Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pertahanan belum dimaklum hasil siasatan isu ‘land swap’ – Mat Sabu

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Kementerian Pertahanan telah mengemukakan laporan siasatan 16 projek ‘land swap’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sehingga kini belum dimaklumkan mengenai sebarang penemuan atau hasil siasatan mengenai perkara itu.

Menteri berkenaan Mohamad Sabu berkata laporan siasatan bagi dua projek dikemukakan kepada SPRM pada 21 Februari lepas manakala baki 14 projek lagi dikemukakan pada 16 Mei lepas untuk siasatan lanjut pihak SPRM.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini mengenai status 16 projek land swap melibatkan 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.7 bilion.

Mohamad berkata pihaknya telah membentangkan Kertas Jemaah Menteri pada 18 September lepas untuk mendapatkan kelulusan berhubung hala tuju projek di Hutan Melintang.

“Di samping itu, pemakluman kepada Jemaah Menteri turut dilaksanakan pada 18 Okt melibatkan tujuh projek yang lain untuk mendapatkan hala tuju projek-projek itu,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya sebelum ini berkata pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan mendalam berhubung kes itu dan akan menelitinya sebelum mengambil sebarang tindakan.

Mohamad berkata pihaknya juga sedang membuat rundingan semula untuk meneruskan beberapa projek ‘land swap’ ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Ini, katanya adalah bagi mendapatkan semula kerugian berjumlah kira-kira RM500 juta yang dialami kerajaan berikutan projek ‘land swap’ seperti dilaporkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan.

Februari lepas, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menjawab soalan Ahmad Fahmi mengenai pembelian enam helikopter McDonnell Douglas yang masih tidak diterima sehingga kini, ​​​​​​​Mohamad berkata Jemaah Menteri akan membuat keputusan mengenainya kira-kira dua minggu lagi.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sedia beri kerjasama kepada SPRM isu ‘land swap’

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata kementerian yang diterajuinya sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan siasatan urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Beliau berkata SPRM bebas memanggil siapa sahaja daripada kementerian itu untuk membantu siasatan.

“Kalau SPRM minta kerjasama untuk kita bagi maklumat tambahan kita akan bekerjasama,” katanya ketika ditemui pemberita pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri, di sini malam ini.

Mohamad berkata kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilapor memberi keterangan selama tujuh jam kepada SPRM di Putrajaya semalam berhubung isu berkenaan.

Februari lalu, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hishammuddin beri keterangan tujuh jam kepada SPRM

PUTRAJAYA, 23 JUN: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini memberi keterangan selama tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Beliau yang tiba pukul 11 pagi tadi dan keluar daripada ibu pejabat Suruhanjaya itu pada pukul 6.00 petang ketika ditemui pemberita berkata, beliau berpuas hati dengan profesionalisma yang ditunjukkan SPRM ketika memberi keterangan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak supaya siasatan dan pendakwaan berhubung isu urus niaga ‘land swap’ itu tidak seharusnya dilakukan secara terpilih.

“Jika hendak bercakap soal ‘land swap’, pastikan juga soal 16 lagi ‘land swap’ lain dibangkitkan. Jika bercakap mengenai prosedur, kena tengok juga apa prosedur yang digunakan sebelum ini semasa di bawah pentadbiran sebelum ini, sama ada oleh Perdana Menteri sebelum ini, atau Menteri Pertahanan sebelum ini,” katanya.

“Kalau perlu untuk bangkit apa-apa perkara, saya tidak teragak-agak untuk membantu kerana kita mahukan kebenaran. Mari kita siasat sedalam-dalamnya perkara ini,” tambahnya yang turut berharap agar siasatan seterusnya dijalankan tidak memilih bulu kerana apa yang diharapkan adalah keadilan.

Ditanya sekiranya 16 land swap yang menjadi diperkatakan itu berlaku semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan, Hishammuddin berkata: “… saya dipanggil untuk beri keterangan mengenai land swap di Paloh, yang selainnya mungkin mereka perlu panggil lain-lain menteri terbabit juga, apa yang istimewa mengenai kes yang membabitkan saya ini?”.

Hishammuddin berkata apa yang dilakukannya berhubung land swap itu adalah demi kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka.

“Kalau tidak – dari mana nak dapatkan wang untuk bina kem-kem mereka. Kalau dia orang nak pandai cakap, nak tuduh, dia orang seharusnya beri saya cadangan, apa yang boleh dibuat untuk kebajikan para anggota tentera dan keluarga mereka,” katanya.

Februari lepas, sebuah akhbar melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Jan lepas.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ yang terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek RM4.8 bilion.

Mengenai kes pembelian enam helikopter bernilai lebih RM300 juta oleh Kementerian Pertahanan pada 2015, Hishammuddin berkata perkara itu tidak dibangkitkan oleh SPRM hari ini.

“Saya sudah jawab mengenai kes helikopter, saya tiada apa yang nak disembunyikan. Apa yang salah – tetap salah, dan sekiranya ia membabitkan pegawai saya sebelum ini, saya tak sekat (siasatan),” katanya.

Pada 13 Jun lepas, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter bernilai lebih RM300 juta pada 2015 yang masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.

Menurut laporan media, helikopter tempur ringan MD530G keluaran syarikat Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas itu sepatutnya diterima dalam dua fasa iaitu dua buah pada Julai 2017 dan selebihnya pada Disember 2018. – BERNAMA