Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: 11 rakyat Malaysia di luar negara dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 13 MAC: Wisma Putra mengenal pasti seramai 11 rakyat Malaysia di luar negara yang dijangkiti Covid-19, kata menteri luar.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata jumlah tersebut membabitkan sembilan orang di Singapura, manakala dua di Jepun.

“Dua rakyat Malaysia yang berada di Singapura dibenarkan keluar sementara tujuh lagi masih dirawat, manakala dua rakyat Malaysia di Jepun sudah pulang ke negara ini.

“Wisma Putra melalui perwakilan Malaysia sentiasa mengemas kini rekod rakyat kita yang berada di negara yang terjejas dengan wabak ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hishammuddin turut mengingatkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mendaftar dengan kedutaan bagi memudahkan proses pemantauan serta tindakan susulan.

Categories
NASIONAL

Hishammuddin beri keterangan tujuh jam kepada SPRM

PUTRAJAYA, 23 JUN: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini memberi keterangan selama tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Beliau yang tiba pukul 11 pagi tadi dan keluar daripada ibu pejabat Suruhanjaya itu pada pukul 6.00 petang ketika ditemui pemberita berkata, beliau berpuas hati dengan profesionalisma yang ditunjukkan SPRM ketika memberi keterangan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak supaya siasatan dan pendakwaan berhubung isu urus niaga ‘land swap’ itu tidak seharusnya dilakukan secara terpilih.

“Jika hendak bercakap soal ‘land swap’, pastikan juga soal 16 lagi ‘land swap’ lain dibangkitkan. Jika bercakap mengenai prosedur, kena tengok juga apa prosedur yang digunakan sebelum ini semasa di bawah pentadbiran sebelum ini, sama ada oleh Perdana Menteri sebelum ini, atau Menteri Pertahanan sebelum ini,” katanya.

“Kalau perlu untuk bangkit apa-apa perkara, saya tidak teragak-agak untuk membantu kerana kita mahukan kebenaran. Mari kita siasat sedalam-dalamnya perkara ini,” tambahnya yang turut berharap agar siasatan seterusnya dijalankan tidak memilih bulu kerana apa yang diharapkan adalah keadilan.

Ditanya sekiranya 16 land swap yang menjadi diperkatakan itu berlaku semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan, Hishammuddin berkata: “… saya dipanggil untuk beri keterangan mengenai land swap di Paloh, yang selainnya mungkin mereka perlu panggil lain-lain menteri terbabit juga, apa yang istimewa mengenai kes yang membabitkan saya ini?”.

Hishammuddin berkata apa yang dilakukannya berhubung land swap itu adalah demi kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka.

“Kalau tidak – dari mana nak dapatkan wang untuk bina kem-kem mereka. Kalau dia orang nak pandai cakap, nak tuduh, dia orang seharusnya beri saya cadangan, apa yang boleh dibuat untuk kebajikan para anggota tentera dan keluarga mereka,” katanya.

Februari lepas, sebuah akhbar melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Jan lepas.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ yang terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek RM4.8 bilion.

Mengenai kes pembelian enam helikopter bernilai lebih RM300 juta oleh Kementerian Pertahanan pada 2015, Hishammuddin berkata perkara itu tidak dibangkitkan oleh SPRM hari ini.

“Saya sudah jawab mengenai kes helikopter, saya tiada apa yang nak disembunyikan. Apa yang salah – tetap salah, dan sekiranya ia membabitkan pegawai saya sebelum ini, saya tak sekat (siasatan),” katanya.

Pada 13 Jun lepas, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter bernilai lebih RM300 juta pada 2015 yang masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.

Menurut laporan media, helikopter tempur ringan MD530G keluaran syarikat Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas itu sepatutnya diterima dalam dua fasa iaitu dua buah pada Julai 2017 dan selebihnya pada Disember 2018. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Hishammuddin tiba di SPRM beri keterangan isu ‘land swap’

PUTRAJAYA, 23 JUN: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tiba di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 pagi ini untuk memberi keterangan mengenai isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Hishammuddin yang memakai kemeja biru tiba di bangunan itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam bersama pegawainya.

Ketika ditanya berapa lama beliau akan memberi keterangan kepada SPRM, Hishammuddin berkata beliau tidak pasti kerana tidak tahu apakah soalan yang akan ditanya oleh suruhanjaya itu.

“Saya akan memberi kerjasama penuh tanpa rasa takut atau pilih kasih. Dari dulu lagi saya beri kerjasama sepenuhnya. Yang paling penting sekarang semangat anggota tentera kita, kepentingan mereka dan keluarga mereka. Saya pun tak ada benda nak sembunyi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Februari lalu, Kementerian Pertahanan di bawah pentadbiran kerajaan baharu, mendedahkan bahawa kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Jan lepas.

Dilaporkan, sebanyak 16 projek ‘land swap’ dilakukan kementerian membabitkan 1,183 hektar tanah.

Tanah di beberapa kem di Bukit Kinrara, Hutan Melintang, Bera, Segamat dan Paloh dilaporkan bernilai RM4.8 bilion manakala kos projek itu sebanyak RM4.9 bilion.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Azmin nafi ada pakatan, hanya terserempak

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 6 JAN: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada perbincangan sulit
bersama mantan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, ketika bercuti bersama keluarganya di Maghribi baru-baru ini, beliau hanya terserempak dengan Hishammuddin.

“Saya tidak bercuti dengan beliau, saya hanya terserempak sahaja. Saya jumpa ramai rakyat Malaysia di Maghribi, tidak jadi masalah atau isu pun.

“Saya jumpa pelajar Malaysia di sana, janganlah buat spekulasi.

“Kita kena bertamadun, jangan ingat kita mesti ada perbincangan politik, tidak ada. Untuk kebaikan negara kita kena baik dengan semua orang,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Simfoni Rumah SelangorKu di Eco Majestic di sini, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, hubungannya dengan Hishammuddin sudah terjalin sejak puluhan tahun dahulu dan melangkaui batas politik.

“Hubungan saya dengan Hishammuddin bermula puluhan tahun dulu. Kalau saudara ingat masa saya dalam pembangkang, pada majlis perkahwinan anaknya, hanya saya seorang dari pembangkang menghadiri majlis di Shangri-la Hotel,” katanya.

Terdahulu, gambar percutian bersama itu tersebar di laman Twitter anak sulungnya, Ameer Azmin di sebuah resort di Marrakesh, Maghribi.

Ameer memuat naik gambar terbabit dengan kapsyen ‘keluarga kami bersatu semula’.

Categories
KENYATAAN MEDIA

DAP :Mengapa perjanjian syarikat swasta AES jadi ‘rahsia negara’

aes lim lip engKUALA LUMPUR , 22 OGOS: Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng membidas tindakan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang merahsiakan status operasi Automated Enforcement System (AES) dengan menyatakannya sebagai ?rahsia negara?.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pengumuman Hishammuddin baru-baru ini bahawa kerajaan merancang untuk mengambilalih AES dari dua syarikat swasta dan akan membayar pampasan kepada syarikat tersebut.

Menurut beliau, dalam sidang Parlimen 17 Julai lalu, soalan yang dikemukakan berhubung kandungan kontrak AES enggan dijawap Hishammudin dengan mendakwa ianya bertentangan dengan Peraturan 23(1)(f): Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.

?Saya rasa semua rakyat Malaysia ingin tahu berapa banyak pampasan yang akan dibayar kepada kedua-dua syarikat dan apakah syarat-syarat perjanjian konsesi asalnya.

?Tapi malangnya soalan saya tidak mahu dijawap Hishammuddin kerana kononnya sebarang dokumen-dokumen perjanjian AES sudah dikelaskan sebagai ?rahsia negara?

?Apakah pemasangan kamera di tepi-tepi jalan adalah rahsia negara? Rahsia sehingga Ahli Parlimen turut tidak mempunyai hak untuk mengetahuinya?,? soalnya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, semalam.

Lip Eng berkata beliau akan membangkitkan isu ini sekali lagi dalam sesi Parlimen akan datang dan menggesa Hishammuddin agar memberikan jawapan sewajarnya.lim lip eng

?Saya akan meminta Hishammuddin mengemukakan jawapan yang telus dengan mendedahkan kepada orang ramai apa yang sebenarnya berlaku dan berapa sebenarnya pampasan akan diberikan kepada syarikat sebelumnya.

?Jika tidak, terbukti program Transformasi yang disebut-sebut tidak mengubah apa-apa, ia mati dan terbantut dalam projek AES ini,? tempelaknya

AES telah dilaksanakan pada 23 September 2012 dengan pengendaliannya diserahkan kepada Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates SGN Bhd, namun kerajaan 20 Ogos lalu mengumumkan untuk mengambilalih operasi dan penguatkuasaannya. -Roketkini.com – mza

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Cuba Sembunyi Jumlah Sebenar Anggota Polis – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 10072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Mengapa Kementerian Dalam Negeri enggan menjawab soalan Ahli Parlimen secara penuh dan telus?

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mempersoalkan tindakan KDN itu yang tidak mahu memberitahu jumlah sebenar anggota polis.

2. Kementerian Dalam Negeri diminta menjelaskan situasi sebenar jenayah di negara ini, selepas kenyataan terbaru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercanggah dengan kenyataan mantan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum PRU13.

3. Peningkatan kadar jenayah di negara ini sebagai nyata hanyalah alasan Kerajaan untuk mengembalikan Ordinan Darurat yang telah dimansuhkan pada tahun 2011.

4. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendakwa projek River of Life yang dilancarkan Kerajaan Pusat untuk mencantikkan Sungai Klang dan Gombak telah menindas kira-kira 100 penduduk Kampung Puah Seberang.

5. Sempena ketibaan bulan Ramadan, Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) melancarkan kempen pengurangan kompaun dengan menawarkan pengurangan sehingga 80 % kepada orang ramai yang mempunyai tunggakan kompaun dikawasan pentadbiran MBSA.

Categories
NASIONAL

Kempen 100,000 Tandatangan Adakan Polis Bantuan Selangor

ng suee lim samsudin kempen polis bantuan 01

SHAH ALAM 4 JULAI : Adun Pakatan Rakyat Selangor telah melancarkan kempen mendapatkan 100,000 tandatangan bagi mendesak Kerajaan Persekutuan meluluskan pembentukan polis bantuan di negeri bagi membanteras jenayah yang semakin berleluasa.

Tandatangan-tandatangan itu akan dihantar ke Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata Kerajaan Negeri pernah mengutarakan cadangan itu pada Februari 2011 tetapi ia disambut dengan respon sambil lewa oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Malah, dakwa Weng San, Hishammuddin menggunakan alasan bahawa kadar jenayah Selangor kian menurun untuk menolak tawaran Selangor untuk menyediakan pasukan polis bantuan.

“Jika Kerajaan Pusat tidak mahu meluluskan cadangan Kerajaan Negeri maka seharusnya Kerajaan Pusat menubuhkan sendiri polis bantuan kerana bilangan anggota polis yang ditugaskan tidak cukup untuk memantau jenayah.

“Nisbah anggota polis dan rakyat yang disyorkan oleh Interpol adalah satu anggota polis untuk 250 penduduk.

“Tetapi mengikut statistik 2011, Selangor mempunyai 11,700 anggota yang mana hanya 30 peratus bertugas pada satu sesi. Ia tidak cukup untuk menjaga penduduk,” katanya dalam sidang media di Bangunan Annexe, SUK, di sini.

Hadir sama Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Rani Osman ; Ketua Wanita PKR negeri, Haniza Talha dan Timbalan Setiausaha DAP Negeri, Ng Sue Lim serta beberapa pimpinan Pakatan yang lain.

Sementara itu, Dr Rani berkata Kerajaan Persekutuan juga tidak seharusnya memanipulasi data ‘jenayah indeks’ dan ‘jenayah bukan indeks’.

“Perkara ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pada tahun lalu yang mana kadar jenayah indeks merosot daripada 209,572 pada 2007 ke 157,891 pada 2011 iaitu sebanyak 24.7 peratus.

“Manakala jenayah bukan indeks melonjak sebanyak 68.7 peratus dalam tempoh yang sama iaitu daripada 42,752 ke 72,106.

“Permainan definisi dan angka-angka ini yang lebih kepada ‘syok sendiri’ yang mana sedikit pun tidak menolong rakyat Malaysia memahami situasti itu. Kita kena tahu rakyat masih tidak merasakan selamat kerana jenayah makin tinggi,” katanya.

Orang ramai boleh menyertai kempen tandatangan itu dengan mendapatkan borang di pejabat Adun Pakatan atau daripada laman web www.safercity.com.my.

Kempen terbabit akan berjalan selama satu bulan bermula hari ini.

Categories
SELANGOR

Selesai Segera Isu Kewarganegaraan

SHAH ALAM, 11 DIS : PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelesaikan isu kewarganegaraan warga berbangsa India dan bukan menjadikan ia isu perkauman.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, Hishammuddin didakwa gagal menyelesaikan isu kewarganegaraan masyarakat India di mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Jelas Izzah, beliau merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Hishammuddin pada 10 Disember lepas yang yang mendakwa isu itu di bawa oleh Pakatan Rakyat untuk mencetuskan rasa tidak puas hati antara kaum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Kenyataan Hishammuddin itu adalah tidak berasas dan bertanggungjawab dalam cubaan untuk memesongkan daripada isu sebenar,” kata Izzah dalam kenyataan medianya.

Tambah Izzah, beliau kecewa terhadap sikap pimpinan BN yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian isu itu dan bukan menjadikannnya isu perkauman.

“Walaupun majoritinya yang tanpa pendaftaran itu adalah berbangsa India namun isu ini juga dihadapi oleh masyarakat Melayu, Cina dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ujar Izzah, PKR yang merupakan parti berbilang bangsa akan terus berjuang demi hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Ia berbeza dengan BN yang hanya bercakap bagi pihak kaum terbabit dan merupakan bahaya besar kepada perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

“Warga tanpa kenegaraan ini yang lahir dan tinggal di negara ini dinafikan hak untuk bekerja, sekolah, kesihatan dan beberapa kemudahan lain termasuk dinafikan hak untuk mengundi,” katanya.