termasuk dilarang berjumpa dengan mana-mana pihak sepanjang ditahan.

Beliau turut mengajak penganut agama lain di negara ini ekoran kekejaman dan kezaliman yang tidak boleh diterima oleh mana-mana agama lain.

“Tahanan bukan sahaja diberi makanan tidak halal, malah sebelum ini turut dipaksa makan ketika Ramadan.

“Mengenai mogok lapar ini, pihak kami akan meminta pandangan golongan alim ulama mengenai cara dan kaedahnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama 23 NGO di sini, hari ini.

Mohd Azmi berkata, gabungan NGO Islam akan mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara sebelum menyerahkan memorandum bantahan mengenai kekejaman Israel.

“AS didesak menghentikan pencabulan antarabangsa dan hak asasi manusia hanya kerana melindungi kepentingan Israel yang sedang mempraktikkan dasar Apartheid,” katanya.

Pada masa sama, beliau menuntut Kerajaan Malaysia mengambil langkah pro aktif antaranya menyokong hasil Laporan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kekejaman Israel, mengusulkan mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyiasat Israel.

“Kami mengambil maklum kejayaan Kementerian Luar Negeri Malaysia membentangkan resolusi 2334 (2016). Ini menunjukkan komitmen tidak berbelah bagi memperjuangkan hak Palestin.

“Namun, satu kerjasama lebih erat harus diwujudkan di antara masyarakat sivil dan kementerian bagi mengorak langkah kerja yang lebih proaktif dan efektif dalam mencari penyelesaian isu negara Palestin,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bantah kekejaman, MAPIM lancar kempen solidariti Islam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 MEI : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menganjurkan Kempen Solidariti Islam besar-besaran membabitkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) Islam seluruh negara, Ramadan ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia dilaksanakan sebagai bantahan keras terhadap Kerajaan Myanmar susulan kempen anti Islam yang dilancarkan di negara itu, awal tahun ini.

“Kempen ini dicadangkan serentak dengan sambutan Nuzul Quran di Kuala Lumpur dengan cadangan awalnya di Masjid Wilayah dan Masjid Negara Ramadan ini.

MAPIM - AZMI HAMID“Ia melibatkan semua NGO namun keutamaan seruan kita adalah penyertaan daripada masyarakat Islam seluruh negara untuk datang menyokong kempen ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MAPIM, pagi ini.

Beliau berkata, pengisian kempen itu termasuklah pendedahan aktiviti keganasan dilakukan tentera Myanmar, isu pendidikan setempat dan halangan terhadap masyarakat Islam Rohingnya.

Dalam pada itu, Mohd Azmi turut mendedahkan kekejaman pihak berkuasa negara itu yang membakar masjid dan sekolah masyarakat Rohingnya, 28 April lalu.

Media melaporkan, kejadian itu berpunca daripada tindakan pihak berkuasa negara Myanmar membenarkan kumpulan sami yang membawa penunjuk perasaan merantai pintu masuk sekolah serta dua buah madrasah dan membakar premis berkenaan.

“Apa yang berlaku kini, kekejaman Myanmar sudah melampaui batas apabila mereka bukan sekadar menyerang masyarakat Islam, namun simbol-simbol Islam seperti Masjid, Surau, Sekolah Islam juga dihapuskan.

“Menjelang Ramadan ini, tidak mustahil masyarakat Islam di sana tidak lagi dibenarkan solat di Masjid sepanjang Ramadan,” katanya.

Justeru katanya, komitmen masyarakat dunia khususnya pertubuhan Islam Kerjasama Islam menerusi penyertaan 57 negara Islam perlu mengambil pendirian tegas menangani isu keagamaan di Myanmar.

 

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan disaran tingkat sistem pengangkutan awam, tangani kes kemalangan

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 JUL: Kerajaan disaran meningkatkan sistem pengangkutan awam bagi mengurangkan bilangan kenderaan persendirian di jalan raya seterusnya kemalangan terutama pada musim perayaan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pendekatan itu amat perlu bagi menangani statistik kemalangan jalan raya yang meningkat saban tahun.

KEMALANGAN“Kita berpendapat sudah sampai masanya kerajaan serius melihat semula keadaan bilangan kenderaan yang terlalu tinggi di jalan raya dan mencari kaedah terbaik meningkatkan sistem pengangkutan awam sebagai alternatif.

“Sikap berhati-hati pengguna jalan raya yang masih di tahap rendah perlu ditangani dengan cara lebih ketat dan tahap umur untuk lulus lesen memandu hendaklah ditingkatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan motosikal yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya paling tinggi perlu difikirkan semula demi mengelak perkara sebegitu berlaku secara berterusan.

Katanya, MAPIM kesal dan sangat sedih dengan peristiwa kemalangan jalan raya yang terus menerus berlaku apatah lagi di musim sambutan hari perayaan ini.

“Pada hakikatnya kemalangan jalan raya di negara ini menjadi fenomena yang berpunca dari banyak faktor yang sepatutnya boleh ditangani melalui polisi kerajaan sekali gus sikap pengguna jalanraya.

“Kita berpendapat tiga faktor iaitu bilangan kenderaan, keadaan jalan raya dan sikap pengguna menjadi faktor terbesar sebagai penyumbang kepada kemalangan,” katanya.

Mohd Azmi berkata, berdasarkan laporan Kementerian Pengangkutan, direkodkan 489,606 kes kemalangan jalan raya berlaku pada tahun lalu dengan 6,706 kemalangan maut.

“Angka ini ternyata meningkat berbanding 2014 (476,196) dan nilai kerugian ekonomi meningkat sehingga melebihi RM8 bilion.

“Statistik ini nampaknya sangat mengejutkan tetapi keadaan nampaknya terus berulang setiap tahun,” katanya.

-nR-